RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

31 Mac 2009

Ke Sabah Lagi

Nampaknya kalendar percutian kami sekeluarga kali ini benar-benar padat terisi setelah pada awal cuti iaitu hari Sabtu 14 Mac 2009 kami telah ke Genting Highlands walaupun tiada perancangan awal. Manakala pada 18 hingga 21 Mac 2009 pula kami sekeluarga (kecuali anak sulung yang berada di Kelantan dan anak kedua yang sudah berada di Sabah) telah ke Kota Kinabalu setelah berpeluang mendapat tambang promosi Sistem Penerbangan Malaysia (Mas) yang hanya bernilai RM206.00 seorang untuk pergi dan balik. Tempahan telah dibuat seawal 30 Oktober 2008 sebaik sahaja kami mengetahui tawaran tersebut melalui atas talian. Tambang murah ini lebih rendah berbanding syarikat penerbangan Air Asia kerana Mas menyediakan makanan dan minuman semasa penerbangan berbanding Air Asia yang menjual makanan dan minuman kepada para penumpangnya. Harga tambang yang kami dapat untuk enam orang penumpang ialah RM228.00 iaitu RM38.00 seorang, manakala cukai dan surcaj bahan api ialah RM1,008.00 yang jumlah kesemuanya RM1,236.00. Jadi kunjungan kami ke Sabah pada kali ini tidaklah melibatkan kos tambang yang terlalu tinggi.
Kunjungan ini merupakan kunjungan saya kali ketiga setelah meninggalkan Sabah pada bulan Jun 1986 dahulu. Kali pertama saya datang ke Sabah selepas 20 tahun ialah pada 27 hingga 30 November 2006 atas urusan rasmi di Kota Kinabalu, kali kedua pada 28 hingga 30 Jun 2008 untuk melaporkan anak kedua di UMS dan kali ketiga ialah kali ini iaitu 18 hingga 21 Mac 2009. Manakala bagi isteri saya, kunjungan kali ini merupakan kunjungan kali pertamanya selepas meninggalkan Sabah kira-kira 23 tahun yang lalu. Beliau sempat tinggal di Sabah kira-kira enam bulan sahaja iaitu pada awal Januari hingga akhir Jun 1986, sebelum saya dapat bertukar untuk melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia.
Rabu 18 Mac 2009: Kami tiba di KLIA kira jam 7.30 pagi kemudian menunggu satu lagi keluarga rakan setugas, Encik Johari Bapokutty yang juga ingin ke Sabah untuk menziarahi keluarga abang iparnya di sana. Kami mula mendaftar masuk kira-kira jam 8.45 pagi, yang dirasakan agak lewat juga untuk penerbangan pada jam 9.50 pagi. Lebih melewatkan kami untuk mendaftar masuk, apabila didapati anak lelaki kami tertinggal kad pengenalannya di dalam kereta yang telah diparkir di bangunan terminal KLIA yang sudah tentu mengambil masa untuk mengambilnya. Kami terpaksa menunggunya sehingga pihak kaunter daftar masuk membuat panggilan terakhir. Saya mula rasa cemas bercampur geram terhadap kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku itu, tetapi tetap bersabar kerana sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepadanya agar tidak cuai terhadap sebarang dokumen penting seperti itu. Kami semakin cemas kerana beberapa kali pengumuman telah dibuat dan akhirnya anak kami muncul di kaunter daftar masuk. Kami merupakan orang yang terakhir memasuki pintu masuk ke tempat menunggu.
Pesawat jenis Boeing 737-400 MH 2612 yang kami naiki berlepas kira-kira jam 9.55 pagi dalam keadaan cuaca di KLIA mendung dan hujan renyai-renyai. Namun keadaan cuaca baik setelah pesawat memasuki ruang udara Laut Cina Selatan. Kami tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tepat pada jam 12.20 tengah hari. Kami disambut oleh anak kedua kami, Angah dan rakannya Asmah dari Tawau, Azmi, anak buah yang bertugas di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar dan dua orang bekas pelajar saya iaitu Abd. Ghani Senang yang bertugas di Unit Pembangunan, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Awang Zuri Bustaman yang bertugas di SK Bukit Padang, Kota Kinabalu. Abd. Ghani dan Awang Zuri telah memberikan kami kunci rumah milik salah seorang lagi bekas pelajar saya iaitu Sulaiman Awang yang bertugas di SK Tempasak, Kinarut untuk kami menginap. Mereka juga menyerahkan kunci kereta Waja bernombor SAA9019G untuk kemudahan kami selama berada di Kota Kinabalu. Kereta tersebut milik Hj. Samin Ungki, salah seorang lagi murid kami yang merupakan seorang kontraktor. Kami tiba di tempat penginapan pada jam 2.30 petang.
Jam 5.00 petang: Kami keluar dan singgah di UMS dalam perjalanan ke Kota Kinabalu untuk meninjau dan membeli-belah di Pasar Filipina. Salah sebuah kedai yang kami tinjau di pasar kraftangan tersebut ialah Kedai Pak Lah dari Pasir Mas, Kelantan. Kami sempat berborak dengannya, yang mana beliau menyatakan bahawa beliau berasal dari Pasir Mas Salor dan telah berhijrah ke Sabah sejak tahun 1982 sebagai anggota tentera, kemudian berkahwin dengan gadis tempatan dan kini menetap di sebuah kampung di Lok Kawi, jalan Kota Kinabalu ke Papar. Sambil isteri membeli-belah, saya hanya meninjau aktiviti komuniti di sekitar pasar kraftangan tersebut. Jalan di hadapan pasar ini sentiasa sahaja sesak dengan kenderaan, lebih-lebih lagi di seberang jalannya merupakan kawasan pasar malam. Sesiapa yang menginap di Hotel Le Meridian dan hotel-hotel sekitarnya merupakan tempat yang paling strategik untuk membeli-belah di Pasar Filipina dan pasar malam KK. Gerai ikan bakar di bahagian belakangnya pula penuh sesak dengan pengunjung yang menjamu selera meskipun hujan turun renyai-renyai. Kami tidak menjamu selera di situ memandangkan semua gerai telah penuh dan keadaan warung yang agak basah, sebaliknya kami membeli dua ekor ikan bakar yang agak besar juga dengan harga RM35.00. Kami balik kira-kira jam 10.00 malam.
Khamis 19 Mac 2009: Hari ini kami konvoi ke Daerah Ranau yang pada mulanya untuk melawat Taman Kinabalu dan Kundasang sahaja, tetapi alang-alang datang kami terlajak sampai ke Kolam Air Panas Poring yang jaraknya satu jam pemanduan lagi. Taman Kinabalu merupakan Tapak Warisan Sedunia dan taman perlindungan untuk beribu-ribu spesis flora dan fauna. Kami tiba di Taman Kinabalu pada jam 11.00 pagi, tetapi malangnya wajah kemuncak Kinabalu tidak kelihatan kerana keadaan cuaca mendung dan berkabus tebal. Anak-anak merungut hampa kerana niat mereka hendak melihat Gunung Kinabalu tidak tercapai. Namun kami telah masuk hingga ke Pondok Timpohon (Power Station) untuk melihat tempat bermulanya pendakian gunung yang tertinggi di Asia Tengggara itu. Saya telah mendakinya kira-kira 28 tahun yang lalu iaitu pada 13 September 1981 semasa menuntut di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu.
Kami kemudian berpatah balik dan singgah untuk makan tengah hari yang dibekalkan oleh anak buah kami di pondok yang disediakan tidak jauh dari Pondok Timpohon. Selepas makan tengah hari kami bertolak pula ke Kolam Air Panas Poring. Oleh kerana pada awalnya kami tidak merancang untuk ke situ, maka hanya anak kami yang bongsu sahaja yang mandi di kolam air panas tersebut. Saya sendiri pernah melawat kolam air panas ini juga 28 tahun yang lalu iaitu pada bulan Jun 1981. Empat lagi anak kami telah menaiki Laluan Kanopy (Canopy Walkway) yang mempunyai ketinggian 41 meter dan 157.8 meter panjangnya. Kami berada di sini kira-kira 2 jam sebelum kembali semula ke Kota Kinabalu.
Jam 3.20 petang: Kami meninggalkan Kolam Air Panas Poring. Semasa balik kami singgah di Kundasang yang terkenal dengan jualan sayur-sayuran segar yang dibawa dari ladang di kawasan itu. Di sini barulah kami dapat melihat dengan jelas kemuncak Kinabalu kerana kebetulan cuaca terang pada masa itu. Anak-anak kami akhirnya dapat melihat dan merakamkan gambar kemuncak tersebut. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan balik dan kami tidak singgah di Pekan Nabalu, iaitu tempat jualan barangan kraftangan memandangkan tiada tempat meletak kereta kerana ramai pengunjungnya dan masa sudah lewat petang. Kami khuatir terlewat sampai kerana pada sebelah malamnya kami telah diundang oleh beberapa orang bekas pelajar untuk makan malam di Anjung Malawa, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) pada jam 8.30 malam.
Jam 8.45 malam: Kami tiba di Anjung Malawa dan disambut oleh lima orang bekas pelajar, beberapa orang lagi tidak dapat hadir kerana ada urusan masing-masing. Yang hadir ialah Abd. Ghani Senang, Abd. Razak Hj. Jamil, Jefri Omar, Kamiah Abdullah dan Sulaiman Awang. Abd. Razak merupakan salah seorang peguam yang terkenal di Kota Kinabalu yang berpejabat di Tetuan Razak & Associates, Lot 80, 1st Floor, Blok 1, Ruang Singgah Mata 4, Asia City, Kota Kinabalu. Abd. Ghani bertugas di Unit Pembangunan, JPN Sabah, Jefri Omar seorang ahli perniagaan, Sulaiman bertugas di SK Tampasak, Kinarut dan Kamiah bertugas di SMK Seri Nangka, Tuaran. Kami sekeluarga telah dijamu dengan hidangan istimewa pada malam tersebut sambil mengimbau kisah-kisah lama semasa mereka menjadi pelajar saya di SMK Agama Limauan pada tahun 1982 hingga 1986 dahulu. Mereka juga memaklumkan bahawa rakan mereka yang paling berjaya dalam perniagaan ialah Ariffin Sudin iaitu seorang arkitek yang terkemuka di Kota Kinabalu yang berpejabat di Ariffin Sudin Architect, Lot 32, 2nd Floor, Block D Riverside Plaza, Kingfisher Park, 88450 Kota Kinabalu. Ariffin tidak dapat bersama kami pada malam itu kerana berada di Tawau atas urusan perniagaannya. Kami sempat bergambar kemudian bersurai kira-kira jam 10.20 malam.
Jumaat 20 Mac 2009: Pagi ini saya telah membawa keluarga bersarapan di Kafe Kolej Kediaman E, UMS bersama-sama dengan anak kedua kami yang menuntut di situ. Saya mendapati harga makanan di kafe kolej kediaman ini amat berpatutan, sesuai dengan kemampuan kewangan para pelajar berbanding dengan harga makanan di Kuala Lipis yang agak tinggi. Kami kemudian meninjau kawasan kampus termasuk kawasan jeti UMS yang sangat cantik pemandangannya. Dari UMS kami telah ke IPGM Kampus Gaya (dulu Maktab Perguruan Gaya), tempat di mana saya mendapat latihan perguruan asas pada tahun 1980-81. IPGM ini nampaknya sedang dalam proses penyelenggaraan di bahagian cerun ke kawasan padang. Semua bangunan masih kekal dan kelihatan lebih ceria berbanding masa lalu.
Dari IPGM Kampus Gaya kami ke SMK Agama Tun Datu Mustapha (dahulunya SMK Agama Limauan), Kinarut tempat saya mula-mula berkhidmat sebagai seorang pendidik pada 2 Januari 1982. Sekolah ini juga sedang dalam proses pembinaan setelah bangunan lama yang diambil alih daripada UKM Kampus Sabah pada akhir tahun 1970-an semakin uzur untuk digunakan. Saya sempat berbual dengan Pengetua sekolah, Ustaz Haidun Hadi Sapiri tentang pembangunan sekolah tersebut yang secara kebetulan berada di pejabat pada ketika itu. Bangunan bilik kelas dan asrama pelajar masih digunakan, tetapi bahagian padang sekolah telah dipancang untuk pembinaan bangunan baru. Namun saya tidak dapat menunjukkan kuarters kediaman kami dahulu kepada anak-anak kerana deretan banglo kayu itu semuanya telah diroboh untuk pembinaan bangunan yang baru. Kami beredar dari SMK Agama Tun Datu Mustapha kira-kira jam 11.30 pagi.
Kami kemudian ke pekan Kinarut untuk melihat nostalgia pekan kecil yang ternyata tidak banyak berubah, kecuali bangunan sekolah Cina yang terletak berhampiran perhentian kereta api kelihatan bertambah. Dua deret bangunan kedai separuh kayu di pekan kecil itu masih teguh berdiri dengan warna yang sama seperti 25 tahun yang lalu. Saya kemudian telah memasuki kedai Teck Hong, iaitu tempat kami membeli barangan koperasi sekolah secara borong semasa saya menguruskan koperasi bersama Ustaz Ya dahulu. Taukeh Teck Hong selalunya akan menghantar barangan yang kami beli dengan menggunakan lori kecil satu tan. Saya ke situ untuk menguji daya ingatannya setelah lebih dari 20 tahun kami tidak berurusan. Ternyata beliau masih mengingati saya walaupun sudah lama tidak bertemu. Saya sempat merakamkan gambarnya dan beliau nampaknya gembira dengan pertemuan tersebut. Tujuh tin air minuman yang pada awalnya saya nak beli, akhirnya diberi percuma. Terima kasih taukeh Teck Hong.
Kami kemudian ke pekan Papar melalui jalan pantai iaitu melalui Kampung Berungis, Kampung Pengalat Besar dan terus ke Jambatan Papar. Pekan Papar juga tidak banyak berubah kecuali jalan utama Kota Kinabalu ke Papar tidak lagi melalui jalan lama Kampung Kawang, Kampung Tanaki dan Kampung Manggis sebaliknya melalui jalan pantai. Kini masa perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar menjadi semakin pendek. Kami akhirnya balik semula ke Kota Kinabalu dan melawat Muzium Sabah. Kami menghabiskan masa di sini kira-kira satu setengah jam termasuk melihat Kampung Warisan sebelum kami beredar ke Kompleks Segama untuk makan tengah hari di Restoran Sri Rahmat.
Restoran Sri Rahmat merupakan kedai makan popular kami semasa menjadi guru pelatih dan semasa mula-mula menjadi guru pada awal tahun 1980-an dahulu. Restoran ini milik Dato’ Rahmat Ismail, bekas anggota tentera yang berasal dari Kepala Batas, Alor Setar yang kini merupakan pemilik beberapa buah syarikat termasuk SRT-EON Security yang mempunyai cawangan di seluruh negara. Restoran itu kini telah berkembang menjadi dua pintu kedai berbanding hanya satu pintu semasa saya mula-mula datang ke Sabah dahulu. Harga makanan di sini berpatutan dengan pelbagai menu disediakan untuk pilihan pelanggan.
Jam 4.45 petang: Kami telah diundang ke rumah bekas pelajar saya, Hj. Samin Ungki yang terletak berhampiran Taman Pantai Lok Kawi tidak jauh dari pekan Kinarut. Beliau yang berpendidikan di SMKA Limauan, kemudian SMKA Al-Irsyad, Pulau Pinang sebelum ke Universiti Malaya kini merupakan seorang kontraktor dan aktif dalam politik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Beaufort setelah meletak jawatan sebagai guru. Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian beliau suami isteri menyediakan sebuah kereta untuk kegunaan kami sekeluarga semasa berada di Sabah selama empat hari. Kami sempat berada di rumahnya kira-kira sejam setengah sebelum kembali semula ke pasar malam di KK pada jam 6.30 petang.
Sabtu 21 Mac 2009: Merupakan hari terakhir di Sabah kerana kami akan berlepas balik pada jam 5.30 petang. Pada sebelah paginya saya telah membuat janji temu untuk berjumpa dengan rakan lama iaitu Cikgu Awang Talip Othman dan isterinya Cikgu Lasminah Lamin yang kini menetap di Kampung Benoni, Papar. Cikgu Awang Talip merupakan Guru Besar di SK Daingin, Papar manakala isterinya Penolong Kanan Kokurikulum di SRJK St. Agnes, Papar. Kami bertemu dan bersembang di sebuah kafe di Bangunan MUIS, bersebelahan dengan Masjid Negeri. Beliau menyatakan yang beliau sudah mempunyai seorang cucu dan akan bersara pada bulan April 2011 dengan tidak memilih opsyen persaraan 58 tahun. Kami berpisah kira-kira jam 11.00 pagi. Saya kemudian balik ke Pangkalan TLDM melalui SMK Likas untuk melihat sekolah di mana saya menjalani Praktikum Fasa Pertama semasa di MPG dulu. SMK Likas nampaknya lebih ceria dan menarik.
Jam 2.00 petang: Kami meninggalkan rumah anak buah di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar ke UMS untuk berjumpa dengan rakan-rakan anak kami yang sama-sama menuntut di situ. Kami sekeluarga bertemu dan bermesra dengan rakan-rakannya yang telah sedia menunggu di situ. Kami kemudian terus ke KKIA, yang mana turut bersama di lapangan terbang ialah anak buah kami, Azmi sekeluarga, Hj. Samin bersama isteri dan Sulaiman Awang.
Jam 6.00 petang: Pesawat Airbus A330 MH 2617 berlepas dari KKIA.
Jam 8.00 malam: Tiba di KLIA (bayar parking di KLIA untuk 4 hari ialah RM144.00)
22 Mac 2009 Jam 1.00 pagi: Tiba di Kuala Lipis setelah berhenti rehat dan tidur di bahu jalan kerana terlalu letih dan mengantuk.

Tiada ulasan: