 |
| Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang |
Sikap fanatik penyokong terhadap sesuatu pasukan sukan adalah hampir sama dengan sikap fanatik penyokong terhadap sesuatu parti politik. Jika fanatik terhadap parti politik manusia sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamatnya tercapai, begitu juga fanatik terhadap pasukan sukan. Fenomena ini berlaku di mana-mana sahaja tidak kira sama ada di negara maju, negara yang sedang membangun atau negara yang mundur khususnya dalam sukan bola sepak yang merupakan satu-satunya sukan yang diminati di seluruh dunia. Di Eropah seperti di England, Perancis, German dan lain-laian misalnya, insiden kekecohan di stadium bola sepak sering sahaja berlaku akibat daripada ketidakpuasan hati penyokong sama ada terhadap pihak lawan, pengadil perlawanan atau kepada pasukan sendiri. Kekecohan tersebut kadang-kadang membawa kepada kecederaan parah, malah kehilangan nyawa. Oleh itu adalah sukar bagi pihak yang berwajib untuk menyekat semangat yang keterlaluan ini kepada para penyokong pasukan tertentu sebagaimana juga sukarnya membendung semangat fanatik dalam politik.
 |
| Stadium TLDM Lumut , Perak |
Budaya yang juga dikenali sebagai budaya ‘hooligan’ ini nampaknya mula tumbuh dalam suasana sukan negara yang selama ini agak harmoni. Insiden di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang melibatkan perlawanan separuh akhir kedua antara Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) Piala FA pada 28 Mei 2013 baru-baru ini patut dijadikan iktibar. Perlawanan separuh akhir tersebut terpaksa dibatalkan selepas dikatakan lebih 7,000 penyokong duduk di trek. Mengikut peraturan FIFA sesuatu perlawanan tidak boleh dijalankan sekiranya penonton duduk terlalu hampir dengan tempat perlawanan. Ekoran daripada itu Persatuan Bola sepak Pahang telah didenda oleh FAM sebanyak RM100,000, manakala Persatuan Bola Sepak Johor telah didenda sebanyak RM20,000.
 |
| Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan |
Meskipun beberapa insiden telah berlaku di stadium lain pada tahun ini, namun apa yang berlaku di Kuantan itu dianggap serius dan ini merupakan denda tertinggi yang pernah dikenakan oleh pihak FAM. Persatuan-persatuan bola sepak lain yang pernah dikenakan denda ialah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan lain-lain lagi. Oleh itu, insiden di Stadium Darul Makmur perlu dijadikan pengajaran oleh semua Persatuan Bolasepak (FA) negeri supaya ia tidak berulang. Aspek keselamatan perlu ditingkatkan dan pada masa sama, semua pihak harus sedar tidak ada faedahnya membuat provokasi ke atas penyokong atau pemain lawan kerana ia hanya memburukkan keadaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan