Banjir yang melanda negeri-negeri pantai timur
Semenanjung Malaysia sejak seminggu yang lalu nampaknya telah mula hampir pulih
seperti sedia kala. Banyak sekolah di negeri-negeri yang terlibat telah
mengalami kerosakan harta benda seperti kerusi, meja dan peralatan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam tempoh bencana tersebut. Ekoran
daripada itu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Kementerian Pelajaran Malaysia,
Sufaat Tumin berkata sesi persekolahan 2013 yang akan bermula pada 1 dan 2
Januari ini mungkin terpaksa ditangguhkan bagi negeri-negeri yang terjejas
akibat banjir. Bagaimanapun perkara itu akan diputuskan Pengarah Pelajaran
Negeri yang terlibat dengan bencana itu. Katanya, pengarah negeri perlu
mengambil kira laporan dan perkembangan semasa yang diterima dari bilik gerakan
serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat keputusan. Manakala
Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah-sekolah
yang dilanda banjir diberi kelonggaran untuk menangguhkan sesi persekolahan
2013 yang dijadual bermula minggu hadapan, sehingga keadaan kembali pulih.
Mengenai peralatan yang mengalami kerosakan itu, Kementerian
Pelajaran akan menggantikan barangan yang rosak di sekolah-sekolah yang
terlibat dengan banjir tersebut. Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk
Dr. Rosli Mohamed berkata, pihaknya sedang meninjau sekolah yang terjejas
akibat bencana tersebut bagi membuat penilaian mengenai kerosakan yang dialami.
"Kita sedang meneliti langkah-langkah kontinjensi untuk pastikan proses
pengajaran dan pembelajaran bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama
lagi tidak terjejas." "Penyenaraian daripada segi keutamaan sedang dibuat
dan bagi barangan yang kritikal kita akan ganti dengan kadar segera seperti
kerusi, meja dan peralatan ICT," katanya. Beliau berkata demikian ketika
melawat Sekolah Kebangsaan (SK) St. Thomas, Kuantan, pada hari Ahad 30 Disember
2012.
Fenomena banjir melanda khususnya di negeri-negeri pantai
timur Semenanjung Malaysia akibat daripada perubahan monsun timur laut pada
bulan Oktober hingga Mac pada setiap tahun sememangnya sudah dijangka oleh
semua pihak. Namun kebiasaan ini kadang-kadang tidak diberi perhatian secara
serius oleh pihak-pihak yang tertentu, kecuali oleh agensi-agensi di bawah
Majlis Keselamatan Negara/Negeri seperti polis, tentera, pihak-pihak berkuasa
tempatan dan sebagainya. Ada baik sekiranya semua pihak khususnya yang
melibatkan kepentingan awam seperti pihak sekolah dan sebagainya membuat
persediaan yang rapi dalam menghadapi bencana yang rutin ini.
Dalam konteks
ini, saya teringat semasa di sekolah rendah pada akhir tahun 1960-an dan awal
tahun 1970-an dahulu, kami murid-murid sekolah di luar bandar dikehendaki
menyusun meja dan kerusi di tempat tinggi pada hari akhir persekolahan sebelum
cuti akhir tahun. Kami menyusun meja dan kerusi tersebut secara
bergotong-royong dengan penuh 'semangat untuk bercuti’ pada ketika itu. Meja dan
kerusi yang disusun tinggi itu kemudiannya diletakkan peralatan sekolah yang
berharga seperti buku teks, rekod-rekod sekolah, mesin taip dan peralatan
pejabat, kotak kapur tulis, peralatan mengajar dan sebagainya. Oleh kerana bangunan
sekolah pada masa itu kebanyakan bangunannya satu tingkat, ketinggian susunan
meja dan kerusi yang disusun itu hanya akan tenggelam jika berlakunya banjir
yang luar biasa seperti yang pernah berlaku pada tahun 1967 atau 1971 di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia.
Untuk itu, oleh kerana rata-rata sekolah sekarang ketinggian bangunannnya lebih dari satu tingkat, maka sekolah-sekolah
yang telah jelas terdedah kepada risiko banjir ini dicadangkan perlu lebih
proaktif dalam usaha untuk menyelamatkan harta benda sekolah. Bencana yang
tidak diduga ini sememangnya sukar untuk dijangka, tetapi persediaannya harus
difikirkan secara objektif bukan sekadar menerima sebagai bencana dan kemudiannya
mentafsirkan kerugian yang bukan sedikit jumlahnya. Dengan andaian
bencana ini akan berlaku pada setiap tahun, maka segala peralatan yang boleh dialih atau diangkat
seperti almari, kerusi, meja dan sebagainya boleh disimpan di tempat yang lebih tinggi dalam tempoh hampir dua bulan cuti akhir tahun tersebut. Cadangan ini sememangnya
memerlukan kepada semangat kerjasama, tanggungjawab dan keikhlasan yang tinggi
dalam setiap jiwa warga sekolah. Tanpa komitmen serta kerjasama yang ikhlas
tersebut, perkara ini tidak dapat dilaksanakan. Dengan cara ini
sekurang-kurangnya pihak sekolah dapat meminimakan kerugian yang dialami serta dapat menyelamatkan harta sekolah sekiranya berlaku bencana banjir tersebut. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan