RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

10 September 2014

Bekerjalah Dengan Ikhlas

Bekerjalah bersungguh-sungguh dengan ikhlas, nescaya ada ganjaran daripada-Nya nanti.” Demikian pesan saya pada setiap kali mempengerusikan mesyuarat jabatan sebagai peringatan kepada diri saya sendiri dan semua ahli di jabatan semasa beberapa tahun menjadi Ketua Jabatan. Pada pandangan saya bekerja dengan mengharapkan sesuatu ganjaran daripada sesama manusia umpamanya daripada majikan atau ketua akan memungkinkan hilangnya rasa ikhlas. Keikhlasan akan hilang apabila kita mengharapkan sesuatu daripada manusia dengan memberi keyakinan penuh kepada manusia, tidak kepada Allah swt. Bekerja dengan mengharapkan sesuatu ganjaran daripada manusia hanyalah untuk sementara waktu dan tidak kekal lama.
Sebaliknya sekiranya kita bekerja bersungguh-sungguh dengan niat kerana amanah dan untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah swt, maka secara automatiknya kita akan bekerja dengan penuh keikhlasan. Dalam konteks ini Allah swt telah berfirman “Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat.” (Asy-Syuuraa: Ayat 20).
Justeru itu marilah kita jadikan bekerja itu sebagai satu ibadah yang upahnya boleh dikutip di akhirat nanti. Di antara ciri pekerja dan pekerjaan yang dikatakan sebagai ibadah ialah:
·         Pekerjaan yang disertakan dengan niat mendapat keredhaan Allah;
·         Pekerjaan itu mestilah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak;
·         Tidak meninggalkan perkara-perkara wajib seperti solat.
·         Menghasilkan kerja yang berkualiti.
·         Dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh;
·         Berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab;
·        Menghindarkan diri dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik dan ingin disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai, suka berbangga dengan memberitahu kepada orang lain akan amal kebajikannya dan menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia telah banyak berbuat kebajikan dan amal ibadah.
Ramai di antara kita yang bekerja dengan tekun tanpa mengambil kira ciri-ciri tersebut, sebaliknya hanya memikirkan upah di dunia semata-mata. Lantaran bekerja itu sebagai satu ibadah, maka kita juga seharusnya bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana di samping kita dapat menikmati kepuasan hasil kerja kita, kita juga mendapat ganjaran daripada Allah swt. Hidup di dunia ini merupakan rentetan kepada hidup di alam akhirat nanti. Justeru itu marilah sama-sama kita pertingkatkan mutu kerja kita masing-masing dengan niat bahawa hasilnya menjadi bekalan sehingga ke akhirat. Rasulullah saw telah bersabda, “Sesungguhnya amal-amal perbuatan itu tergantung niat. Dan setiap orang akan mendapatkan balasan sesuai dengan apa yang diniatkannya.” (HR Bukhari Muslim). Sekian untuk renungan kita bersama.

Tiada ulasan: