Jabatan Hal
Ehwal Pelajar dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan Jawatankuasa
Upacara Khas Institut (JKUKI), IPGKTAA telah mengadakan Majlis Kecemerlangan Akademik
2012/2013 pada 7 September 2013 bagi meraikan kecemerlangan yang telah dicapai
oleh para pelajar dalam peperiksaan akhir bagi semester Jun-Nov 2012 dan
semester Jan-Mei 2013 yang lalu. Majlis seumpama ini sudah menjadi kemestian
bagi sesebuah institusi pengajian dengan tujuan untuk meraikan dan mengiktiraf
kejayaan yang dicapai oleh para pelajar pada setiap semester atau tahun. Para
pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang terdiri daripada mereka telah
berjaya meraih kejayaan yang cemerlang dengan CGPA 3.85 ke atas. Jumlah pelajar
yang menerima anugerah tersebut adalah seramai 68 orang untuk Semester Jun-Nov
2012, manakala untuk Semester Jan-Mei 2013 seramai 84 orang, dengan jumlah
kesemuanya 132 orang termasuk pelajar yang sama mendapat anugerah secara
bertindih.
Jabatan Pendidikan
Islam dan Moral (JAPIM) telah menjuarai bilangan pelajar yang teramai menerima
anugerah ini bagi kedua-dua semester tersebut iaitu seramai 32 orang pelajar,
diikuti oleh Jabatan Bahasa seramai 28 orang pelajar, Jabatan Ilmu Pendidikan seramai
25 orang pelajar, Jabatan Pengajian Melayu dan Jabatan Sains Sosial
masing-masing seramai 20 orang pelajar dan selebihnya Jabatan Sains dan
Matematik, Unit Bahasa Inggeris dan Jabatan PJK. Jumlah ini adalah selaras
dengan Piagam Pelanggan IPGKTAA untuk melahirkan 3-5% bilangan pemegang ijazah
kelas pertama dalam setiap kali majlis konvokesyen. Pengarah IPGKTAA telah menyatakan
pandangannya bahawa pada masa akan datang nama-nama pemegang ijazah kelas
pertama akan diabadikan di Dewan Darul Makmur sebagai satu penghargaan kepada
mereka yang berjaya dan sebagai pendorong kepada para pelajar yang sedang melanjutkan
pelajaran untuk mendapatkan ijazah.
Sesungguhnya
para pelajar mempunyai tugas yang berat untuk memastikan kecemerlangan ini dapat
dibina dan dipertahankan dengan menyedari hakikat bahawa mereka yang cemerlang sahaja
akan mendapat tempat di dunia yang sangat kompetitif ini. Mereka juga harus
menyedari bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai sesesuatu kecemerlangan. Kecemerlangan
itu bukan sesuatu yang semula jadi tetapi perlu dibudayakan melalui
amalan-amalan dengan berlandaskan disiplin-disiplin tertentu yang akhirnya
boleh diukur secara nyata. Dalam konteks ini kita mengucapkan syabas dan
tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang telah memperkenalkan Sistem
Penilaian Sahsiah Keguruan (SPSK) yang julung-julung kalinya digunakan di IPG ini
sebagai salah satu instrumen penting untuk menilai sahsiah pelajar dalam aspek
kepimpinan, pencapaian dan penglibatan pelajar dalam semua aktiviti IPG selain
daripada pencapaian dalam aspek akademik.
Untuk
menggalakkan lagi pelajar mencapai kejayaan dalam ilmu akademik yang lebih
cemerlang, pihak IPG perlu memikirkan insentif-insentif lain selain daripada apa
yang diterima oleh pelajar-pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ini.
Mungkin kita boleh cadangkan para pelajar yang mendapat CGPA 3.85 dan ke atas
ini dapat meminjam jumlah buku yang lebih banyak di Perpustakaan dalam
satu-satu masa berbanding pelajar-pelajar lain atau cadangan-cadangan lain yang
berbentuk insentif akademik yang tidak melibatkan soal kewangan yang banyak.
Dengan cara memberikan imbuhan seperti itu para pelajar akan lebih bermotivasi
untuk menimba ilmu pengetahuan dan berjuang untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang
pada masa akan datang. Kepada para pelajar yang menerima Anugerah Pelajar
Cemerlang diucapkan syabas dan tahniah kerana telah berjaya meletakkan diri mereka
dalam kalangan pelajar-pelajar yang cemerlang. Tahniah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan