Pameran bahan P&P bagi mata pelajaran Literasi Bahasa (WAJ3104) telah diadakan di Pusat Sumber IPTAA pada 30 hingga 31 Oktober 2008. Semua bahan pameran adalah hasil kerja amali para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Semester 2 yang diusahakan semasa sesi bengkel bagi mata pelajaran tersebut. Kesemua 6 unit PISMP telah mengambil bahagian dalam pameran ini. Antara bahan-bahan yang dipamerkan ialah bahan pengajaran yang berupa kad-kad suku kata, gambar, boneka, bahan-bahan untuk menguji deria, bahan-bahan interaktif dan sebagainya. Bahan-bahan pameran yang dipamerkan dibina berasaskan kepada tajuk-tajuk yang dikemukakan dalam sukatan pelajaran tersebut, iaitu
Bengkel Aktiviti Prabacaan: Kaedah Fonetik, Kaedah Abjad, Kaedah Pandang dan Sebut. Bengkel Aktiviti Pratulisan: Aktiviti Penulisan Mekanis, Bengkel Penyerapan Pemulihan Membaca dan Menulis dalam Mata Pelajaran Pendidikan Muzik, Aktiviti Penyerapan Pemulihan Membaca dan Menulis dalam Mata Pelajaran Pendidikan Seni Visual, Aktiviti Penyerapan Pemulihan Membaca dan Menulis dalam Mata Pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Membina dan Menggunakan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Bukan Elektronik: Bengkel Pengajaran Menggunakan Boneka, Bengkel Pembelajaran Secara Individu, Berpasangan dan Berkumpulan, Bengkel Pembinaan Bahan Pemulihan dengan Power Point dan Bengkel Membuat Rakaman Bunyi-bunyian dengan Menggunakan Alat Perakam Digital.
Pensyarah-pensyarah yang terlibat dengan mata pelajaran ini ialah Pn. Hajah Ramlah Abd. Rahman (Ketua Jabatan Pengajian Melayu), Cik Nor Asiah Ismail (Penyelaras Literasi Bahasa), En. Mohd. Rasdi Saamah, En. Mohd. Zaim Hassan, En. Dzulkarnain Mat dan Pn. Rogayah Othman. Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Pn. Hjh. Ramlah Abd. Rahman menyatakan bahawa kualiti bahan-bahan yang dihasilkan oleh para pelajar pada kali ini lebih baik dan beliau amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak. Bahan-bahan penghasilan para pelajar ini akan dijadikan contoh kepada para pelajar yang akan menjalani praktikum pada semester hadapan.
Semua pihak dialu-alukan untuk melihat pameran ini, khususnya para pelajar KPLI yang akan memulakan tugas sebagai guru permulaan pada awal Januari 2009. Selain para pelajar KPLI, pelajar-pelajar PISMK-OUM juga bakal menamatkan pengajian mereka kira-kira dua semester lagi. Semoga bahan-bahan yang dipamerkan ini akan menjadi sumber ilham kepada mereka yang akan bergelar sebagai guru tidak lama lagi. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan