Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar walillahilhamd’. Selamat Hari Raya
Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua saudara mara, sanak saudara dan
rakan taulan. Semoga Ramadan yang sama-sama kita lalui bersama sehingga tibanya
bulan Syawal 1434 ini mendapat rahmat sepenuhnya daripada Allah s.w.t. Alhamdulillah setelah sebulan kita berpuasa
dan berjaya menempuh segala ujian dalam bulan Ramadan akhirnya kita berjaya mendapat
kemenangan pada bulan Syawal ini. Syawal yang menjelang merupakan rentetan
daripada bulan Ramadan yang telah kita lalui dengan penuh dengan
keberkatan. Perginya Ramadan seharusnya ditangisi oleh semua umat Islam, kerana
pada bulan inilah segala amal ibadah kita dikurniakan pahala yang berganda yang
tiada pada bulan-bulan lain. Sabda Rasulullah s.a.w., “Seorang hamba yang
berpuasa dalam sehari di jalan Allah, maka akan dijauhkan Allah orang tersebut
pada hari itu wajahnya dari neraka sejauh 70 musim dingin” (Hadis Riwayat Bukhari – Muslim). Pada tahun akan datang belum tentu kita dapat bertemu atau tidak dengan
bulan Ramadan yang mulia ini.
Menjelang tiba 1 Syawal kita diwajibkan berfitrah,
manakala umat Islam yang berkemampuan juga disunatkan memberi sedekah-sedekah
yang lain dengan mengutamakan kaum kerabat kita yang susah, kemudian barulah
kepada fakir miskin dan anak-anak yatim. Manakala masuknya 1 Syawal kita
juga disunatkan bertakbir bagi
memuji nama Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah puasa
kamu mengikut bilangan dari dalam bulan Ramadhan (29 hari atau 30 hari) dan
bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada
kamu, semoga kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah:185). Pada pagi 1
Syawal sekelian Muslimin dan Muslimat, tua dan muda, disunatkan solat
Aidilfitri berjemaah dan mendengar khutbah Aidilfitri bagi menzahirkan
kemenangan tersebut serta sebagai menghayati syiar keagungan Islam dan perpaduan
ummah. Di samping itu mereka juga berpeluang untuk bertakbir (membesarkan Allah s.w.t.)
beramai-ramai, mendengar khutbah Aidilfitri dan yang penting dapat berzikir bersama dan mengaminkan doa
yang dibacakan oleh imam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan