RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

23 Mac 2009

Genting Highlands: Yang Menakjub dan Mengejutkan

Sabtu 14 Mac 2009, hari pertama cuti persekolahan bagi pertengahan semester pertama 2009, kami ke Genting Highlands atas pelawaan anak sulung yang datang sempena musim cuti ini. Tempat yang bertemakan ‘City of Entertainment’ dan terkenal sebagai tempat yang ‘eksklusif’ ini mempunyai jarak kira-kira 150 km dari kediaman kami di Kuala Lipis dengan mengambil masa memandu kira-kira sejam setengah. Meskipun saya sendiri sudah empat kali ke sini atas urusan tugas rasmi tetapi ini merupakan kunjungan kali pertama saya bersama keluarga seramai 6 orang walaupun tidak sepenuh ahli kerana anak kedua berada di Kota Kinabalu, Sabah dan anak keempat balik bercuti di Pasir Mas, Kelantan.
Kami tiba di Genting Highlands kira-kira jam 12.00 tengah hari setelah bertolak kira-kira jam 10.30 pagi dari rumah. Oleh kerana musim cuti persekolahan baharu saja bermula, didapati kenderaan yang naik ke tanah tinggi ini tidaklah begitu banyak pada hari tersebut. Kami tidak memandu terus ke atas kerana kami akan ke puncak dengan menaiki kereta kabel ke situ, jadi kami terus ke Gohtong Jaya di mana letaknya Stesen Genting Skyway berkenaan. Di kawasan ini jugalah terdapatnya Institut Aminuddin Baki (IAB), Hotel Seri Malaysia, Pusat Ekuesterian Genting dan di sini juga merupakan persimpangan jalan ke Batang Kali bagi mereka yang datang dari negeri-negeri di sebelah utara iaitu utara Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Tiket Genting Skyway ialah RM10.00 seorang untuk pergi dan balik dengan jarak kira-kira 3.4 km yang mengambil masa 15 minit perjalanan. Di sini anda harus berhati-hati dengan jurukamera yang seolah-olah mengambil gambar secara sukarela tetapi ‘menjeratnya’ di stesen ketibaan dengan bayaran yang ‘amat mengejutkan’ bagi kita orang biasa. Meskipun mempunyai kamera sendiri kami telah ‘terpedaya’ dengan sifat ‘kesukarelaan’ mereka yang mana kami telah memberi posing sebaik sahaja duduk di dalam kereta kabel dan akhirnya terpaksa membayar RM60.00 untuk dua keping gambar yang berukuran hanya 20 X 15 cm semasa tiba di stesen puncak Genting. Lalu saya terfikir, sepatutnya belanja makan tengah hari untuk enam orang dah lepas dengan kos sebanyak itu, memang betullah kata orang bahawa Genting ni ‘eksklusif’ sangat.
Di Out Door Theme Park kami mendapati tiketnya ialah RM38.00 untuk seorang pengunjung dewasa, RM27 untuk kanak-kanak dan warga emas, dan RM127 tiket untuk sekeluarga (2 dewasa dan 2 kanak-kanak) bagi sehari suntuk permainan air. Ini bermakna kalau kami berenam termasuk seorang kanak-kanak kosnya ialah RM217. Bagi saya adalah tidak praktikal untuk menghabiskan sehari suntuk di situ dengan bayaran yang begitu tinggi. Oleh kerana anak-anak kami juga tidak menuntut untuk masuk ke tempat itu, lalu kami hanya bergambar sahaja di pintu masuk taman tema tersebut. Kami kemudian ke First World Indoor Theme Park dan di sini pula harga tiketnya ialah RM26.00 untuk seorang pengunjung dewasa, RM24 untuk kanak-kanak, RM12 untuk warga emas dan RM95 untuk sekeluarga (2 dewasa dan 2 kanak-kanak). Sekiranya kami membeli tiket untuk kesemua permainan di sini, RM154 lagi perlu dikeluarkan. Lalu kami sekadar berjalan menyusuri ‘sungai jadian’ ala kota Venice yang padat dengan pejalan kaki yang mundar-mandir menikmati keunikan kawasan tersebut.
Di Level 2 kami dapati banyak gerai kecil di tepi laluan antaranya jualan aksesori wanita, lukisan kaligrafi, lukisan orang hidup, gerai feng shui dan sebagainya. Kami kemudian memasuki Snow World yang terletak di Level 2A First World Plaza dengan harga tiket RM17 untuk seorang pengunjung dewasa, RM14 untuk kanak-kanak dan RM58 untuk sekeluarga (2 dewasa dan 2 kanak-kanak) dengan disediakan kasut, jaket dan sarung tangan. Suhu bagi bilik bersalji ala musim dingin di negara barat ini ialah sekitar -5 darjah celcius dan cukup menebalkan bibir kami yang sememangnya tidak pernah merasai salji. Pengunjung juga boleh mendapatkan Nestle Bliss Yogurt Drink secara percuma dengan setiap keping tiket memasuki kawasan tersebut. Saya juga telah cuba meluncur menggunakan Giant Glider yang sepatutnya untuk mereka yang berat badannya kurang daripada 65 kg sahaja, sedangkan berat saya ialah 74 kg. Luncurannya amat menggerunkan kerana permukaan salji yang licin menjunam.
Bagi saya Genting Highlands sememangnya merupakan salah satu destinasi pelancongan negara yang menarik dengan pelbagai ‘tarikan jadian’ yang menakjubkan, kecuali hutan belantaranya sahaja yang asli. Dengan hal yang demikian, maka kesemua ‘tarikan jadian’ tersebut tentunya menuntut kepada pulangan pelaburan atau dengan kata lain setiap yang dinikmati pengunjung memerlukan bayaran yang setimpal dengan kos ‘jadian’nya. Itulah sebabnya di samping menakjubkan, Genting Higlands juga mengejutkan. Justeru saya berpendapat bahawa majoriti pengunjung ke sini merupakan mereka yang mempunyai lebihan RM bagi memenuhi kalendar pelancongan peribadi atau keluarga masing-masing. Mereka nampaknya tanpa masalah mengeluarkan RM untuk membayar tiket-tiket dengan harga yang begitu tinggi terutamanya bagi keluarga yang besar. Cara mereka mengeluarkan wang untuk membayar tiket sama ada di Out Door Theme Park atau di First World Indoor Theme Park tidak menampakkan negara sedang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi global yang dialami dunia pada masa kini. Sememangnya sesiapa yang suka beriadah secara berbayar, maka di sinilah tempatnya. Saya secara peribadinya tidak pernah memasukkan Genting Highlands sebagai salah satu destinasi pelancongan keluarga dalam kalendar percutian kami, sebab saya menyedari hakikat bahawa tempat ini memerlukan kos yang tinggi untuk sebuah keluarga yang agak besar seperti keluarga kami. Walau apapun, itu merupakan persepsi peribadi saya, namun kunjungan tersebut tetap memberi makna kepada kami sekeluarga. Sekian.

Tiada ulasan: