Pada hari Isnin 19 Disember 2016 saya telah berkesempatan
mengunjungi gerai lukisan milik Pakcik Ramli Idris atau lebih dikenali sebagai panggilan Abe Li di No. 8 Bazar MARA, Pasir Mas setelah sekian lama tidak
mengunjunginya. Oleh kerana sudah hampir 15 tahun saya bertugas di luar
Kelantan, maka amat jarang saya dapat mengunjungi gerainya lebih-lebih lagi Pasar
Muno’ (pasar pagi) di sebelahnya sudah berpindah ke pasar baharu di Bandar
Tasik Raja kira-kira 5 km dari situ. Namun apabila sekali sekala balik kampung,
adakalanya saya sempat lalu dan singgah meninjau gerainya memandangkan saya juga
meminati bidang seni lukis yang bagi saya mengunjungi gerainya dapat mengembalikan
nostalgia zaman lampau situasi pekan kecil daerah kelahiran saya ini, iaitu Pasir
Mas.
Semasa saya sampai di gerainya kira-kira jam 12.15 tengah
hari itu gerainya kelihatan separa terbuka. Di dalamnya kelihatan Abe Li
sedang memberi sentuhan akhir terhadap sebuah lukisan berbentuk pemandangan yang
diadaptasi berasaskan sekeping foto pemandangan dari negara Barat, sebelum beliau
berhenti rehat untuk solat zohor dan makan tengah hari pada hari tersebut. Cantik
hasil lukisannya itu, yang seolah-olah seperti foto sebenar jika dilihat dari
jarak lebih dari 5 meter. Kebanyakan lukisan Abe Li adalah berbentuk alam
semula jadi seperti pemandangan, bunga-bungaan, buah-buahan, bangunan dan
seumpamanya yang bagi saya mengikut teori Gardner beliau adalah seorang yang
berkecerdasan pelbagai aspek naturalis. Abe Li menyatakan bahawa beliau masih
menggunakan bahan-bahan termurah yang mampu dibelinya sejak mula-mula melukis
dahulu lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat,
permintaan yang semakin sedikit dan persaingan yang semakin banyak ini. Tujuannya
jika lukisannya tak laku, beliau tidak akan rugi banyak.
Abe Li yang berasal dari Kampung Pohon Buloh, Pasir Mas
telah memulakan karier sebagai pelukis sejak umur 20 tahun lagi sebagai Pelukis
Poster di Pawagam (Panggung) Geroda, Pasir Mas kira-kira pada tahun 1965. Pada
masa itu pekan kecil ini mempunyai dua buah pawagam iaitu Pawagam Rex dan
Pawagam Geroda, yang kedua-duanya terletak di Jalan Masjid Lama. Pawagam Rex
terletak berhadapan dengan deretan kedai makan lama (disebut Kedai Pati) dan padang dalam nyiur yang kini
stesen bas SKMK dan di tapak asalnya kini terdapat pejabat Tenaga Nasional,
Ambank dan kedai Watson. Manakala Pawagam Geroda pula terletak berhadapan
dengan stesen KTM Pasir Mas dan kini tapak asalnya terdapat Bank Simpanan
Nasional, kedai perabot, farmasi dan beberapa deretan kedai lain. Panggung
Geroda telah ditutup pada tahun 1978, manakala Pawagam Rex ditutup pada tahun
1980 setelah sambutan pelanggannya semakin merosot kerana munculnya televisyen,
video (VCD), komputer dan pelbagai teknologi moden yang penonton hanya perlu
berada di rumah untuk menonton filem.
Setelah kedua-dua pawagam tersebut ditutup Abe Li telah menyewa
sebuah gerai dengan sewaan sebanyak RM150 sebulan di Bazar MARA yang dibina di atas
tapak tanah milik KTM yang terletak bersebelahan dengan stesen bas SKMK
sekarang. Meskipun hasil lukisannya mempunyai nilai estetika yang tersendiri
namun hasil pendapatannya tidak lagi sebaik dahulu khususnya pada tahun-tahun
1990-an dan awal tahun 2000 sehingga tahun 2005. Jelasnya, keadaan ini kerana
perkembangan teknologi moden telah mengatasi segala nilai asli dan kreativiti semula
jadi yang dimiliki manusia. Beliau memberi contoh bahawa mulai tahun 2005
hingga sekarang hasil pendapatannya melalui tempahan lukisan/tulisan banner dan
banting untuk program di sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan, NGO-NGO,
parti-parti politik dan sebagainya telah tiada lagi ekoran kehadiran sistem
komputer dan mesin-mesin moden yang dimiliki oleh syarikat-syarikat
percetakan yang besar. Para pelanggan tetapnya telah berpindah arah kepada
syarikat-syarikat percetakan moden tersebut memandangkan banner buatan
komputer/mesin lebih menarik dan cepat siap.
Namun jelasnya meskipun hasil pendapatannya sudah semakin
berkurangan, setakat ini beliau masih mampu bertahan untuk menyewa ruang
gerainya dan untuk perbelanjaan harian suami-isteri, memandangkan kedua-dua anaknya
sudah bekerja dan berkeluarga sendiri. Walau apapun keadaannya Abe Li tetap
tabah dengan kerjayanya yang murni dan ikhlas itu kerana baginya mengekalkan
nilai estetika dan kepuasan diri lebih penting daripada segala-galanya di
samping mencari sedikit rezeki daripada Allah swt. Akhirnya Abe Li telah
membayangkan hasratnya akan bersara daripada melukis secara beransur-ansur
memandangkan usianya yang kini sudah mencecah 70 tahun dan ingin berehat
sepenuhnya. Saya secara peribadi cukup kagum dengan ketabahan Abe Li yang sejak
dahulu lagi melukis di gerainya dengan hanya berkain sarung pelikat dan kemeja
T yang lusuh. Sekian, semoga Abe Li sentiasa sihat dan tabah dengan kariernya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan