Dengan kuasa Allah Yang Maha Besar banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur khususnya
negeri Kelantan sudah mulai surut pada 30 Disember 2014 kecuali di beberapa daerah
di negeri Pahang setelah membadai selama kira-kira 7 hari mulai hari Rabu 24
Disember 2014. Bagi kebanyakan tempat di Kelantan banjir gelombang kedua ini
dikatakan lebih dahsyat berbanding banjir besar pada tahun 1967 kira-kira 47
tahun lalu yang telah menyebabkan 2,260 keluarga hilang tempat tinggal. Daerah yang paling teruk kesannya di Kelantan ialah Gua Musang
dan Kuala Kerai. Dianggarkan kira-kira hampir 100,000 orang penduduk negeri ini
telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir yang telah disediakan oleh
pihak kerajaan untuk memudahkan bantuan disalurkan. Jumlah tersebut tidak
termasuk mereka yang berpindah ke rumah saudara mara terdekat atau ke premis-premis
persendirian yang lebih tinggi lokasinya.
Di daerah kami Pasir Mas, kawasan yang teruk dilanda banjir
ialah di kawasan yang bersempadan dengan Thailand terutama sekali kawasan pekan
Rantau Panjang dan kampung-kampung sekitarnya yang mana seminggu sebelumnya telah terjejas teruk akibat banjir gelombang pertama kerana limpahan air dari Sungai Golok. Beratus-ratus buah kereta telah tenggelam termasuk yang diletak
di perkarangan Masjid Beijing yang dikatakan oleh penduduk setempat tidak pernah
sampai banjir sejak dibina kira-kira hampir 10 tahun yang lalu. Mereka sangat
yakin bahawa banjir tersebut berpunca daripada limpahan air dari beberapa buah
empangan di sebelah Thailand sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, bukannya 100%
berpunca daripada hujan monsun timur laut yang menjadi rutin kepada cuaca di
negeri-negeri Pantai Timur. Pada awalnya mereka yang tinggal di sepanjang Sungai Golok menganggap keadaan ini agak 'biasa' kerana kawasan mereka sering ditenggelami air tidak kurang dari dua atau tiga kali pada setiap kali musim
tengkujuh. Tetapi banjir daripada kedua-dua gelombang kali ini memang 'luar biasa' bagi mereka berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bandar Pasir Mas turut ditenggelami air lebih daripada satu
meter setelah kira-kira hampir 30 tahun tidak dimasuki air banjir semenjak
benteng dibina pada pertengahan tahun 1980-an. Saya telah sempat meninjau
tempat menyukat banjir di Dataran Air Muleh Pasir Mas pada 24 dan 25 Disember 2014
untuk melihat sendiri keadaan air di situ. Dataran ini sejak dahulu lagi secara tradisinya menjadi tempat tumpuan
orang ramai untuk melihat air sungai naik pada setiap kali musim
tengkujuh. Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang dewasa malah pelbagai
peringkat usia termasuk kanak-kanak yang seolah-olah datang untuk melihat ‘pesta
air’ tanpa sebarang kebimbangan. Jika pada masa dahulu mereka yang datang hanya untuk
melihat sahaja tetapi sekarang mereka datang dengan pelbagai alat rakaman untuk
merakam keadaan tersebut. Gambar-gambar yang diperolehi itu terus dihantar kepada saudara
mara atau rakan-rakan yang ingin mengetahui perkembangan tentang bencana tersebut. Seorang
sahabat saya dari luar Kelantan menyatakan beliau sangat pelik melihat keadaan tersebut kerana
sepatutnya orang ramai perlu menjauhkan diri daripada fenomena yang bahaya itu, tetapi di sini berlaku
sebaliknya. Saya telah menjelaskan kepada beliau, sebenarnya bila banjir besar melanda mereka akan lari juga akhirnya.
Oleh kerana kampung kami menjadi seperti pulau, maka dalam tempoh 25
hingga 30 Disember 2014 tersebut semua barangan keperluan di kedai-kedai runcit
utama di kampung kami telah kehabisan kerana dibeli oleh para penduduk kampung. Kami memang tidak
bersedia dengan barangan keperluan utama kerana tidak menjangkakan banjir
seteruk itu akan berlaku pada kali ini. Bekalan air dan letrik telah dipotong serentak pada
malam Jumaat 25 Disember 2014 dan ditambah pula dengan talian telefon bagi semua
saluran tidak berfungsi dalam tempoh tersebut. Jadi kami terpaksa kembali kepada zaman dahulu iaitu mandi dan membasuh pakaian dengan menggunakan air perigi di rumah jiran yang berdekatan, malam bercahayakan lilin atau pelita minyak tanah, dan makan nasi dengan hanya berlaukkan ikan kering atau ikan masin sahaja. Saya telah memberitahu anak-anak
bahawa inilah gambaran masa lampau di mana kami membesar dengan keadaan yang serba
kekurangan seperti yang mereka rasai pada musim banjir ini. Bagi saya sekurang-kurangnya mereka telah merasai suasana itu, walaupun mereka tidak berminat untuk menghayatinya.
Pada hari Rabu, 31 Disember 2014 setelah banjir hampir surut
sepenuhnya, saya sekeluarga telah kembali ke Kuala Lipis kerana salah seorang
daripada anak kami terpaksa balik ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan kami dari
Pasir Mas melalui Tanah Merah, Kuala Kerai dan Gua Musang, kami amat sedih
melihat keadaan rumah-rumah yang telah terjejas teruk oleh arus banjir tersebut.
Namun kita sentiasa menerima bahawa itu adalah ujian Allah Yang Maha Kuasa
terhadap makhluk-Nya yang sudah tentu ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Saya amat
terharu dengan tahap keprihatinan yang sangat tinggi daripada seluruh rakyat
Malaysia yang tidak terlibat dengan bencana ini. Mangsa-mangsa banjir telah
dibantu oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, NGO dan orang-orang
perseorangan sejak banjir mula melanda lagi. Saya amat terharu melihat deretan
konvoi kenderaan misi bantuan banjir yang tidak putus-putus berselisih semasa
kami dalam perjalanan pada hari tersebut. Syabas rakyat Malaysia! Sekian
catatan pengalaman yang amat berguna bagi kita semua meskipun senario ini hanya berfokuskan dalam konteks yang sangat sempit, iaitu daerah saya Pasir Mas. Selamat Tahun Baharu 2015.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan