RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

02 September 2013

Pekan Kecil Bernama 'Kinarut'


Kinarut merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 18 km dari Kota Kinabalu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa nama pekan ini adalah berasal daripada perkataan “China Road”, yang akhirnya di sebut sebagai Kinarut. Pekan lama yang terletak di antara bandar raya Kota Kinabalu dan bandar Papar ini telah dibuka oleh Sultan Abdul Hakkul Mubin yang berundur dari Pulau Chermin dalam Perang Saudara Brunei pada akhir abad ke-17. Baginda dikatakan telah bermaustatin di situ sebagai Sultan Kinarut selama 10 tahun dan kehadiran baginda telah menyekat sebahagian besar daripada kegiatan lanun yang berleluasa di kawasan tersebut. Kinarut akhirnya telah menjadi sebagai sebuah pusat kegiatan ekonomi masyarakat setempat khususnya di pesisir pantai barat tengah negeri Sabah pada ketika itu.

Kini pekan Kinarut masih mempunyai dua baris rumah kedai papan lama asal dan dua baris kedai konkrit yang baharu dibina. Salah satu deretan kedai lama tersebut terletak berhadapan dengan Stesen Kereta Api Kinarut milik Keretapi Negeri Sabah (KNS) yang merupakan sistem pengangkutan utama dari Jesselton ke Tenom pada suatu ketika dahulu. Mengikut Richard Nelson Sokial (2012) jumlah penduduk di sekitar pekan ini ialah kira-kira 18,029 orang mengikut banci penduduk pada tahun 2010. Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada suku kaum Bajau, Melayu Brunei dan Kadazan-Dusun yang menjalankan kegiatan ekonomi sebagai petani, pekebun dan nelayan. Estet Kinarut pernah menjadi salah satu pusat pengeluaran getah utama di pantai barat Sabah pada awal tahun 1900-an.
Stesen kereta api Kinarut merupakan salah sebuah stesen yang disinggahi tren The North Borneo Railway iaitu larian tren khas untuk para pelancong oleh KNS di bawah pakej ‘Leisure Tour’ antara Stesen Tanjung Aru dan Papar sejauh 38.5 km. Tren ini menggunakan lokomotif wap British Vulcan buatan tahun 1954 yang menggunakan kayu api sebagai bahan bakarnya. Tren The North Borneo Railway akan singgah di Stesen Kinarut selama kira-kira 20 minit dan para penumpang dibawa melawat Kuil Tien Shi yang terletak beberapa meter dari stesen tersebut sebelum meneruskan perjalanan ke Kawang dan Papar. Perkhidmatan ini hanya terdapat pada hari Sabtu dan hari Rabu sahaja.
Saya pernah tinggal berhampiran pekan lama ini pada tahun 1982 hingga 1986 semasa berkhidmat di SMK Agama Limauan, kira-kira 5 km dari pekan tersebut. Di pekan kecil inilah kami mendapatkan barang keperluan asas jika tidak ke Kota Kinabalu pada ketika itu. Malah untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar kami warga sekolah ke Klinik Kesihatan Kinarut yang terletak bersebelahan dengan SMK Kinarut berhampiran jalan baharu Lok Kawi ke Papar. Oleh itu pada setiap kali saya dan keluarga mengunjugi Sabah, kami akan mengunjungi Kinarut bagi mengembalikan nostalgia lama tersebut. 
Setelah kira-kira 27 tahun meninggalkan negeri Sabah, banyak perubahan telah berlaku dalam lingkungan sekitar 5 hingga 10 km dari pekan Kinarut, antaranya jalan pesisir pantai dari Lok Kawi ke Papar dan terdirinya Taman Pantai Lok Kawi, Lok Kawi Perdana, Lok Kawi Height dan taman-taman perumahan yang lain. Manakala di sepanjang Pantai Beringgis pula terdapat banyak tempat penginapan yang berupa chalet, resort dan hotel untuk kemudahan para pelancong. Di Limauan iaitu jalan lama ke Papar pula terdapatnya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan SMK Agama Tun Datu Mustapha (dahulunya SMK Agama Limauan). Di jalan baharu menuju ke Papar pula terdapat Maktab Rendah Sains Mara, Kem Batalion 16 PGA PDRM, Kinarut Outward Bound School, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SAFODA dan lain-lain. Namun walau apapun pembangunan yang berlaku di sekitarnya, dua deret kedai lama di pekan itu tetap utuh seperti dahulu.
Demikian kisah sebuah pekan kecil klasik yang bernama 'Kinarut'.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Di Kg Anak Kinarut saya mempunyai seorang sahabat bernama Nesah bt Sopong.Jika di smk (A) Limauan ketiadaan bekalan air saya akan mengikuti beliau pulang ke rumahnya pada hujung minggu semata-mata untuk mencuci pakaian.Pernah beberapa kali kami ke Kg Anak Kinarut dengan berjalan kaki menelusuri laluan kereta api dari Limauan ke Kinarut.andai terserempak kereta api kami akan menghimpitkan diri kami ke dalam semak yang berhampiran khuatir cedera di rempuh kereta api. Suatu pengalaman yang tidak mungkin dilupai..