RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya" Surah Al-Maidah Ayat 2.

29 September 2009

Santuari Gajah Sungai Ketiar, Hulu Terengganu

Selain Santuari Gajah Kuala Gandah di Lanchang, Pahang, Santuari Gajah Sungai Ketiar merupakan satu tarikan baru bagi kawasan Hulu Terengganu khususnya Daerah Kuala Berang. Mungkin tidak ramai khalayak yang tahu tentang wujudnya santuari ini kerana lokasinya terletak di laluan Kuala Berang–Gua Musang yang masih belum menjadi laluan utama kepada pengguna jalan raya bagi kedua-dua lokasi tersebut. Mereka yang tahu mungkin kerana mereka pernah melalui laluan ini atau melalui cerita kawan-kawan yang melalui kawasan ini. Kami juga mengetahui kewujudan santuari ini kerana secara kebetulan melalui laluan ini untuk menghadiri Seminar Penyelidikan Pendidikan IPGM Zon Timur yang diadakan di Permai Inn, Kuala Terengganu pada 28 hingga 30 September 2009.
Santuari yang dibuka kepada orang ramai mulai 30 Januari 2009 ini merupakan salah satu pelengkap kepada mereka yang melawat Tasik Kenyir selain daripada Santuari Kelah di Sungai Petang. Kawasan santuari ini ialah kira-kira 15,000 hektar yang bersempadan dengan Taman Negara dan Hutan Simpan Hulu Besut. Meskipun tidak sehebat Santuari Gajah Kuala Gandah yang mempunyai 14 ekor gajah jinak, Santuari Gajah Sungai Ketiar yang kini hanya mempunyai dua ekor gajah jinak, Suria dan Seri mampu menjadi sehebat itu nanti. Suria merupakan gajah betina berusia 9 tahun yang diperolehi dari Kampung Pak Kanchil, Setiu, Terengganu. Seri pula baru berusia tiga tahun. Kedua-dua kelihatan amat manja dengan staf Perhilitan yang menjaganya.
Semasa kami singgah, kami telah diberi peluang untuk memegang dan bermain terutamanya dengan Suria. Pada mulanya kami agak takut tapi kami yakin sebab ada dua orang petugas di situ, lagipun kaki Suria dan Seri dirantai. Selain itu kami juga diberi peluang untuk memberi makan keledek kepada Suria dan Seri. Selain memberikan makanan, para pengunjung juga boleh menaiki belakang gajah betina itu. Tapi kami tidak berani untuk berbuat demikian kerana itulah pertama kali dalam hidup (saya) dapat menyentuh gajah. Sesungguhnya pengalaman yang tidak dirancang ini amat bermakna bagi kami. Kami meninggalkan Santuari Gajah Sungai Ketiar dan meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu kira-kira jam 2.50 petang setelah berada di situ kira-kira 45 minit.

0 ulasan: