RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

12 Disember 2014

Semarang Oh Semarang

Universitas Diponegoro
Berkunjung ke Indonesia merupakan perkara biasa bagi sesetengah daripada kita.  Namun bagi saya kunjungan ke negara jiran tersebut merupakan satu agenda yang termasuk dalam senarai utama negara yang saya cita-citakan untuk berkunjung. Oleh itu niat untuk mengunjungi Indonesia sebenarnya tidak pernah padam, tetapi disebabkan kekangan tugas dan keadaan-keadaan yang tidak mengizinkan, maka niat tersebut dipendamkan begitu sahaja. Akhirnya niat itu telah tercapai setelah saya dimaklumkan oleh pihak Pusat Pengajian Siswazah UPSI supaya menghantar abstrak ke International Seminar “Language Maintenance and Shift in Media and Education” (LAMAS IV) anjuran Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang dengan kerjasama Balai Bahasa Provinsi Jawa Tengah Indonesia yang akan diadakan pada 18 November 2014. Alhamdulillah abstrak saya bersama dua orang lagi rakan setugas iaitu Cik Nor Asiah Ismail dan En. Zakaria Khalid dari Jabatan Pengajian Melayu telah dipilih oleh panel UNDIP sebagai pemakalah di seminar tersebut.
Air Asia AK328
Kami berlepas ke Semarang pada hari Ahad 16 November 2014, dengan pesawat Air Asia AK328 jam 7.20 pagi melalui Lapangan Terbang KLIA 2 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani, Semarang pada jam 9.35 pagi waktu Indonesia Barat. Mendarat di lapangan ini dari segi fizikalnya mengingatkan saya kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semasa saya mula-mula tiba di Sabah pada 18 Januari 1980 kira-kira 34 tahun yang lalu. Kami kemudian mendapatkan 2 buah teksi kerana kami datang berlima untuk ke tempat penginapan di Hotel NEO Candi yang terletak di 56, Jalan Letjen S. Parman, Gajahmungkur kira-kira 9 km dari lapangan terbang. Tambang kedua-dua buah teksi berkupon tersebut ialah RP90,000 (RM26.10). Hotel yang terletak di Jalan S. Parman  itu merupakan sebuah hotel bertaraf 3 bintang di Semarang dan venue bagi seminar anjuran UNDIP tersebut. Pada sebelah petangnya kami telah makan malam di Restoran Nasi Padang Sederhana di 107, Jalan Pandanaran yang kos kesemuanya kira-kira RP235,000 (RM68.00) untuk 5 orang.
Lawang Sewu
Pada hari kedua, Isnin 17 November 2014 waktu Subuh ialah seawal jam 3.51 pagi, waktu terbit matahari jam 5.12 pagi waktu Indonesia Barat. Jam 7.00 pagi kami telah menyewa sebuah teksi Toyota Avanza dengan supirnya sekali, Pak Dwi Narno memandangkan kami berlima untuk lawatan sehari suntuk di sekitar kota Semarang. Lokasi pertama kami ialah ke Lawang Sewu (Seribu Pintu) iaitu bangunan pejabat kereta api zaman Belanda yang dikatakan mempunyai seribu buah pintu yang dibina pada tahun 1904 dan siap pada tahun 1907. Bangunan  Nederlands-Indische Spoorweg Maatschappij atau NIS merupakan salah satu daripada 102 buah bangunan bersejarah yang dilindungi di kota Semarang. Pada ruang bawah bangunan utama Lawang Sewu mempamerkan sejarah perkembangan kereta api di Indonesia khususnya di Pulau Jawa, manakala selebihnya terdapat ruang pejabat dengan pintu dan tingkap yang sangat unik. Mengikut jurupandu Lawang Sewu, Pak Adi, meskipun dinamakan sebagai bangunan ‘seribu pintu’ namun hakikat sebenarnya pintu-pintu tersebut tidaklah sampai seribu, tetapi bilangan pintu dan tingkap yang sangat banyak itu telah dikatakan ‘seribu’. Pak Adi menyatakan pada malam-malam tertentu ada orang yang pernah melihat 'penghuni' yang mendiami Lawang Sewu yang sangat klasik itu. 
Pinggir Pasar Ya'ik Baru
Kami kemudian ke Pasar Ya’ik Baru yang terletak bersebelahan dengan Pasar Johar. Pasar ini kelihatan hampir sama dengan tempat membeli-belah di Rantau Panjang, Kelantan dari segi bentuk dan jenis barangan yang dijual. Pasar Ya’ik Baru terletak di pusat perdagangan kota Semarang yang sangat strategik kerana berada di kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan yang sangat tinggi bagi kota ini, antaranya dua mercu tanda iaitu Mesjid Agung Kauman dan Pasar Johar. Di pasar ini kami telah membeli kain dan baju batik selain daripada beberapa jenis barangan lain. Di kawasan ini memang ketara kesibukannya terutama dari segi kenderaan dan orang awam yang lalu lalang. Pengayuh-pengayuh beca yang kebanyakannya terdiri daripada generasi tua kelihatan sabar menunggu pelanggan di sekitar pintu utama pasar, mereka terpaksa bersaing dengan bas mini dan teksi. Di tepi lampu isyarat utama kelihatan penjual surat khabar berdiri untuk mendapatkan pelanggan setiap kali lampu tersebut bertukar menjadi merah. Demikian kesibukan harian di Pasar Ya’ik Baru. Kami kemudian makan tengah hari di Restoran Super Penyet yang terletak di Jalan Gajahmada dengan bayaran RP187,000 (RM54.20) untuk 6 orang, termasuk Pak Narno.
Masjid Agung Jawa Tengah
Dari Restoran Super Penyet kami ke Masjid Agung Jawa Tengah yang terletak di Jalan Gajah Raya, Kelurahan Sambirejo, Kecamatan Gayamsari, Kota Semarang. Kami solat jamak dan qasar Zohor dan Asar di masjid yang terletak di atas tapak seluas 10 hektar yang telah dirasmikan pada 14 November 2006 itu. Di sudut sebelah kanan bahagian belakang ruang sembahyang masjid ini terdapat Beduk Ijo Mangunsari sepanjang 310 cm dan ukuran keliling 588 cm menggunakan 156 buah paku. Di luar anjung masjid ini terdapat 6 payung raksasa elektronik bagi menampung jemaah di luar masjid pada setiap dua kali setahun iaitu semasa solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan solat sunat Hari Raya Aidiladha. Di luar anjung masjid ini juga terdapat Menara Asma Al-Husna setinggi 99 Meter iaitu menara tinjau untuk melihat keindahan seluruh kota Semarang. Di bangunan menara ini terdapatnya Stesen Radio Dakwah Islamiah Masjid Agung Jawa Tengah di aras 1, Muzium Perkembangan Islam di aras 2, Kafe Muslim terletak di aras 18 dan ruang tinjau dengan 19 teropong tinjau di aras 19. Di aras ini juga merupakan tempat melihat anak bulan pada setiap kali menjelang bulan Ramadan dan Syawal. Kami amat mengagumi keunikan binaan masjid ini.
Restoran Bakso Pak Geger
Kami sekali lagi ke Pasar Ya’ik Baru bagi memenuhi permintaan kaum wanita yang tidak pernah selesai dalam agenda membeli-belah. Kami kemudian mengakhir agenda pada petang itu dengan dibawa makan malam oleh supir kami, Pak Narno ke Bakso Daging Sapi Pak Geger yang terletak di Jalan Mintojiwo, Gisikdrono, Semarang Barat, iaitu salah sebuah restoran bakso yang terkemuka di kota Semarang. Bagi saya rasa baksonya hampir sama dengan bakso yang pernah saya makan di Malaysia. Cuma bakso Pak Geger mungkin ada sedikit perbezaan resepi asli dan campurannya kerana bakso berasal dari negara Indonesia. Kami telah dikenakan RP115,00 (RM33.55) untuk 6 mangkuk bakso, 6 gelas teh herba, kerabu kulit sapi dan mangga. Kami kembali ke hotel kira-kira jam 8.00 malam.
Bentang paper di seminar
Pada hari ketiga, Selasa 18 November 2014 merupakan hari International Seminar Language Maintanance and Shift in Media and Education bertempat di NEO Candi Hotel, kota Semarang. Saya dan Cik Nor Asiah telah membentangkan kertas kerja dalam seminar ini. Jadi kami hanya berada di dewan seminar sehingga sesi penutup jam 4.30 petang. Saya telah membentangkan kertas kerja “Metrologi Dalam Peribahasa Suku Kaum Semai: Satu Kajian Semantik” pada sesi jam 1.45 – 2.45 tengah hari, manakala Cik Nor Asiah telah membentang tajuknya “Metafora ‘Kepala’ Dalam Pemikiran Melayu: Analisis Teori Blending”. Sidang Pleno telah dimakalahkan oleh Prof. Dr. Deli Nirmala (UNDIP), Prof. Dr. Yudha Thianto (USA) dan Prof. Dr. Zane Goebel (Australia). Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Drs. Pardi M. Hum, Ketua Balai Bahasa Provinsi Jawa Tengah Indonesia. Kami amat kagum dengan disiplin para peserta seminar yang tidak berganjak sama ada semasa majlis perasmian, semasa sesi seminar dan semasa majlis penutupan. Tamatnya seminar kami keluar lagi ke Paragon Complex, Pandanaran dan Pasar Johar hingga jam 8.30 malam.
Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani
Hari terakhir, Rabu 19 November 2014 kami telah meninggalkan NEO Candi Hotel ke di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani seawal jam 7.00 pagi selepas sarapan memandangkan penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 9.00 pagi waktu Indonesia Barat. Kami sekali lagi telah meminta supir Pak Dwi Narno untuk memberi khidmat terakhir setelah 3 hari berturut-turut khidmatnya digunakan pada sepanjang kami di kota Semarang. Namun setibanya di lapangan terbang saya telah tertinggal beg laptop di ruang legar hotel semasa urusan 'check out'. Nasib masih menyebelahi saya kerana teksi Pak Narno masih berada dalam lingkungan tidak jauh dari lapangan terbang dan selain itu saya telah menelefon pihak hotel agar menyimpan laptop tersebut. Saya bergegas ke hotel dengan teksi Pak Narno untuk mendapatkannya dan kembali semula ke terminal kira-kira jam 8.30 pagi. Tepat jam 9.00 pagi pesawat Air Asia AK329 meninggalkan bumi Semarang. Selamat tinggal Semarang. Jam 12.30 tengah hari kami selamat tiba di KLIA 2. Alhamdulillah. 

2 ulasan:

asi berkata...

kenangan yang tidak dapat dilupakan..masa pergi hampir ketinggalan kapal terbang...masa balik tertinggal lapto betsama tiket..semuanya sejarah paling indah...

asi berkata...

kenangan indah..pengalaman bertambah