Praktikum Fasa 1 saya semasa Tahun 1 di Maktab Perguruan Gaya ialah di SMK Likas, Kota Kinabalu, manakala Praktikum Fasa 2 semasa Tahun 2 ialah di SMK Badin, Tuaran yang jaraknya kira-kira 35 km dari maktab kami. Semasa di Universiti Pertanian Malaysia pula Praktikum Fasa 1 saya ialah di SMK Alor Akar, Kuantan dan Praktikum Fasa 2 di SMK Abu Bakar (SABS) juga di Kuantan, Pahang. Semasa kami di maktab perguruan semua guru pelatih yang keluar menjalani praktikum dihantar dan diambil dengan menggunakan kenderaan maktab dan bas yang disewa khas. Namun semasa di universiti guru pelatih yang keluar menjalani praktikum dikehendaki menguruskan sendiri segala yang berkaitan dengan pengangkutan dan penginapan masing-masing.
Pada ketika itu kami menjalani praktikum dengan serba kekurangan namun berbekalkan dengan semangat yang tinggi. Semua alat bantuan mengajar kami buat sendiri secara manual tanpa kemudahan komputer dan internet sebagaimana hari ini. Alat bantu yang wajib ada pada kami pada ketika itu ialah papan gulung, radio kaset, kad manila dan lain-lain benda maujud yang sesuai dengan tajuk pengajaran dan pembelajaran. Kami membuat sendiri papan gulung dengan menggunakan kertas minyak yang berwarna coklat dipaku kepada dua batang kayu dan dicat menggunakan cat berwarna hitam. Kami akan menulis contoh-contoh ayat atau sebagainya untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pendeknya tiada guru pelatih yang datang berlenggang ke sekolah pada ketika itu, paling tidak mereka mengelek papan gulung atau membimbit radio kaset dan sebagainya.
Manakala pada setiap hari kami dikehendaki menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) berdasarkan Rancangan Pengajaran Mingguan yang telah diselaraskan dengan pihak sekolah. Semua RPH wajib disemak dan disahkan oleh pensyarah pembimbing sebelum digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pada hari berkenaan. Pengajaran dan pembelajaran tidak boleh dilaksanakan sekiranya RPH tidak disemak dan disahkan oleh pensyarah. Oleh itu kami terpaksa mengejar pensyarah pembimbing pada setiap hari bagi memastikan RPH disemak dan disahkan. Demikian betapa ketatnya kawalan kualiti sistem pendidikan guru pada ketika itu agar maktab perguruan dapat menghasilkan guru-guru yang benar-benar berkualiti. Oleh itu dalam tempoh praktikum, tiada guru pelatih yang hanya duduk bergoyang kaki di asrama, tetapi masing-masing sibuk dengan persediaan alat bantu mengajar. Ada yang menulis di papan gulung, ada yang meminta rakan-rakan membantu membuat rakaman menggunakan radio kaset, ada yang membuat boneka dan tidak kurang juga yang memotong keratan akhbar dan sebagainya untuk dijadikan bahan bantu semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-m
asing.Pada masa itu pensyarah pembimbing tidak akan memberitahu kepada guru pelatih di bawah seliaannya tarikh untuk mereka membuat pencerapan praktikum. Kami hanya menyedari kedatangan pensyarah apabila melihat kereta pensyarah berkenaan memasuki pintu pagar sekolah untuk menyelia praktikum. Oleh itu kami sentiasa bersedia dengan RPH dan alat bantu mengajar pada setiap hari sepanjang tempoh praktikum tersebut. Keadaan ini amat berbeza dengan senario praktikum pada masa sekarang di mana kebanyakan guru pelatih dimaklumkan terlebih dahulu tarikh penyeliaan oleh Pensyarah Pembimbingnya.
Secara positifnya guru pelatih diberitahu terlebih dahulu, kerana pada masa sekarang sekolah terlalu banyak program yang memungkinkan guru pelatih tidak dapat dicerap pada hari berkenaan kerana terlibat dengan program berkaitan. Keduanya, kerana kini terdapat kemudahan alat komunikasi seperti telefon bimbit, internet dan sebagainya untuk menyampaikan maklumat berkaitan. Kedua-dua faktor ini tidak terdapat semasa saya berada di maktab perguruan dahulu. Namun daripada segi negatifnya memungkinkan guru pelatih akan membuat persediaan yang baik pada hari pencerapan dibuat sahaja kerana mereka sudah dimaklumkan lebih awal, tetapi pada hari-hari lain mereka hanya membuat persediaan yang sekadarnya sahaja. Walau apapun keadaannya bergantung kepada sikap dan nilai integriti yang ada pada seseorang guru pelatih itu. Mereka yang berkehendakkan sesuatu hasil yang baik tentunya perlu berusaha lebih. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan