RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

24 Oktober 2013

Lawatan Rektor IPGM ke SK Lenjang dan SK Titom

Laluan ke SK Lenjang
Pada 8 Oktober 2013 (Selasa) saya bersama Ketua Unit Khidmat Pengurusan, En Mohd. Faizal Hassan dan Puan Rofida Hassan, Ketua Unit Prasekolah IPGKTAA telah ditugaskan untuk mengiringi lawatan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Encik Sulaiman Wak dan Dr. Noriati A. Rashid, Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, IPGM dan tiga orang lagi pegawai IPGM ke Sekolah Kebangsaan Lenjang (SK Lenjang) dan Sekolah Kebangsaan Titom (SK Titom) di pedalaman Daerah Lipis, Pahang. Rombongan kami telah menggunakan empat buah pacuan empat roda termasuk kenderaan milik Jurulatih Kokurikulum IPGKTAA, Encik Sarudin Mat Amin dan Guru Besar SK Titom, Encik Ramli Mukhtar. Kami memulakan perjalanan seawal jam 6.45 pagi dari pekarangan Hotel Lipis Plaza, tempat penginapan ahli rombongan daripada IPGM tersebut. Oleh kerana Tuan Rektor dan rombongannya ingin melihat pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kelas Prasekolah murid-murid Orang Asli di sekolah-sekolah tersebut, maka kami perlu sampai di kedua-dua sekolah tersebut sebelum murid-murid Prasekolah balik.
Konvoi tiba di SK Lenjang
Perjalanan rombongan kami melalui pekan kecil Felda Sungai Koyan kira-kira 35 km dari Kuala Lipis dan melalui Pos Betau yang terletak kira-kira 25 km dari Sungai Koyan. Pos Betau yang suatu ketika dahulu merupakan satu penempatan terpencil masyarakat Orang Asli suku kaum Semai, kini telah menjadi laluan utama dari Raub dan Kuala Lipis untuk ke Cameron Highlands. Pos Betau merupakan hasil daripada Projek Penempatan Semula Orang Asli di kawasan Titiwangsa di bawah Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985) dengan kos sebanyak RM10.5 juta. Jalan ke SK Lenjang tidak mempunyai masalah kerana semua jalannya berturap, cuma boleh dilalui oleh hanya sebuah kenderaan sahaja. Sekiranya ada kenderaan yang berselisih, salah sebuahnya terpaksa mengalah sama ada mengundur atau mencari tempat yang sesuai untuk berselisih.
Rombongan disambut warga SK Lenjang
Rombongan kami tiba di SK Lenjang kira-kira jam 10.45 pagi dan disambut oleh Guru Besar, Encik Zainal dan guru-gurunya. Di sini kami telah dihidangkan dengan pulut jagung, (pulut yang dikukus bersama jagung), sambal bilis, rendang daging dan sardin tumis petai. Inilah pertama kalinya bagi kami makan hidangan unik tempatan yang cukup enak ini. Semua orang rasanya boleh mencuba resepi ini kerana resepinya agak mudah untuk dipraktikkan. Lauknya terpulang kepada citarasa masing-masing. Selepas menikmati hidangan minum pagi tersebut kami dipertontonkan pula dengan tarian sewang oleh murid-murid SK Lenjang, dan lagu ‘babola’ sudah pasti menjadi salah satu lagu iringan bagi tarian tersebut. 
Tarian Sewang SK Lenjang
Kami kemudiannya telah ditaklimatkan oleh Guru Besar dan dibawa melawat sesi pembelajaran murid-murid Prasekolah yang terdiri daripada kira-kira 12 orang murid. Sebagaimana biasa murid-murid Orang Asli sangat pasif apabila bertemu orang yang baharu mereka temui. Ada di antara mereka yang langsung tidak mahu bercakap apabila ditanya oleh Rektor meskipun mengikut gurunya mereka sangat aktif pada hari-hari biasa.
SK Lenjang merupakan sekolah yang 100% muridnya terdiri daripada murid Orang Asli suku kaum Semai. SK Lenjang yang terletak kira-kira 118 km dari Kuala Lipis telah ditubuhkan pada tahun 1956, yang mana pada awalnya tenaga pengajar ketika itu terdiri daripada Askar Melayu DiRaja. Kemudahan pada masa itu amatlah terbatas dan terdapat pelbagai kekurangan daripada aspek fizikal. Pada awal penubuhan sekolah ini hinggalah penghujung tahun 1994, pengurusan sekolah berada di bawah tanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada 1 Januari 1995, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil alih pengurusan SK Lenjang, dan pada tahun 2000 bangunan baharu mula dibina. Bangunan baharu tersebut mula digunakan sepenuhnya pada bulan Mac 2003 dengan bilangan guru seramai 9 orang berbanding 5 orang sebelumnya.
Laluan ke SK Titom
Pada penghujung tahun 2011, kemudahan jalan raya berturap dan tenaga elektrik 24 jam telah dibekalkan ke sekolah dengan menggunakan tenaga solar hydbrid. Perjalanan ke SK Lenjang dari Kuala Lipis mengambil masa selama 2 jam 30 minit melalui pekan kecil Sungai Koyan dan Pos Betau. Kampung-kampung yang perlu dilalui sebelum sampai ke sekolah ini ialah Kampung Bandar, Ngening, Simoi Lama, Dayok, Rakoh, Kenderong, Chaang, Sop, Serdang, Bakul dan Pagar yang kesemua penduduknya terdiri daripada masyarakat Orang Asli suku kaum Semai. Pada tahun 2013 SK Lenjang mempunyai 24 orang guru, 454 orang murid berdaftar dan 5 orang staf sokongan.
Mengharungi sungai 
Kira-kira jam 12.00 tengah hari kami meninggalkan SK Lenjang. Jalan ke SK Titom agak mencabar kerana apabila masuk sahaja simpang ke kampung tersebut, maka bermulalah cabaran sebenar kerana kenderaan yang kami naiki terpaksa melalui jalan yang bercerun, berbukit-bukau, berbatu-batan dan berlopak.  Selain itu terdapat dua tempat yang kenderaan kami terpaksa merentasi sungai yang mengalir pada paras 1 kaki dalam keadaan cuaca biasa, jika musim hujan kenderaan perlu ditinggalkan dan perlu berjalan kaki untuk sampai ke SK Titom. Selepas menyeberangi anak sungai kedua, kenderaan yang kami naiki terpaksa ditarik dengan menggunakan winch sebuah lagi kenderaan kerana terlalu curam dan berbatu-batan. Namun pengalaman ini bukan kali pertama saya melalui jalan yang mencabar seperti ini untuk melawat ke sekolah pedalaman. Saya pernah beberapa kali ke Sekolah Kebangsaan Senderut yang juga sekolah murid Orang Asli antara tahun 2006 dan 2008 yang terletak kira-kira 42 km daripada jalan utama melalui jalan balak dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda (Toyota Hi Lux) milik pembekal makanan asrama sekolah tersebut.
4X4 yang kami naiki tersangkut batu
SK Titom terletak kira-kira 140 dari Kuala Lipis iaitu hampir dua jam perjalanan lagi dari SK Lenjang melalui jalan bukit yang sangat mencabar terutama sekali semasa musim hujan. Sekolah murid Orang Asli ini mula dibuka pada tahun 1965 kemudian ditutup dan dibuka semula oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada tahun 1978. Sekolah yang pada asalnya dibina berasaskan bangunan buluh itu telah diganti dengan bangunan baharu pada tahun tersebut dengan menerima murid Tahun 1, 2 dan 3 sahaja. Pada tahun 1999 SK Titom mula menerima murid-murid Tahun 4 yang menduduki UPSR pada tahun 2001. Pada tahun 2001 hingga 2002 sekolah ini telah mendapat 3 blok bangunan baharu dan pada tahun 2009 dua blok bangunan asrama dan satu blok dewan makan dibina. Sebagaimana SK Lenjang, sekolah ini juga mendapat bekalan elektrik melalui tenaga solar hydbrid dan bekalan air paip graviti. Pada tahun 2013 SK Titom mempunyai seramai 11 orang guru, 179 orang murid berdaftar dan 7 orang staf sokongan.
Dr. Noriati bersama murid-murid Prasekolah
Rombongan Tuan Rektor  dan guru-guru SK Titom
Kami tiba di SK Titom pada jam 1.30 tengah hari dan disambut oleh warga sekolah yang diketuai Guru Besar, Encik Ramli Mukhtar. Oleh kerana objektif kami hendak meninjau pelaksanaan kelas Prasekolah, maka kami terus dibawa ke kelas tersebut memandangkan masa pembelajaran mereka sudah hampir tamat. Guru Kelas Prasekolah ialah Cikgu Mohammad Noor Mohd Ideris bekas pelajar kami di MPTAA pada tahun 2004-2006 dahulu. Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian kami, Cikgu Mohammad Noor merupakan seorang guru Prasekolah yang sangat dedikasi dan komited dengan tugasnya. Beliau dan pembantunya telah berjaya menjadikan kelas Prasekolah tersebut kemas dan sangat menarik, kondusif sebagai tempat kanak-kanak belajar. Jumlah murid Prasekolah SK Titom yang berdaftar ialah seramai 25 orang. Seperti juga murid-murid Prasekolah di SK Lenjang, murid-murid di sini juga pasif apabila ditanya soalan atau meminta mereka menyebut nama huruf. Namun apabila diminta menyanyi oleh gurunya, mereka menyanyi dengan penuh perasaan. Apa yang mengkagumkan kami, semasa mereka berjalan balik selepas tamat kelas mereka berjalan dengan berpimpin tangan secara berkumpulan sehingga sampai ke rumah masing-masing. Kami kemudiannya ditaklimatkan oleh Guru Besar dan dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari. Kami meninggalkan SK Titom pada jam 2.30 petang dan tiba di IPGKTAA pada jam 5.30 petang. Meskipun penat digoncang kenderaan, namun kami puas.

Perjalanan balik
Tahniah kepada semua warga SK Lenjang dan SK Titom atas ketabahan mendidik anak-anak bangsa yang memerlukan pendidikan sempurna sebagaimana murid-murid arus perdana yang lain di negara ini. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan kalian akan mendapat pembalasan yang sewajarnya daripada Allah swt.

Tiada ulasan: