RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

22 Disember 2008

Majlis Perkahwinan Anak Pertama

Memang benar kata orang tua-tua bahawa sekiranya kita mempunyai anak sulung perempuan, maka cepatlah kita akan mendapat menantu. Generasi terdahulu amat yakin dengan kata-kata ini kerana rata-rata anak perempuan mereka dikahwinkan pada usia muda, iaitu seawal belasan tahun kerana faktor sosioekonomi pada zaman itu. Sebaliknya pada usia yang sama khususnya pada usia awal dua puluhan, anak-anak perempuan zaman ini masih lagi meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi mengikut kemahuan dan cita-cita mereka. Pada zaman ini tanggapan tersebut agak sukar untuk dibuktikan juga disebabkan oleh faktor yang sama, iaitu faktor sosioekonomi. Justeru, ibu bapa pada zaman ini bukan lagi kata pemutus yang boleh menentukan sama ada anak mereka boleh berkahwin atau mahu meneruskan cita-cita terlebih dahulu.
Pada 12 Disember 2008 saya telah mengadakan majlis perkahwinan anak pertama saya setelah dipertemukan jodoh pada usia muda iaitu 22 tahun sebaik sahaja tamat pengajiannya di Universiti Utara Malaysia. Ramai berpendapat bahawa usia tersebut merupakan usia yang terlalu muda dalam konteks hari ini. Walau apapun sebagai ibu bapa, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana segala perancangan yang dibuat sejak 4 bulan lalu yang bermula dengan majlis pertunangan pada 22 Ogos 2008, majlis akad nikah pada 3 Oktober 2008 dan akhirnya majlis persandingan pada 12 Disember 2008 telah dapat disempurnakan dengan baik berkat kerjasama semua pihak. Keadaan cuaca pada hari tersebut juga amat baik sekali walaupun dilaksanakan pada bulan Disember, iaitu musim tengkujuh di negeri-negeri pantai timur.
Saya sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua anggota keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan majlis perkahwinan ini. Di samping dapat mengumpulkan ahli keluarga yang sekian lama tidak bertemu, melalui majlis ini juga saya dapat mengumpulkan rakan-rakan dari tiga tempat saya bertugas iaitu SMK Agama Limauan, Kota Kinabalu, SM Teknik Pasir Mas dan Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis. Selain itu beberapa orang rakan lama yang pernah sama-sama menuntut di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia), Serdang dan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi juga turut hadir.
Saya sekeluarga juga memohon maaf kepada semua hadirin sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau terkurang layanan pada hari tersebut. Almaklumlah tetamu jemputan ramai dan sebagai tuan rumah saya perlu melayani semua yang hadir dengan sebaik mungkin.
Saya juga memohon maaf kepada mana-mana rakan yang ‘terlepas pandang’ untuk diundang ke majlis ini, faktor masa telah memaksa saya untuk membahagikan antara tugas rasmi dan tanggungjawab terhadap urusan ini dengan dua lokasi berbeza iaitu Kuala Lipis dan Pasir Mas. Dalam kesibukan itulah yang menyebabkan terdapat rakan-rakan yang tercicir dari senarai jemputan. Walau apapun, semuanya telah selesai dengan sempurna. Terima kasih semua.

Tiada ulasan: