Ahad 20 September 2009 bersamaan 1 Syawal 1430, setelah sebulan berpuasa maka tibalah hari yang dinantikan oleh seluruh umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada tahun lalu kita menyambut hari kebesaran ini pada 1 Oktober 2008 iaitu pada hari Rabu, ini bermakna pada tahun 2010 kita akan menyambut 1 Syawal kira-kira pada 8 atau 9 September 2010. Seronoknya balik kampung.

Namun seperti biasa apabila tiba setiap kali musim perayaan maka topik hangat yang diperkatakan di mana-mana ialah tentang kesesakan lalu lintas sebelum dan selepas perayaan tersebut. Sebelum Hari Raya aliran trafik khususnya dari ibu negara sesak menuju ke kampung masing-masing sama ada ke utara, selatan atau timur. Manakala selepas cuti Hari Raya haluan kesibukan trafik telah bertukar arah dari desa ke kota pula.

Kami yang pulang ke kampung di Kelantan sudah mengagak bahawa antara lokasi-lokasi yang kritikal kesesakan tersebut ialah di laluan sebelum memasuki bandar Gua Musang, Jambatan Kusial baik dari arah Machang atau Tanah Merah, di Guchil, Kuala Krai, di Jalan Kuala Krai dan Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu dan beberapa lokasi lain seperti di Jambatan Salor dan bulatan Lemal menuju ke Rantau Panjang dan Pasir Mas. Namun keadaan kesesakan menuju ke Kelantan pada tahun ini agak sedikit terkawal berbanding pada tahun-tahun yang lepas. Semasa balik ke kampung pada hari Jumaat 18 September 2009 perjalanan kami agak lancar dengan kelajuan yang sederhana walaupun kenderaan bertali arus, kecuali di satu

dua lokasi di mana terdapatnya kemalangan kecil berbentuk ‘langgar belakang’. Kami tiba di Tanah Merah pada jam 6.00 petang setelah memulakan perjalanan dari jam 10.00 pagi dari Kuala Lipis dan berhenti hampir dua jam di sekitar Paloh, Gua Musang kerana kereta yang dipandu anak saudara kami mengalami kerosakan.
Hari Raya pertama (20 September 2009) kenderaan nampaknya masih tidak sibuk kerana semua orang berada di ‘lokasi hari raya’ masing-masing untuk bersama kaum keluarga dan sahabat handai. Tetapi apabila masuk sahaja hari kedua (21 September 2009), kesesakan lalu lintas telah bemula kembali terutama sekali menjelang petang kerana mereka yang balik kampung mula bergerak untuk menziarahi sanak saudara atau sahabat handai yang berada di

luar dari kampung masing-masing. Begitulah seterusnya pada hari raya ketiga dan keempat apabila pengguna kenderaan telah mula bergerak balik ke lokasi bertugas masing-masing.
Pada Hari Raya Kelima (24 September 2009) kami balik semula ke Kuala Lipis setelah kira-kira 6 hari berada di kampung. Untuk mengelakkan daripada kesesakan lalu lintas yang kelihatan amat teruk pada hari itu kami telah mengambil laluan alternatif sehinggalah ke Bukit Sireh, Kuala Krai. Kami bertolak dari Kok Lanas pada jam 1.00 tengah hari setelah beraya di situ kira-kira satu jam. Dari Kok Lanas kami telah

menyusur jalan di atas tebing tali air KADA sampai ke Rumah Pam KADA di Kemubu, kemudian melalui Kampung Bandar, Kampung Mata Air dan keluar semula ke jalan utama di Pulai Chondong. Di sini kami terpaksa melalui rantaian kenderaan yang tidak putus-putus ke arah Machang dan Kuala Krai dengan kelajuan yang tersangkut-sangkut.
Oleh kerana kesesakan teruk di persimpangan jejantas Machang ke Pasir Puteh dan Tanah Merah, kami telah menukar arah ke lampu isyarat Chekok Mengkudu dan melalui Pangkal Meleret ke Paloh Rawa dan terus ke Temangan. Dari Temangan kami melalui pesisir Sungai Kelantan menerusi Kampung Kerilla, Ladang Kuala

Hau, lintasan kereta api Kampung Bedal dan keluar semula ke jalan utama Machang – Kuala Krai di Bukit Sireh berhampiran Kolej Risda. Kenderaan di sini meskipun banyak tetapi bergerak dengan kelajuan yang sederhana. Alhamdulillah, oleh kerana cuaca baik kami tiba di Gua Musang kira-kira jam 5.30 petang dan sampai di Kuala Lipis pada jam 7.15 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan