Hari ini hari Sabtu 31 Disember merupakan
hari terakhir bagi tahun 2016 dan tepat pada jam 12.00 tengah malam nanti maka
masuklah ke tahun baharu iaitu tahun 2017. Meskipun rata-rata kita berfahaman
bahawa usia kita meningkat, namun pada hakikatnya perubahan tahun tersebut menjadikan usia kita berkurang setahun lagi. Seperti biasa pada setiap kali menjelang tahun baharu, maka semua orang mula memasang
azam baharu untuk menghadapinya. Jika ditanya kepada semua orang, rata-ratanya menyatakan mereka berazam
untuk meninggalkan kenangan tahun 2016 dan akan membuka lembaran baharu untuk
tahun 2017 yang bakal menjelang. Ekoran daripada perubahan tahun ini maka sejak beberapa tahun kebelakangan ini masyarakat kita mula dengan budaya baharu iaitu menunggu detik
12 tengah malam bagi meraikan kedatangan tahun baharu tersebut. Pelbagai
pihak tidak melepaskan peluang untuk meniru budaya ‘orang lain’ ini yang
seolah-olah kedatangan tahun baharu tidak bermakna jika tidak sama-sama
menunggu detik tersebut.
Pada pemerhatian saya hakikat
menyambut kedatangan tahun baharu dan mengisi tahun baharu itu tidak
menampakkan sebarang kesan positif dari aspek keberkesanannya, khususnya dalam
kalangan generasi muda. Hakikatnya sejauhmanakah perubahan yang postif yang mereka praktikkan hasil daripada semangat detik 12 tengah malam yang ditunggu pada setiap tahun baharu itu? Sejauhmanakah
mereka memahami bahawa perubahan tahun baharu itu juga menuntut kepada
perubahan kepada diri mereka? Apa yang kita dapati jeritan tahun baharu itu
hanya tinggal jeritan sahaja kerana pada sebelah pagi 1 Januari pada tahun baharu tersebut kebanyakan daripada mereka tetap menyambung tidur sehingga waktu tengah hari. Apakah sebenarnya makna
tahun baharu bagi mereka?




Tiada ulasan:
Catat Ulasan