
Ahad 28 September 2008, saya ke bandar Pasir Mas untuk membeli keperluan harian termasuk sedikit tambahan keperluan untuk Hari Raya. Bandar kecil yang kian bertambah penduduk ini amat sesak sekali dengan orang ramai terutama sekali di sekitar ‘pasar pagi’ atau ‘Pasar Mundok’.
Kesesakan di bandar ini sememangnya berlaku sejak dahulu lagi kerana pertamanya faktor pertambahan penduduk yang sekali gus meningkatnya bilangan pengguna kenderaan khususnya kenderaan persendirian dan keduanya pihak berwajib tidak dapat menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi kerana daripada segi fizikalnya bandar Pasir Mas tiada kawasan yang boleh dibangunkan.Kebanyakan para peniaga di bandar kecil ini mempunyai kenderaan sendiri dan sekiranya lebih 60% daripada jumlah petak letak kereta digunakan oleh mereka, hanya baki 40% sahaja lagi petak yang boleh digunakan oleh orang ramai. Oleh itu pada setiap kali musim cuti persekolahan atau perayaan seperti ini kesesakan bandar Pasir Mas amat ketara sekali kerana bilangan kenderaan mereka yang balik kampung berlipat kali ganda banyaknya dan ditambah pula dengan kenderaan tempatan yang sudah sedia sesak saban hari.
Bandar Pasir Mas kini seolah-olah terbahagi kepada dua bahagian yang dipisahkan oleh jalan kereta api. Pasar Besar Pasir Mas berada di Jalan JKR di seberang stesen kereta api, manakala pasar pagi (yang dahulu dibenarkan berniaga sehingga jam 12.00 tengah hari) pula berada di sebelah stesen kereta api. Disebabkan terbahagi duanya bandar ini, maka orang ramai menggunakan jalan pintas untuk berulang-alik dengan menyeberang landasan kereta api di hujung platform stesen tersebut. Laluan ini telah beberapa kali ditutup oleh pihak Majlis Daerah dan KTMB, tetapi akhirnya telah dibuka semula oleh orang ramai tanpa memikirkan bahaya kerana melalui landasan kereta api. Mereka sebenarnya telah sewenang-wenang melanggar Perkara 63 Akta Keretapi 1991 yang menyatakan: Mana-mana orang yang dengan sengaja menunggang, membawa, atau memandu atau menghalau ke atas atau melintasi landasan keretapi apa-apa kenderaan atau haiwan, kecuali apabila secara terus melintasi landasan keretapi itu di mana-mana jalan atau tempat yang ditetapkan bagi maksud itu pada masa yang dia boleh berbuat demikian dengan sah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap kesalahan.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI - Maaf Zahir dan Batin
Rabu (1 Syawal) bersamaan 1 Oktober 2008
Sabtu 4 Oktober 2008, anak rantauan mula meninggalkan kampung halaman dan sanak saudara untuk kembali ke tempat bertugas masing-masing. Haluan kesibukan kenderaan telah bertukar arah dari desa ke kota. Kami sudah mengagak bahawa antara lokasi-lokasi yang kritikal ialah di Jambatan Kusial baik dari arah Machang atau Tanah Merah, di bandar Machang, di Guchil, Kuala Krai dan laluan sebelum memasuki bandar Gua Musang. Untuk itu kami telah memilih jalan alternatif iaitu laluan Jeli – Gua Musang melalui Stong dan Jelawang walaupun jalan rayanya kurang elok dan sempit. Hujan di sepanjang jalan menyebabkan perjalanan kami agak perlahan.Kami tiba di Kuala Lipis jam 2.10 pagi setelah memulakan perjalanan dari jam 6.35 petang dengan beberapa kali berhenti untuk makan, sembahyang dan tidur kerana keletihan dan mengantuk. Perjalanan sebenar Kuala Lipis ke Pasir Mas ialah 4 jam setengah atau 5 jam sahaja. Alhamdulillah kami semua selamat tiba ke destinasi tanpa apa-apa musibah yang berlaku. Saya amat terharu dengan
laporan akhbar hari ini yang menunjukkan seorang kanak-kanak menjadi yatim piatu setelah kedua-dua orang tuanya maut kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya selepas menziarahi saudara mara di Setiu, Terengganu. Hari ke-10 Ops Sikap ke-17 pula menunjukkan seramai 9 orang maut yang kebanyakannya melibatkan pengguna motosikal. Jumlah kematian keseluruhan dalam tempoh sepuluh hari operasi ini ialah 143. Semoga kita semua selamat dalam perjalanan untuk menuju ke destinasi masing-masing.