Pagi 28 Jun 2008, kami singgah bersarapan di gerai makan Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar sebelum ke UMS untuk pendaftaran anak saya. Kami dapati harga nasi berlauk tidak ada bezanya dengan harga nasi yang sama di Kuala Lipis, iaitu RM2.50 sepinggan. Begitu juga dengan nasi kerabu, walaupun ulam-ulamannya tidak cukup sebagaimana resepi nasi yang popular di negeri Kelantan itu tetapi harganya amat berpatutan. Malah ada kueh yang harganya lebih
murah berbanding di Kuala Lipis. Ini belum lagi harga ikan dan sayur-sayuran yang sememang lebih murah di sini. Bagi saya, meskipun Kuala Lipis merupakan sebuah pekan kecil namun kos hidup di sini hampir sama dengan bandar-bandar utama di Malaysia.Kami tiba di kampus UMS lima belas minit kemudian setelah selesai bersarapan di situ. Memandu di kawasan kampus universiti yang cukup indah ini, mengembalikan nostalgia saya semasa menjadi mahasiswa pada pertengahan tahun 1980-an dahulu. Lanskapnya tidak jauh berbeza dengan universiti-universiti lain, tetapi lokasinya amat menarik kerana UMS terletak di kawasan yang 75% berbukit dan berteluk iaitu kawasan Teluk Sepanggar. Ini menjadikan pemandangan kampus universiti ini menjadi perhatian kepada peminat seni foto.
Setelah memerhatikan kawasan ini, baru saya teringat bahawa pada awal tahun 1980-an dahulu, kami pernah jadikan lokasi ini sebagai salah satu trek Hash House Harriers[1] (HHH atau H3) iaitu satu kegiatan kokurikulum semasa kami menuntut di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu. Di kawasan pantai itulah kami pernah lihat haiwan seakan timun laut (Stichopus chloronotus Brandt) di batu-batan yang berlumut serta airnya sangat jernih. Pada ketika itu hanya terdapat bangunan Yayasan Sabah sahaja yang tersergam megah. Manakala kawasan-kawasan yang menempatkan bangunan-bangunan yang ada sekarang masih lagi belum dibangunkan. Kini kawasan itu begitu pesat membangun, lebih-lebih lagi dengan adanya kampus UMS sebagai pemangkin kepada sektor ekonomi kawasan tersebut.Semasa kami tiba, Wisma Angkatan Hebat yang
terletak berhampiran dengan pintu masuk utama UMS yang turut menempatkan Pasar Raya Besar Giant baharu sahaja dibuka. Orang ramai kelihatan berpusu-pusu mengunjungi pasar raya besar tersebut memandangkan ianya mungkin yang pertama seumpamanya di Kota Kinabalu, yang turut mengingatkan saya kepada sambutan hebat rakyat Kota Bharu terhadap pembukaan Pasar Raya Besar Tesco pada awal Januari 2008. Di sebelah Giant, terdapat Hotel Tune milik syarikat penerbangan tambang murah Air Asia yang juga baharu sahaja beroperasi. Dan betul-betul di hadapan UMS satu projek perumahan mewah sedang dibangunkan, yang benar-benar telah merubah landskap kawasan ini berbanding 10 atau 15 tahun dahulu.Kami kemudian diarahkan memberhentikan kenderaan berhampiran Masjid UMS untuk mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran. Kami berjalan kaki ke masjid, yang dijadikan
terminal sementara bagi semua bas UMS untuk ke kolej-kolej kediaman. Saya amat tertarik dengan kecantikan bangunan dan lokasi masjid ini, lebih-lebih lagi saya dapat mengetahui melalui komunikasi maya bahawa tiga orang bekas pelajar saya yang menuntut di SMK Agama Limauan pada awal 1980-an dahulu adalah antara staf akademik UMS yang ditugaskan di mimbar masjid ini. Mereka ialah Issraq Hj. Ramli, No’man Hj. Ahmad dan Awangku Suhaizam Awang Bungsu. Selain itu dua orang lagi bekas pelajar saya dari sekolah yang sama berkhidmat di universiti ini iaitu Dr. Saidatul Nornis Haji Mahali dan Mohamad Shaukhi M. Radzi.Dari masjid ini kami diarahkan menaiki bas ke Kolej Kediaman E, iaitu tempat anak saya sepatutnya mendaftar. Kami selesai mendaftar kira-kira jam 12.30 tengah hari. Setelah selesai mendaftar kami kembali ke Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.
[1] Sejenis sukan merentas desa dengan mengikuti petunjuk-petunjuk kertas (paper chasing) yang mula diperkenalkan di Kuala Lumpur oleh A. S. Gispert, seorang akauntan bertauliah pada tahun 1938.
2 ulasan:
Tadi lepas zuhur pergi ke klinik gigi… tampal gigi yang berlubang, subhanallah… di sini service sangat bagus. InsyaAllah nanti minggu depan kena pergi semula untuk rawatan seterusnya. Lepas pekena miso syiru dan hidangan jepun untuk makan tengah hari, ana pulang then suami sambung kerja di dai… Hari Khamis nak ke Nagano, ada conference (suami la…bkn ana:P)...
----------
Sandy Romeo
new way to advertise
Catat Ulasan