RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

18 Oktober 2009

Pelancaran Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan

13-15 Oktober 2009 - IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan telah mencatatkan satu lagi lembaran baru apabila dipilih oleh Bahagian Pendidikan Guru, KPM sebagai Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan. Pusat kecemerlangan yang berfungsi sebagai induk kepada 5 buah lagi IPG iaitu IPG Kampus Kota Bharu, IPG Kampus Sultan Abdul Halim, IPG Kampus Tun Hussein Onn, IPG Kampus Sarawak, Miri dan IPG Kampus Keningau, Sabah ini akan berperanan sebagai pusat rujukan berkaitan dengan pedagogi peribumi di negara ini. Majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Peringkat Kebangsaan ini telah disempurnakan oleh YB Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada hari Selasa 13 Oktober 2009 di Dewan Darul Makmur IPGKTAA.
Tiga program utama telah berlangsung sempena pelancaran pusat kecemerlangan ini iaitu Majlis Konvokesyen KEDAP Peringkat Negeri Pahang, Seminar Kebangsaan Pedagogi Peribumi dan Pameran Hasil Kraftangan Masyarakat Peribumi. Seramai kira-kira 700 orang peserta KEDAP daripada 28 buah sekolah yang terlibat di seluruh negeri Pahang telah menerima sijil tamat belajar masing-masing yang disampaikan oleh YB Timbalan Menteri Pelajaran. Manakala Pameran Kraftangan Masyarakat Peribumi telah diadakan di Pusat Sumber IPGKTAA dengan mempamerkan pelbagai jenis item hasil kerja masyarakat peribumi, buku-buku, kamus, glosari, jurnal, kertas seminar, monograf dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan oleh semua pengunjung. Pameran ini turut disertai IPG Kampus Keningau, IPG Kampus Sultan Abdul Halim, JHEOA dan demonstrasi pembuatan kraftangan oleh peserta KEDAP.
Seminar Kebangsaan Pedagogi Peribumi pula telah melibatkan pembentangan kertas kerja oleh tokoh-tokoh terkemuka tanah air antaranya Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hood Mohd. Salleh dari Universiti Malaya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron dari UPSI dan Prof. Madya Dr. Mustafa Kassim dari UUM. Pembentang-pembentang lain ialah terdiri daripada pensyarah IPG dan guru-guru sekolah yang terlibat dengan pendidikan peribumi. Selain itu forum bertajuk "Memartabatkan Pendidikan Peribumi di Malaysia" turut diadakan dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Prof. Emeritus Dato' Dr. Hood Mohd. Salleh, Prof. Madya Dr. Juli a/l Edo (UM), En. Abd. Wahid Akmal Omar (Pengarah JHEOA Pahang) dan Dato' Omar Othman (Bekas Exco Pahang).
Sebanyak 19 resolusi seminar telah dipersetujui bersama iaitu:
1. Kita perlu mengenali orang Asli sebagai komuniti yang mengamalkan nilai murni seperti kejujuran, kepatuhan dan kesabaran.
2. Fokus pemikiran dan perspektif kita terhadap masyarakat peribumi perlu mempertimbangkan tentang sistem dan ilmu yang berasaskan warisan mereka (intellectual properties) seperti tanah, hutan dan sistem sosial.
3. Mengubah persepsi negatif terhadap orang Asli dengan memberi nilai dan harga diri dalam konteks sosiobudaya mereka.
4. Mengadakan kursus berkaitan antropologi komuniti minoriti (orang Asli/ Peribumi) yang tinggal di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
5. Mewujudkan sistem sokongan (support system) yang lebih mesra dengan sistem ekonomi orang Asli
6. Meningkatkan kefahaman bahasa orang Asli (bahasa-bahasa mudah) dalam kalangan guru yang mengajar di sekolah orang Asli bagi memudahkan interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran.
7. Menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran yang menitik beratkan ilmu yang berasal dari hutan rimba tropika.
8. Memberi peluang kepada masyarakat peribumi itu sendiri untuk membuat keputusan (pembangunan pendidikan) dengan mewujudkan sinergi dan persefahaman yang lebih menyeluruh dalam kalangan pihak bertanggungjawab terhadap pembangunan pendidikan orang Asli seperti JHEOA, BPG dan JPN.
9. Untuk memartabatkan orang Asli dalam bidang pendidikan memerlukan pendekatan yang menyeluruh termasuk meningkatkan taraf sosioekonomi (kemiskinan telah menyebabkan mereka memberi tumpuan kepada keperluan `survival’ dan aspek pendidikan diserah kepada guru-guru).
10. Menyediakan lebih banyak peluang dan ruang kepada anak orang Asli untuk memasuki IPGM kerana aspirasi mereka kepada profesion perguruan sangat hebat.
11. Mewujudkan sistem persekolahan yang lebih `mesra’ seperti yang diamalkan di Jepun (Guru memasak dan makan bersama murid).
12. Guru-guru terutama yang terlibat dengan KIA2M perlu dibantu dari aspek pedagogi seperti kaedah, pendekatan, teori, strategi dan aktiviti untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
13. Pensyarah dan guru-guru yang terlibat dalam KAP, KIA2M dan program khas bagi membantu pembelajaran anak orang Asli perlulah mempunyai keikhlasan, kejujuran, penyayang, mencintai ilmu, berintegriti dan sentiasa berasa teruja untuk mengajar.
14. Mengkaji, menganalisis dan melaksanakan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat meningkatkan kadar celik huruf seperti Kaedah Gabung Bunyi Kata (KGBK) dalam 2M Bahasa Melayu.
15. Mempertingkatkan amalam Kajian Tindakan dalam kalangan guru dengan mencuba pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran.
16. Kelas Dewasa Asli dan Peribumi perlu diperkasa dengan melibatkan lebih ramai ibu bapa bagi membolehkan mereka memajukan pendidikan anak-anak.
17. Kepimpinan sekolah akan berfungsi secara proaktif dan `futuristic’ dalam memimpin pembangunan pendidikan anak orang Asli.
18. Menjadikan IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan sebagai pusat rujukan berkaitan pedagogi peribumi yang boleh diakses di dalam kampus atau dalam talian melalui digital library, e-learning dan e-journal.
19. Menjadikan IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan sebagai pusat rujukan berkaitan alam sekitar rimba tropika melalui `edu-tourism’.

Pembentangan Resolusi: Dr. Abd. Shatar bin Che Abd. Rahman, Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan IPGKTAA

Tiada ulasan: