RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

11 Mei 2013

Tragedi 3 Mei 2013: Alhamdulillah Selamat

Kami telah menerima panggilan telefon yang memaklumkan kakak ipar saya telah kembali ke Rahmatullah pada jam 11.50 malam, Khamis 2 Mei 2013 setelah koma selama 37 hari kerana terlibat dalam kemalangan motosikal pada 26 Mac 2013. Oleh kerana waktu sudah larut malam dan keletihan maka kami telah mengambil keputusan untuk balik kampung pada awal pagi keesokan harinya kerana mengikut maklumat awal jenazah Allahyarham akan dikebumikan kira-kira jam 11.00 pagi Jumaat, 3 Mei 2013. Maka kira-kira jam 5.15 pagi, Jumaat kami telah bertolak dari rumah kami di Kuala Lipis dengan dua buah kereta, saya bersama isteri dalam sebuah kereta dan empat orang anak kami menaiki kereta yang sebuah lagi. Hujan renyai-renyai telah turun sejak jam 3.00 pagi lagi pada hari tersebut, menyebabkan kami memandu dalam keadaan perlahan-lahan dan berhati-hati.
Jam 6.00 pagi kami telah singgah solat Subuh di masjid Sungai Mun, yang terletak kira-kira 50 km dari Kuala Lipis. Kami menyambung semula perjalanan kira-kira jam 6.15 pagi dalam keadaan hujan yang masih renyai-renyai tersebut. Kenderaan pada pagi tersebut agak banyak juga kerana orang ramai dari Lembah Kelang sudah mula balik kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada hari Ahad, 5 Mei 2013. Kenderaan yang agak banyak dan cuaca hujan renyai-renyai tersebut telah menyebabkan kami memandu dalam kadar kelajuan yang agak sederhana, lagi pun kami jangka dapat sampai sebelum jam 10.00 pagi.
Jam 6.45 pagi setelah tiba di KM70 jalan Kuala Lipis – Gua Musang, selepas Felda Chegar Perah tiba-tiba stering kereta Perodua Alza yang saya pandu seolah-olah dipusing ke kiri secara tiba-tiba. Keadaan tersebut telah menyebabkan kereta saya telah ke kiri bahu jalan secara mengejut dan berpusing dua kali. Saya tidak dapat berbuat apa-apa pada ketika itu kerana panik. Sekiranya saya menekan brek sudah tentu kereta tersebut akan terbalik, kerana mengikut anak-anak saya yang mengekori di belakang, pada ketika itu roda belakang sebelah kiri sudah terangkat tetapi jatuh semula setelah kereta tersebut berpusing balik. Kereta saya telah masuk ke longkang sebelah kiri jalan tersebut dan terhenti di situ. Alhamdulillah saya dan isteri tidak mengalami apa-apa kecederaan, kecuali sedikit terkejut dengan apa yang kami alami tersebut.
Anak-anak kami yang mengekori kami di belakang telah memberhentikan kereta dan menangis datang mendapatkan kami. Namun mereka kembali tenang setelah mendapati kami berdua selamat. Mula-mula saya menghubungi seorang rakan yang juga anggota polis, kemudian rakan-rakan dan saudara-mara untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut. Polis tiba kira-kira jam 9.30 pagi dan memaklumkan sebanyak 6 kemalangan telah berlaku di sepanjang jalan Kuala Lipis – Merapoh pada pagi tersebut. Isteri dan anak-anak saya telah meneruskan perjalanan untuk menziarahi kematian kakaknya setelah polis selesai mengambil maklumat kejadian. Saya telah berpatah balik ke Kuala Lipis bersama kawan pada jam 11.45 pagi setelah kereta saya ditarik ke bengkel untuk urusan laporan polis dan tuntutan insuran. Terima kasih kepada En. Zakaria Khalid, En. Abd. Majid Min dan En. Suhaimi Samat kerana turut membantu kami pada pagi itu, serta rakan-rakan yang telah sudi menelefon bertanya khabar tentang kejadian tersebut.
Demikianlah apa yang dikatakan malang tidak berbau, meskipun kita merasakan kita sudah berhati-hati semasa memandu. Ini merupakan kemalangan pertama saya yang agak tragis setelah kira-kira 30 tahun memiliki lesen memandu. Namun Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kami tidak mengalami apa-apa kecederaan dalam kemalangan tersebut. Sekian.

Tiada ulasan: