Ikan patin atau nama saintifiknya Pangasius Spp merupakan salah satu
spesis ikan air tawar jenis meserba yang terdapat di sungai-sungai utama di negara ini, antaranya
di Sungai Jelai, Pahang. Sungai Jelai merupakan salah
satu cawangan Sungai Pahang yang mengalir dari kawasan pedalaman Cameron
Highlands melalui Daerah Lipis sebelum bertemu dengan Sungai Tembeling dan
masuk ke Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Daerah Jerantut. Hulu Sungai Jelai terdiri
daripada Sungai Telum, Sungai Jelai Kecil dan Sungai Serau yang mengalir dari
Daerah Cameron Highlands dan Gua Musang di Kelantan. Ikan patin yang ditangkap
dari Sungai Jelai dikatakan antara yang berkualiti tinggi dan enak rasanya
berbanding patin yang ditangkap di sungai-sungai lain di negeri ini.

Sekiranya anda ingin menikmati masakan ikan patin di
kedai-kedai makan di sekitar bandar Kuala Lipis, Jerantut atau Temerloh, anda
perlu bertanya terlebih dahulu harganya kerana terdapat pelbagai harga yang
berbeza mengikut jenis ikan patin. Terdapat beberapa jenis ikan patin dari
Sungai Jelai antaranya patin buah (Pangasius Nasutus), patin muncung (Pangasius hypophthmus), patin juara (Pengasius
Micromenus) dan patin lawang (Pangasius Sutchi). Harga ikan patin
sungai tersebut boleh mencecah RM150.00 untuk satu kilogram dan harga ini boleh
meningkat bergantung kepada permintaan para pembelinya.
Semasa kunjungan saya ke pekan sehari Padang
Tengku pada hari Ahad 9 September 2012, seorang pemuda sedang menjual ikan
patin sungai seberat 13 kilogram dengan harga RM90.00 bagi setiap sekilogram. Kebanyakan
pengunjung yang mengerumuni penjual ikan
itu terdiri daripada golongan warga emas yang memang tahu keenakan sebenar rasa
spesis ikan sungai tersebut. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan harga RM90.00
sekilogram itu amat murah kerana harga biasa di pasar Kuala Lipis ialah antara
RM100.00 hingga RM120.oo sekilogram bagi spesis ikan yang sama. Alamak murah? Bagi
saya yang tidak arif dengan harga pasaran ikan sungai ini, harga sekilogram ikan
tersebut boleh menampung belanja dapur untuk seminggu.
Rupa-rupanya pendapat kebanyakan warga emas
tersebut yang mengatakan harga ikan itu murah adalah benar, kerana dalam tempoh
kira-kira tidak sampai dua jam ikan seberat 13 kilogram itu habis dijual. Kebanyakan
pembelinya terdiri daripada golongan warga emas yang ’banyak wang’ yang ingin
mengembalikan selera terhadap masakan tradisional tempatan sebagaimana mereka rasai
semasa muda dahulu. Ini bermakna dalam tempoh tidak sampai dua jam, pemuda
penjual ikan patin itu memperolehi RM1,170.00 daripada hasil tangkapannya dari
Sungai Jelai. Fuhhh lumayan betul.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan