
Sekolah Kebangsaan Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan 1970
Duduk dari kiri: Syed Salleh Syed Yusoff (Majlis Daerah Pasir Mas), Abdullah Daud (Guru Agama Jabatan Agama Islam Kelantan), Tuan Mohd Yaman Tuan Soh (Sendiri), Ariff Shafii (Pesara Tentera), Ghazali Che Pa (sendiri), Allahyarham Hasbullah Husain , Ismail Daud (Pegawai di Koperasi ATM KL), Saya (Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis), Mat Jusoh Mat Na (Pesara Tentera), Fauzi Saamah (Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu), Kamaruddin Ramli (PK 1 SMK Dato' Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah), Mustafa Yaakub (Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia, Pasir Mas) dan Noralam Hj. Majid (Kaunselor SMK Kangkung, Pasir Mas).
Berdiri dari kiri: Rosnani Abd. Rashid, Siti Hawa Awang (Pengusaha Pasar Mini, Johor Bahru), Siti Aisyah Hj. Hasan (suri rumah), Noraini Md. Zain (suri rumah), Ramzan Harun (Klinik Desa Felda Jenderak Selatan, Kuala Krau, Pahang), Rohana Ismail (Guru SK Sultan Ibrahim 3, Pasir Mas), Tn. Hj. Idris Muhamood (Guru Kelas - bersara Penolong PPD Pasir Mas/Tumpat), Ramlah Md. Zain (suri rumah), Razimah Mohamad, Wan Zawiah Wan Ismail, Sakinah Ismail, Syarifah Shafaat Syed Mohamad dan Shuhaibah Wok.
![]() |
| SK Banggol Chicha sekarang |
Saya mula masuk ke Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan
Banggol Chicha[1],
Pasir Mas, Kelantan pada awal Januari
1965. Jarak sekolah dengan kampung kami kira-kira 1.5 km dan kami semua berjalan
kaki bersama-sama semasa pergi dan balik dari sekolah. Dengan serba kekurangan
pada ketika itu, orang tua saya hanya mampu menyediakan sepasang baju sekolah
iaitu kemeja putih dan seluar pendek berwarna biru serta sepasang kasut kain
putih berjenama “Arrow” yang berharga RM1.20 sepasang. Semua murid-murid
sekolah kami memakai kasut seperti itu, kecuali seorang dua sahaja yang mampu
memakai kasut jenama Bata (Badminton
Master) yang harganya RM2.99 pada ketika itu. Saya menyedari hakikat ini
dan bersyukur kerana mempunyai kasut baru sedangkan pada ketika itu masih ramai
lagi rakan-rakan lain yang bersekolah tanpa memakai kasut.
Pada
hari pertama persekolahan kami dimasukkan ke Darjah Satu. Guru Darjah kami telah memberikan kami beberapa
buah buku tulis, pensel, pembaris, pemadam dan alat penajam pensel (sharpener). Buku teks asas seperti buku
Bacaan Dewan, Bacaan Jawi Dewan, buku teks Ilmu Kira-Kira dan buku teks Agama
Islam (terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu) diberi beberapa hari selepas
itu. Saya tidak pasti jumlah yuran pendaftaran persekolahan pada masa itu
kerana urusan pembayarannya dibuat oleh ayah. Guru
Darjah Satu pada ketika itu ialah Allahyarham Cikgu Othman yang sangat baik
orangnya. Beliau turut 'menumpangkan' anaknya Mohd Faizi[2] yang setahun
lebih muda daripada saya di kelas
tersebut. Apa yang saya ingat bilangan guru yang mengajar di sekolah ini ialah sekitar
10 orang sahaja. Guru Besar pada masa itu ialah Cikgu Yaakob, yang sangat baik
orangnya. Beliau ke sekolah dengan memandu kereta model Toyota 700[3] berwarna kelabu
dengan nombor pendaftarannya bermula dengan huruf T, tetapi saya tidak dapat
mengingati nombornya.
Guru-guru
lain yang saya ingat ialah Ustaz Hassan Che Soh yang membawa skuter Vespa Super
dengan nombor pendaftarannya D2636. Allahyarham Ustaz Sidik yang berasal dari
Perlis mempunyai motosikal Honda Cub C50, Allahyarham Cikgu Hassan Mustapha
dengan motosikal Honda Benly 125nya dan Allahyarham Cikgu Mohd Zain
Ahmad menaiki basikal Raleigh buatan Nottingham, England yang sangat popular
dengan ketahanannya pada ketika itu. Manakala Allahyarham Cikgu Saad Mahmood,
Allahyarham Cikgu Othman, Allahyarham Cikgu Hussein Hj. Awang[4] dan Cikgu
Muhamad Awang hanya berjalan kaki sahaja ke sekolah kerana rumah mereka tidak
jauh dari sekolah kami.
