Tiga tokoh sejarah terkemuka tanah air iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Prof. Dato’ Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dan Prof. Dato’ Dr. Hajah Ramlah Adam telah dipertemukan dalam Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan 2009, anjuran IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis pada 16 September 2009 yang diadakan di Dewan Darul Makmur IPGMKTAA. Majlis yang diadakan dalam bentuk Forum dan Bicara Kemerdekaan tersebut telah banyak mengupas tentang peri pentingnya pembelajaran mata pelajaran Sejarah dikembalikan ke tempat asalnya, iaitu wajib dipelajari di semua peringkat dalam sistem pendidikan negara ini.Ketiga-tiga ahli panel tersebut bersetuju bahawa kebanyakan daripada generasi muda sekarang sudah kurang mengetahui dengan tepat tentang sejarah negara sendiri. Keadaan ini boleh menimbulkan satu suasana yang tidak sihat dalam konteks negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Aspek-aspek penting antaranya kontrak sosial yang sudah sekian lama dimeterai sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan perlu dijelaskan semula dengan terperinci kepada generasi baru agar mereka memahami dengan sejelas-jelasnya fakta penting tersebut. Penjelasan tentang sejarah sebenar negara perlu dilakukan dengan jujur dan telus tanpa sebarang kepentingan lain yang boleh menidakkan fakta sejarah. Perkara ini penting untuk menghapuskan rasa syak wasangka yang boleh timbul akibat daripada ‘kabur sejarah’ tersebut.
Menurut Tan Sri Dr. Khoo, lupa sejarah bukan sahaja memberi implikasi kepada kestabilan politik negara, malah juga kepada aspek-aspek lain seperti ekonomi, sukan, kebudayaan dan sebagainya. Beliau antara lain telah memberikan contoh bahawa tidak ramai generasi baru yang tahu bahawa suatu masa dahulu pasukan bola sepak negara pernah mengalahkan Korea Selatan sebanyak dua kali dalam perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik, dan sekarang lihatlah betapa jauhnya jarak kemajuan antara kedua-dua pasukan bola sepak tersebut. Mengenai isu Tarian Pendet yang dituduh beberapa buah akhbar dan segelintir rakyat Indonesia bahawa Malaysia telah ‘mencuri’ kebudayaan mereka juga adalah akibat daripada buta sejarah. Jelasnya, sebenarnya tarian itu bukan dicuri oleh negara ini tetapi ia dibawa oleh imigran Indonesia yang telah berhijrah ke Tanah Melayu bersama-sama dengan budayanya sejak berabad dahulu. Sekiranya mereka tahu sejarah isu ‘curi’ tarian ini tidak perlu diperbesar-besarkan, lebih-lebih lagi klip video iklan tersebut bukan diterbitkan oleh pihak kerajaan Malaysia sebaliknya oleh agensi swasta. Keadaan ini perlu disedari oleh semua pihak.
Manakala Prof. Dato’ Dr. Nik Anuar dan Prof. Dato’ Dr. Hajah Ramlah banyak menyentuh tentang fakta-fakta sejarah negara yang perlu didedahkan kepada generasi baru khususnya kepada mereka yang masih berada di bangku sekolah agar mereka benar-benar faham tentang rentetan peristiwa yang berlaku sejak sebelum merdeka sehinggalah negara mencapai kemerdekaan dan pengisian-pengisian yang dilakukan selepas merdeka. Apabila seseorang itu mengetahui rentetan sebenar sejarah negara, maka akan timbullah rasa cintanya kepada negara sendiri.Majlis ini turut dihadiri Pengarah IPGM Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang, wakil dari IPGM Kampus Ilmu Khas, Ketua-ketua Jabatan Daerah Lipis, Pengetua-pengetua dan Guru Besar sekitar PPD Lipis. Majlis Penutup telah disempurnakan oleh YH Dato’ Mazlan Mohamad, Pengarah IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan