![]() |
| Che Nick (kanan) dan Che Minah (2 dari kiri) |
Alhamdulillah, hasil daripada kecanggihan
teknologi maklumat pada hari ini, saya telah dapat mengesan maklumat keluarga
pasangan Nicholas Nigel Dodge dan Mina Typaldolve (atau Nick dan Mina
Dodge) yang pernah tinggal di kampung kami sekitar Disember 1969 hingga November
1970, semasa saya masih lagi di sekolah rendah. Saya dapat mengesan mereka
melalui laman web yang kebetulan saya ‘google’ untuk mencari bahan tugasan dan bahan untuk mengajar. Nick lahir di India pada tahun 12 September 1943, manakala isterinya Mina lahir di Patras, Greece 20 Februari 1941. Mereka dikatakan berkahwin pada tahun 1960. Namun mengikut maklumat laman tersebut pasangan suami isteri ini sudah
meninggal dunia.
![]() |
| Catatan belakang gambar yang dihantar (1972) |
Pada akhir tahun 1969 Penggawa (Penghulu) Daerah
Pasir Mas, Tok Penggawa Che Kob telah membawa pasangan suami isteri dari Ireland
Utara itu ke kampung kami bagi tujuan membuat kajian dalam bidang sosiologi untuk
pengajian mereka di peringkat sarjana di University of Ulster, Ireland Utara. Oleh
kerana ayah saya mengenali rapat Penggawa (Penghulu) Daerah Pasir Mas iaitu Tok Penggawa Che Kob pada ketika itu, maka
beliau dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan rumah sewa untuk mereka tinggal
di kampung kami bagi memudahkan aktiviti kajian mereka. Mereka akhirnya dapat
menyewa sebuah rumah kampung milik penduduk kampung kami yang bernama Che Ngah
Abdullah yang pada ketika itu menjadi peneroka di Tanah Merah, Kelantan.
Pada peringkat awal Nicholas dan Mina berada di
sini, mereka menggunakan khidmat jurubahasa untuk memudahkan komunikasi mereka
dengan masyarakat kampung, kerana tugas mereka melibatkan temu bual,
perbincangan dan sebagainya. Namun setelah beberapa bulan kemudian selepas
mereka yakin dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik, mereka tidak lagi
menggunakan khidmat jurubahasa tersebut. Bagi tujuan menjadikan mereka mesra
dengan penduduk kampung, Nicholas dan Mina meminta penduduk kampung memanggil
mereka Che Nick dan Che Minah sahaja. Dalam tempoh tersebut mereka telah sedaya
upaya cuba memahami cara hidup kami masyarakat kampung. Pada ketika itu Che
Nick ada kalanya memakai kain sarung pelikat yang diikat dengan tali di
pinggang, manakala Che Minah sering berbaju kurung. Mereka turut membantu apa
sahaja aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat kampung kami seperti kenduri
kendara, majlis kahwin, gotong-royong dan sebagainya.
![]() |
| Sun Two Family Restaurant |
![]() |
| Dr. Danae Dodge |
![]() |
| Dr. Danae Dodge |
Hubungan kami dengan mereka terputus sama sekali
kecuali pada tahun 1972, mereka telah menghantar surat dan gambar semasa mereka
bercuti musim panas di Patras, Greece tempat kelahiran Che Minah. Manakala pada
1973 (kalau tidak silap) mereka ada menghantar surat dan wang kiriman pos
bernilai 8 pound sterling untuk kami sekeluarga semasa mereka berada di Ireland Utara
dan bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sosiologi, University of Ulster. Sumbangan itu kata mereka sebagai tanda
penghargaan kerana kami banyak membantu mereka semasa berada di sini. Pada
tahun 2001 saya telah dapat mengesan alamat e-mail Che Nick di University of Ulster,
tetapi e-mail saya tiada balasan.
Setelah 43 tahun berlalu, melalui teknologi maya
ini saya sekali lagi telah cuba meneroka maklumat mereka melalui http://www.dodgefamily.org/Genealogy/EnglishDodges/worldfile/
dan hasilnya saya mendapati kedua-dua mereka telah meninggal dunia, yang mana Nick meninggal pada tahun 2004 semasa berusia 61 tahun dan Mina pada 13 Julai 1997 pada usia 56 tahun. Namun
pasangan tersebut mempunyai dua orang anak iaitu Dr. Danae Rebecca Dodge dan Geraldine Haldane. Dr. Danae Dodge yang lahir pada 16
September 1981 menetap di Sheffield,
South Yorkshire, S6 2XN, UK merupakan lulusan Ph. D dalam bidang DNA purba pada tahun 2011 dari University of Sheffield dengan disertasinya
bertajuk "A Molecular Approach to the Neanderthal Extinction: The
Applicability of a Bayesian Programme to the Analysis of Neanderthals
". Namun saya tidak mendapat maklumat tentang adik beradiknya
Geraldine.
Demikian imbauan
kisah lama yang amat berharga untuk didokumentasikan sebagai tatapan umum,
khususnya kepada rakan-rakan sepermainan yang masih mengingati kehadiran mereka
berdua di kampung kami pada ketika itu.





Tiada ulasan:
Catat Ulasan