Semasa
dalam Darjah Satu kami hanya diajar mata
pelajaran Bahasa Melayu (Tulisan Rumi, Tulisan Jawi, Bacaan Rumi dan Bacaan
Jawi), Kira-Kira, Lukisan dan Kerja Tangan, Agama Islam dan Pendidikan Jasmani.
Guru Bahasa Melayu untuk Darjah Satu pada ketika itu ialah Allahyarham Cikgu
Othman, mata pelajaran Agama Islam diajar oleh Allahyarham Ustaz Sidik, PJ dan
Kira-Kira diajar Allahyarham Cikgu Hussein, Lukisan dan Kerja Tangan diajar Allahyarham
Cikgu Saad. Kami murid-murid Darjah Satu amat takut kepada Allahyarham
Cikgu Hussein yang bagi kami sangat garang. Saya amat meminati mata pelajaran
Lukisan dan Kerja Tangan yang pada masa itu. Saya
meminati Kerja Tangan kerana guru akan membawa kami belajar di luar bilik
darjah semasa mata pelajaran tersebut diajarkan. Mata pelajaran Lukisan pada ketika itu hanya menggunakan warna debu yang dibekalkan oleh pihak
sekolah dan dibancuh dengan air paip untuk mewarna
lukisan masing-masing.
Setelah
lebih kurang 40 tahun meninggalkan bangku sekolah rendah, saya telah mengesan rakan-rakan
sekelas saya dahulu yang kebanyakan masih berada di dalam daerah asal kami. Di
antara mereka yang sedang dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam ialah Syed
Salleh Syed Yusoff (Majlis Daerah Pasir Mas),
Mat Ariff Shafii (pesara tentera), Ismail Daud (Koperasi Tentera, KL),
Mat Jusoh Mat Na (pesara tentera), Fauzi Saamah (Hospital Raja Perempuan Zainab
II, Kota Bharu), Kamaruddin Ramli (Pengetua, SMK Bukit Bunga, Jeli), Mustapha
Yaakub (Pejabat Ukur dan Pemetaan, Pasir Mas), Noralam Hj. Majid (Kaunselor,
SMK Kangkong, Pasir Mas), Siti Hawa Awang (Ahli Perniagaan, Johor Bahru),
Ramzan Harun (Klinik Kesihatan Desa Jenderak Selatan, Temerloh, Pahang), Rohana
Ismail (SK Sultan Ibrahim 3, Pasir Mas),
Manakala
yang bekerja sendiri dan sebagai suri rumah pula ialah Abdullah Daud, Tuan Mohd
Yaman Tuan Soh, Ghazali Che Pa, Siti Aishah Hj. Hassan, Noraini Mat Zain dan
Ramlah Mat Zin. Selain itu terdapat beberapa orang rakan sekelas yang tidak
dapat saya kesan iaitu Rosnani Rashid, Razimah Mohamad, Wan Zawiah Wan Ismail,
Sakinah Ismail, Sharifah Shafaat Syed Mohamad dan Suhaibah Wok. Salah seorang
rakan baik saya iaitu Allahyarham Hasbullah Hussein[5]
telah meninggal dunia pada tahun 2001 akibat sakit jantung. Sehingga kini saya
masih menghubungi rakan-rakan lama terutama sekali semasa cuti persekolahan
atau cuti umum perayaan.
[1] SKBC telah dibuka pada tahun 1956 dan terletak di km 5 Jalan Rantau Panjang
Lama, Pasir Mas, Kelantan.
[2] Kini Timbalan Pendaftar Kanan (Akademik) di Universiti Pendidikan Sultan
Idris, Tanjung Malim, Perak.
[3] Mula dikeluarkan di
Jepun pada bulan Jun 1961 dengan nama Toyota Publica 700.
[4] Allahyarham
meninggal dunia semasa menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara
pada pertengahan tahun 1990-an.
[5] Selepas MCE beliau
melanjutkan pelajaran ke Kolej Tuanku Abdul Rahman (KTAR) kemudian menyambung
pelajaran ke Pakistan. Tetapi beliau gagal mendapat ijazah daripada kedua-dua
institusi tersebut. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2001 kerana
penyakit jantung.
