RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

28 Disember 2008

Rantau Panjang: Anda seakan berada di Thailand

Mengunjungi Rantau Panjang merupakan agenda wajib bagi kebanyakan mereka yang berkunjung ke negeri Kelantan. Pekan kecil ini merupakan salah satu destinasi utama para pelancong untuk membeli-belah selain dari dua pekan sempadan lain di negeri ini iaitu Pengkalan Kubur di daerah Tumpat dan Bukit Bunga di daerah Jeli. Ketiga-tiga pekan sempadan ini terletak di tebing Sungai Golok yang merupakan sempadan bagi Malaysia - Thailand. Kesemua pekan ini juga seolah-olah berkembar dengan pekan-pekan di sebelah negara Thailand iaitu Rantau Panjang bersebelahan dengan bandar Sungai Golok, Pengkalan Kubur bersebelahan dengan pekan Takbai dan Bukit Bunga bersebelahan dengan pekan Buketa. Pekan Rantau Panjang ke Sungai Golok dan Bukit Bunga ke Buketa boleh dihubungi melalui jambatan, manakala Pengkalan Kubur ke Takbai hanya boleh dihubungi melalui pekhidmatan feri dan bot.
Pekan Rantau Panjang terletak kira-kira 45 km dari Kota Bharu dan 20 km dari Pasir Mas boleh dikunjungi melalui beberapa laluan utama iaitu:
1. dari Kota Bharu melalui simpang empat Pasir Hor, Jambatan Salor, bulatan Lemal, Lubuk Jong dan Rantau Panjang.
2. dari Kota Bharu melalui Jambatan Sultan Yahya Petra, Tendong, Pasir Mas, Bulatan Lemal, Lubuk Jong dan Rantau Panjang.
3. dari Kota Bharu melalui Jambatan Sultan Yahya Petra, Wakaf Bharu, Chabang Empat, Gelang Mas, Pohon Tanjung, Jeram Perdah dan Rantau Panjang.
4. dari Pasir Mas melalui (jalan baru) bulatan Lemal, Lubuk Jong dan Rantau Panjang.
5. dari Pasir Mas melalui (jalan lama) Pohon Tanjung, Jeram Perdah dan Rantau Panjang.
6. dari Tanah Merah/Jeli melalui Panglima Bayu, Lubuk Setol dan Rantau Panjang.
7. dari Tanah Merah melalui Padang Siam, Bukit Tuku dan Rantau Panjang.

Berada di Rantau Panjang seolah-olah anda berada di negara Thailand kerana beberapa ciri yang dapat diperhatikan di sini. Pertamanya terdapat banyak kenderaan yang berpendaftaran negara tersebut berada di jalan-jalan utama pekan ini. Kenderaan-kenderaan ini keluar masuk melalui pekan ini sama ada atas urusan perniagaan atau urusan persendirian. Ada juga yang mengambil kesempatan mengisi minyak di sebelah sini kerana harga minyak di Thailand jauh lebih mahal berbanding Malaysia. Jenis kenderaan yang paling banyak ditemui ialah motosikal dan kenderaan pikap (pickup). Kenderaan jenis ini sememangnya banyak digunakan di pekan-pekan sebelah Thailand.
Keduanya, kita dapat perhatikan produk perniagaan yang dijual di premis-premis perniagaan di sini kebanyakannya merupakan produk dari Thailand. Hampir kesemua barangan jualan di sini seperti barangan makanan, pakaian, alat mainan, kraftangan, hiasan, aksesori wanita, alat-alat dapur, peralatan rumah dan sebagainya adalah produk negara jiran. Jangan terkejut sekiranya anda dapat membeli pakaian yang berjenama dengan harga yang empat atau lima kali lebih rendah daripada harga yang sepatutnya. Umpamanya sandal berjenama Nike boleh dibeli dengan harga serendah RM18.00 atau RM20.00 berbanding RM80.00 harga bagi produk asli jenama tersebut. Di sini anda boleh memilih jenama-jenama terkemuka dengan harga yang amat berpatutan tetapi kualitinya ‘sepadan’ dengan harganya.
Ketiganya, cara para peniaga di sini berurusniaga juga menunjukkan ciri-ciri yang hampir sama dengan para peniaga di negara jiran tersebut. Misalnya anda akan dapat bertemu dengan beberapa kereta sorong yang menjual ‘lokcin’ bakar di sekitar bazar jualan di pekan ini. Lokcin ialah bebola ikan yang dicucuk dan dibakar di atas bara api dan dimakan dengan dua jenis sos iaitu sama ada pedas atau manis. Secucuk lokcin dijual dengan harga RM1.00 sahaja. Kini makanan ini telah dipelbagaikan dengan bermacam-macam jenis seperti bebola daging, ketam, hot dog, sosej, fish cake dan sebagainya. Semua ini adalah ciri-ciri perniagaan makanan yang biasa terdapat di sebelah Thailand.
Keempatnya, kebanyakan premis perniagaan menggunakan bahasa Thai sebagai salah satu bahasa di papan tanda premis masing-masing bagi tujuan menarik para pelanggan dari negara tersebut. Keadaan ini bukan sahaja dapat dilihat di premis perniagaan, malah tandas awam juga menggunakan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Thai. Selain bahasa melalui tulisan di premis-premis berkenaan, pertuturan para peniaga di sini juga turut menggunakan dialek Melayu Thailand atau dialek Melayu Patani yang agak berbeza daripada dialek Kelantan. Mengikut rakan-rakan yang berasal dari kawasan ini, cara pertuturan dan cara berpakaian sudah dapat membezakan antara orang Thailand dan orang Malaysia. Datanglah ke Rantau Panjang, tentu anda akan dapat merasai negara Thailand.

Tiada ulasan: