 |
| Bangunan hadapan SMKA Limauan |
Marhaban ya Ramadan. Semoga
kita dapat melaksanakan ibadah puasa dengan lebih baik dan sempurna pada tahun ini.
Apabila tiba setiap kali bulan Ramadan, maka kenangan yang pasti akan menjelma ialah kenangan
menjalani ibadah wajib tersebut bersama anak-anak didik di SMK Agama Limauan (SMKAL)
kira 25 hingga 30 tahun yang lalu. Kami guru-guru di Limauan pada ketika itu bukan
sahaja mengajar dan mendidik, malah mengambil alih tugas sebagai pengasuh kepada
anak-anak khususnya kepada para pelajar Tingkatan 1 yang datang dari segenap
pelusuk negeri Sabah pada awal tahun 1980-an itu. Maka kamilah yang memainkan
peranan sebagai ibu bapa dan penjaga kepada mereka dengan penuh tanggungjawab dan kesabaran. Lebih-lebih
lagi kepada mereka yang pertama kali terpaksa menjalani ibadah puasa Ramadan tanpa
orang tua masing-masing kerana terpaksa tinggal di asrama. Ini kerana SMK Agama
Limauan merupakan satu-satunya SMK Agama berasrama penuh di negeri Sabah pada
ketika itu.
 |
| Deretan kuarters guru |
Dalam tempoh 1982-86 semasa berkhidmat di sekolah
itu, sebanyak 5 kali Ramadan saya telah bersama-sama anak-anak Limauan
berpuasa, bersungkai (berbuka), bertarawih dan bersahur bersama. Pada kebiasaannya pada setiap awal Ramadan Ustaz Abdullah Ahmad (kini di Jabatan Pendidikan Negeri
Kedah) ditugaskan untuk menyediakan Jadual Bertugas bagi tujuan menyediakan makanan untuk
sungkai (berbuka) di Dewan Makan Asrama. Setiap kelas mempunyai giliran
bertugas kira-kira jam 5.30 petang untuk menyediakan juadah berbuka kerana
waktu berbuka bagi Bahagian Pantai Barat (Kota Kinabalu, Ranau, Kota Belud,
Tuaran, Tamparuli, Penampang, Putatan dan Papar) sekitar jam 6.30 petang. Mereka
yang bertugas akan menghidangkan makanan mengikut menu yang telah ditetapkan dalam
tray untuk semua pelajar asrama.
 |
| Bersama Arwah Mak Cik Teh |
Manakala pada setiap petang Ustaz Abdullah akan
memantau para pelajar yang bertugas menyediakan hidangan tersebut pada sepanjang
bulan Ramadan. Makanan untuk berbuka disediakan oleh tukang-tukang masak asrama yang diketuai oleh Arwah Mak Cik Teh dengan menu khusus untuk bulan
Ramadan. Para pelajar sekolah ini sangat suka masakan Arwah Mak Cik Teh yang
memang sedap dan ‘ada rasa’ kata mereka. Semasa zaman bujang, saya bersama
beberapa orang guru lain yang masih bujang pada ketika itu antaranya Cikgu
Zakaria, Cikgu Hidayat, Cikgu Maaruf, Pak Din, Ustaz Abdullah, Cikgu
Ismail, Cikgu Abas, Cikgu Aziz dan lain-lain juga amat suka kepada masakan
arwah. Manakala pada setiap kali menjelang Aidilfitri saya amat kagum kepada
Arwah Mak Cik Teh yang mampu mengacau sekawah dodol secara bersendirian, yang bagi
saya bukan satu kerja yang mudah. Kini arwah telah kembali ke Rahmatullah, semoga
roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah swt.
Pada sebelah malamnya pula kami warga Limauan akan
solat tarawih bersama-sama di surau sekolah yang sempit di sebelah hujung
bangunan pentadbiran. Imam solat tarawih dibuat secara bergilir-gilir dalam
kalangan ustaz-ustaz di Limauan, antaranya Tuan Pengetua (Ustaz Abd. Rahim 1982-83 & Ustaz Abd. Rahman 1983-86), Ustaz Hj.
Halim, Arwah Ustaz Ya, Ustaz Abdullah, Arwah Ustaz Khalid, Arwah Ustaz Mohd.
Sabri dan lain-lain. Antara imam yang diminati para pelajar ialah Arwah Ustaz
Ya, kerana kata mereka cepat siap. Apa yang saya ingat solat tarawih pada
ketika itu dilaksanakan sebanyak 8 rakaat pada hari-hari persekolahan (Isnin
hingga Jumaat), manakala pada malam Sabtu dan Ahad solat tarawih dibuat 20
rakaat. Selepas solat tarawih para pelajar bergegas dan berebut-rebut ke dewan
makan untuk mendapatkan juadah moreh yang disediakan pada sepanjang Ramadan. Siapa
yang lambat pasti akan melepas.
 |
| Berbuka di rumah Arwah Ustaz Khalid |
Menjelang sahur pula Dewan Makan telah menyediakan
makanan sekitar jam 3.00 hingga jam 4.15 pagi kerana waktu imsak bagi kawasan
ini sekitar jam 4.35 pagi. Semasa Arwah Ustaz Mohd. Sabri menjadi Warden Asrama
sekitar tahun 1983-84, setiap awal pagi kedengaran suara arwah mengetuk satu
demi satu pintu bilik Asrama Putera mengejutkan para pelajar bersahur dan ke
surau untuk solat Subuh berjamaah, termasuk juga rumah kami guru-guru bujang. Kami
juga sering menerima juadah berbuka yang lazat masakan isterinya, Kak Maheran
kerana jarak kuarters kami dengan kuarters mereka tidak sampai 100 meter. Jasa keluarga arwah terhadap kami guru-guru bujang amat banyak. Namun arwah telah dijemput
Allah pada hari ketiga Raya Haji tahun 1984 kerana serangan jantung pada usia
44 tahun. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh.
 |
| Sebahagian daripada para pelajar |
Demikian sebahagian daripada nostalgia Ramadan yang
saya lalui bersama warga Limauan pada sepanjang tempoh perkhidmatan saya di
situ kira-kira 4 setengah tahun dari Januari 1982 hingga akhir Jun 1986. Kini
semuanya telah tinggal kenangan kepada kita semua (khususnya warga Limauan). Pengalaman ini sebahagian daripadanya merupakan warna dalam perjalanan hidup kita masing-masing sehingga ke hari ini setelah
kira-kira 25-30 tahun berlalu. Sesungguhnya pengalaman ini tidak mungkin akan
berulang lagi dan tidak dapat dijual beli. Semoga ianya terus kekal dalam ingatan kita semua sampai
bila-bila. Kepada yang telah kembali kepada-Nya kita sedekahkan Al-Fatihah, semoga roh
mereka semua berada dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Amin.
3 ulasan:
Tq cikgu rasdi sgt2 terharu ada juga muka saya kat gmbr tu ketika wajah2 comel remaja.
Tq..cikgu rasdi....Sgt2 terharu..Adam juga wajah saya kat gmbr tu...Tq byk
Terima kasih... Membaca cerita ini mengingatkan semula suatu ketika dulu... Ada juga sesi berbtuuka puasa bersama keluarga angkat. Guru2 diberikan anak2 angkat... Kmi sempat nerbuka puasa di rumah cigu Mohd.Ghazalie... Terima kasih cikgu... Batch kami 1983-1987...
Cikgu Rasdi ada mngajar kelas kmi... Terima kasih cikgu
Catat Ulasan