Makanan
tradisi tidak terhad kepada kueh-mueh atau lauk pauk semata-mata, malah juga termasuk
buah-buahan dan ulam-ulaman tradisional yang kaya dengan pelbagai khasiat yang
kebanyakannya tidak lagi dikenali oleh generasi sekarang. Buah-buahan tradisional
yang digemari oleh generasi lama kini sudah semakin dilupakan oleh generasi
baru. Pada masa sekarang ini buah-buahan tradisional ini sukar lagi untuk
diperolehi di mana-mana tempat di negara ini sama ada di kampung-kampung atau
di pasar-pasar awam. Buah-buahan tradisional misalnya telah tidak lagi dikenali
kerana kebanyakan pokoknya merupakan pokok liar yang telah ditebang untuk
tanaman komersial seperti getah, kelapa sawit atau diganti dengan pokok
buah-buahan moden seperti rambutan, dokong, duku, durian dan sebagainya.
Namun
dalam tinjauan semasa mengunjungi pekan sehari atau disebut ‘pekan sari’ bagi
masyarakat di Pahang Barat, masih terdapat beberapa spesis buah-buahan
tradisional yang dijual oleh peniaga di pasar tersebut. Antara buah-buahan atau
produk buah-buahan tradisional ini ialah buah tampoi (Baccaurea malayana),
biji bangkung (Artocarpus
champeden),
kepayang (Pangium edule), bacang
(Mangifera
foetida),
mencupu (Garcinia prainiana), kandis (Garcinia spp.), sentul
(Sandoricum koetjape), perah (Elateriospermum tapos)
dan setar (Bouea macrophylla).
Buah bacang,
mencupu, kandis, sentul dan setar mempunyai rasa yang sangat masam semasa buahnya
muda, manakala semasa masak rasanya bertukar menjadi masam-masam manis dan enak
dimakan bagi mereka yang gemar kepada buah-buahan yang masam. Buah kandis
misalnya boleh dijemur dan dijadikan asam keping untuk menggantikan asam
gelugur sebagai pelengkap kepada masakan tertentu. Manakala buah bacang boleh
dibuat sambal dan dimakan dengan nasi yang masih panas. Buah mencupu pula
merupakan spesis buah-buahan liar yang amat jarang ditemui pada masa sekarang. Begitu
juga dengan pokok setar yang juga disebut sebagai kundang atau rumia yang
dahulunya banyak terdapat di kampung-kampung, tetapi kini sudah sukar untuk
diperolehi.
Di pekan
sari Benta atau Padang Tengku, buah tampoi dijual dengan harga RM3.00 atau RM4.00
untuk 5 biji. Buah ini juga jarang didapati kecuali pada musim-musim tertentu. Selain
tampoi terdapat buah yang dijeruk terlebih dahulu baharu boleh dimakan, iaitu
buah kepayang dan buah perah. Buah kepayang yang sudah dihiris dan dijeruk boleh
dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan nasi sebagai ulam. Manakala buah
perah yang telah dijeruk boleh dimakan sebagaimana kita makan kacang goreng
atau kacang rebus. Namun kedua-dua jenis buah ini boleh menjadikan orang
memakannya mabuk sekiranya cara menyediakannya tidak mengikut peraturan yang
betul, umpamanya tempoh berapa lama buah tersebut dijeruk dan sebagainya. Biji
bangkung yang direbus dikatakan enak dimakan dengan buah rambai untuk mendapatkan
keenakan rasa sebenarnya. Buah bangkung merupakan buah yang seakan-akan buah
cempedak tetapi tidak mempunyai isi, hanya bijinya sahaja yang boleh direbus
dan dimakan.
Demikian
sebahagian daripada beratus-ratus spesis buah-buahan tradisional yang sedikit
demi sedikit mula dilupakan oleh generasi kita. Kemasukan buah-buahan yang diimport
dengan rasa yang lebih enak dan harga yang lebih murah menjadikan buah-buahan
tradisional ini semakin lenyap. Namun begitu generasi baru harus mengenali buah-buahan
tradisional yang menjadi sebahagian daripada kehidupan nenek moyang mereka pada
suatu masa dahulu sebelum popularnya buah-buahan yang diimport dari luar negara.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan