Setelah 36
tahun menabur bakti sebagai pendidik, maka pada 30 November 2012 Encik Roselan
Ahmad, Timbalan Pengarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan akan bersara daripada
perkhidmatannya. Beliau yang berasal dari Kota Tinggi, Johor telah mula
berkhidmat sebagai guru penolong di SMK Laksamana, Kota Tinggi pada 1 Februari
1976 hingga 31 Disember 1979 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti
Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980 hingga 1982. Selepas mendapat ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di UKM, beliau
sekali lagi kembali ke Johor dan berkhidmat di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru
pada 1 Ogos 1982 hingga 31 Disember 1982. Pada 1 Januari 1983 beliau kembali
berkhidmat di Kota Tinggi iaitu di SMK Tun Habab sehingga 31 Disember 1986. Encik
Roselan mula berkhidmat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan
(dahulunya Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan dan Institut Perguruan Tengku
Ampuan Afzan) mulai 1 Januari 1987 hingga sekarang.
Sebagai
seorang pendidik dan pentadbir yang berpengalaman, beliau telah memulakan karier
perguruan sebagai Guru Penolong (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah
C2) setelah mendapat latihan perguruan di Institut Bahasa, Kuala Lumpur pada
tahun 1975. Beliau kemudian telah dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan Siswazah DG3 pada tahun 1982 selepas mendapat ijazah daripada UKM.
Pada tahun 2002 beliau telah dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
DG44 dan seterusnya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG48 KUP pada
tahun 2004 dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG52 pada tahun 2008.
Pada tahun 2012 beliau telah dilantik sebagai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG54.
Apa yang
menarik dalam tempoh 36 tahun perkhidmatannya sebagai pendidik, kira-kira 25 tahun
atau 69 peratus daripada perkhidmatannya ialah di Institut Pendidikan Guru
(IPG). Di IPG beliau telah memegang pelbagai jawatan bermula dengan Pensyarah
di Jabatan Pengajian Melayu, Warden Kolej Kediaman, Ketua Unit Disiplin dan
Tatatertib di Jabatan Hal Ehwal Pelajar pada 1 Januari 1996 hingga 30 Julai
2006, Ketua Jabatan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar mulai 1 Ogos 2006 hingga 30
Mac 2009, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu dan akhirnya sebagai
Timbalan Pengarah di IPG ini mulai 1 Februari 2010 hingga sekarang. Selain itu
beliau pernah menjadi Konsultan Tadbir Urus dan Kepimpinan IPGKTAA mulai 1 April
2009 hingga 30 Januari 2010 dan melibatkan diri dalam banyak program di
peringkat Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia
(IPGM), Kementerian Pelajaran Malaysia.

Selama hampir
10 tahun saya berkhidmat bersamanya, banyak perkara yang boleh dimanfaatkan
daripadanya. Beliau merupakan
seorang yang lemah lembut, mesra, mudah dibawa berbincang, dan penuh kasih
sayang serta penuh rasa empati kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengannya.
Beliau juga seorang yang sentiasa ‘turun padang’ dalam apa jua program yang
melibatkan IPG ini. Namun demikian, beliau juga seorang yang tegas dalam
prinsip pentadbirannya. Beliau telah banyak berjasa dan menempuh
pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam membangunkan IPG ini yang bermula
dari kampus Semambu sehinggalah ke kampus di Kuala Lipis ini. Tempoh perkhidmatan
yang bukan sedikit masanya ini menjadikan beliau seorang yang telah banyak menyumbangkan
jasa bakti, pendapat dan pandangan yang berkualiti bagi membolehkan IPG (dahulunya
maktab perguruan) ini melahirkan guru-guru yang memiliki Sijil, Diploma dan
kini Ijazah Perguruan.

Untuk itu kita
doakan agar Encik Roselan dapat meneruskan kehidupan selepas bersara nanti
dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan di samping keluarga yang tercinta. Pada
hakikatnya persaraan bukanlah suatu penghujung kepada sesuatu kehidupan itu, tetapi
anggaplah ianya sebagai suatu permulaan ke arah kehidupan yang paling indah tanpa
sebarang masalah yang formal dalam hayat kita. Justeru itu, kita berharap agar beliau
dapat manfaatkan saat yang paling indah tersebut dengan penuh ketenangan serta penuh
ketakwaan. Selamat bersara kepada Encik Roselan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan