Isu Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) kosong dan tidak terurus sudah sekian lama dikemukakan oleh pihak penghuni yang terdiri daripada warga Kementerian Pelajaran kepada pihak yang berwajib. Namun masalah tersebut nampaknya masih lagi tidak menampakkan tanda perubahan yang ketara. Bilangan kuarters yang terbiar masih lagi tidak berubah, malah mungkin semakin bertambah kecuali di kawasan bandar raya dan bandar-bandar besar. Dengan pelbagai faktor yang amat meresahkan penghuninya, KIP nampaknya bakal menjadi satu lagi ‘gajah putih’ yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan.
Semasa menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman mengenai rancangan Kementerian Pelajaran terhadap kuarters yang terbiar dan digelar sebagai "kuarters hantu" dalam sidang Dewan Negara seperti yang dilaporkan Berita Harian pada bulan Julai 2011, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, sejumlah 8,812 unit kuarters guru masih kosong dan tidak diduduki berikutan pelbagai faktor. Faktor-faktor tersebut termasuklah kekangan peruntukan untuk menaik taraf kuarters berkenaan, lokasi yang kurang sesuai, pemotongan keseluruhan bayaran elaun Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) serta pemotongan 50 peratus elaun Sara Hidup (COLA) bagi para penghuni yang menduduki kuarters serta keadaan fizikal yang tidak diselenggara. Terdapat juga berlaku pengurangan pelajar di satu-satu sekolah, menyebabkan bilangan guru-guru di sekolah terbabit berkurangan, akibatnya berlaku kekosongan unit kuarters guru.
Meskipun dikatakan beberapa cadangan sudah dikenal pasti bagi membantu mengatasi masalah pengisian kuarters tersebut, seperti penyelenggaraan yang menyeluruh, menawarkan kepada agensi dan kementerian lain yang memerlukan kuarters untuk kakitangan mereka dan semakan semula pemotongan IPT serta COLA, namun setakat ini tiada menampakkan sebarang perkembangan yang nyata. Sebagai warga pendidik yang prihatin terhadap perkembangan ini, kita bimbang masalah-masalah yang berkaitan akan bertambah pada masa akan datang. Kini ada sesetengah bangunannya sudah semakin usang dan kelihatan umpama ‘rumah berhantu’ jika dilihat dari luar.Oleh itu dicadangkan agar pihak yang berwajib mengambil langkah-langkah yang berikut bagi mengelakkan masalah pembaziran ini berlarutan. Pertama, menyediakan peruntukan untuk penyelenggaraan yang menyeluruh bagi semua kuarters termasuk kawasan luarannya. Kedua, mengenakan pemotongan ITP tidak lebih daripada 50% mengikut gred gaji penghuni. Ketiga, memberikan COLA 100% kepada penghuninya. Keempat, kuarters terbuka untuk didiami oleh semua kakitangan kerajaan dan badan berkanun di kawasan berkenaan. Kelima, tanggungjawab kebersihan kawasan kuarters ditenderkan kepada pihak swasta. Sekiranya langkah-langkah ini diambil, mungkin sedikit sebanyak masalah kekosongan dan kekurangan penghuni kuarters institusi pendidikan dapat diatasi. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan