RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

12 Oktober 2008

Pekan Sehari: Memenuhi Citarasa Tradisi

Seminggu selepas Hari Raya nampaknya pekan sehari kembali rancak. Walaupun ada peniaga yang masih dalam suasana ‘demam hari raya’, tetapi keperluan di pihak pengguna tentunya tidak ‘bercuti’ untuk meneruskan kehidupan seharian. Sama ada demam ‘hari raya’ atau tidak, permintaan terhadap keperluan harian pengguna tetap juga berlaku. Kalau di bandar-bandar besar orang ramai sudah mula kembali ke pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Maidin, Carfour dan sebagainya, masyarakat desa juga mula kembali ke pusat ‘membeli belah’ mereka iaitu pekan sehari. Di sinilah tempat berkumpulnya hasil-hasil pertanian penduduk kampung, khususnya penduduk pedalaman dengan pelbagai jenis sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan yang segar.
Pekan sehari atau ‘pekan sari’ di daerah-daerah Pahang Barat, khususnya di Daerah Lipis mempunyai fungsi yang sama dengan ‘pasar pagi’ di Kelantan atau ‘pasar tamu’ di Sabah. Apa yang berbeza ialah pasar pagi di Kelantan diadakan pada setiap pagi 7 hari seminggu, manakala pekan sehari dan pasar tamu diadakan pada hari-hari tertentu sahaja mengikut kawasan atau tempat. Di Daerah Lipis, tiga pekan sehari utama iaitu di bandar Kuala Lipis diadakan pada setiap hari Sabtu dan dua tempat lagi iaitu di Padang Tengku dan Benta diadakan pada hari Ahad. Aktiviti jual beli di sini berlaku seawal jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan di sini juga menjadi lokasi pertemuan warga tua untuk bertanya khabar dan mengimbau kisah-kisah silam. Pendeknya pasar mingguan yang dijalankan sejak sekian lama ini mempamerkan pelbagai keunikan tradisinya.
Apa yang menarik, ketiga-tiga pekan sehari ini bukan sahaja menawarkan barangan keperluan biasa yang boleh diperolehi di pasar basah biasa, tetapi turut menjual beberapa item unik yang sukar diperolehi di tempat-tempat lain bagi memenuhi citarasa tradisi kita. Bagi penggemar ulam-ulaman dan sayur-sayuran kampung di sini kita boleh ketemui serai kayu atau samak (eugenia palembia), bunga kantan (phaeomnia speciosa), pegaga (hydrocotyle asiatica), lemidi (stenochlaena palustris), paku (cycas rumphii), kesum (polygonum pubescens), putat (barringtonia conoidea), pucuk gajus (anacardium occidentale), bekoi (crypteronia spp.), keredas (pitchecellobium bubalinum), petai (parkia spekisu), jering (pitchecellobium jiringa), keladi bunting (eichhornia crassipes), keladi moyang (hamalomena spp.), temu mangga (curcuma zedoaria), maman (cleome icosandra), ulam raja (cosmos caudatus) dan lain-lain lagi yang amat sukar untuk diperolehi di pasar biasa.
Selain itu makanan daripada tumbuhan tradisi tempatan juga turut dijual seperti rebung, bangkung (artocarpus champeden), kepayang (pangium edule) dan perah (pimeleodendron griffithianum) yang dijeruk dan boleh dimakan dengan resipi-resipi tempatan tertentu. Rebung jeruk boleh dicampurkan dengan gulai kuning ikan patin, daging atau perut. Di pekan sehari ini juga saya pernah membeli kulit kerbau yang sudah siap dibakar dan dibersihkan. Item istimewa yang unik ini sedap jika dimasak gulai atau dibuat sup. Item-item lain yang jarang kita ketemui di tempat lain ialah emping padi yang sudah sedia untuk dimakan juga turut dijual di sini. Selain itu sekali sekala kedapatan buah asam gelugur (garcinia atnoviridis) yang kurang dikenali anak-anak zaman sekarang turut dijual. Produk kampung lain termasuklah telur itik kampung, telur ayam kampung dan sebagainya.
Bagi peminat ikan sungai di pekan seharilah anda akan bertemu dengan spesis ikan yang menjadi hidangan istimewa tradisi nenek moyang kita. Tetapi anda jangan terkejut dengan harganya! Adakalanya kita akan bertemu dengan penduduk kampung yang menjaja ikan kelah (tor spp), yang harganya boleh mencecah lebih RM60 satu kilogram. Spesis-spesis ikan lain yang istimewa ialah patin sungai (pangasius spp.), kenderap (bagarius bagarius), jelawat (leptobarbus hoevenii), belida (notopterus chitalia), temoleh (probarbus jullieni) dan sebagainya. Ikan sungai yang telah siap disalai juga dijual dengan harga yang berpatutan dan sedap jika dimasak gulai kuning dicampur belimbing buluh (averrhoa bilimbi). Sambal hitam belimbing memang istimewa untuk ‘memecah selera’. Untuk mengimbau tradisi makanan kita, datanglah ke pekan sehari. Sekian.

Tiada ulasan: