RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

17 Disember 2008

Belasungkawa: Allahyarham Datuk Razali Ismail

Al-Fatihah untuk Allahyarham Datuk Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia yang telah pulang ke Rahmatullah pada petang Jumaat 28 November 2008 di Genting Highlands kerana diserang sakit jantung. Seluruh warga Malaysia yang mengenali Allahyarham, khususnya warga pendidik amat terkejut dengan berita sedih tersebut kerana sebelum ini Allahyarham kelihatan sihat dan bertenaga dalam mana-mana majlis yang dihadirinya. Allahyarham telah pergi semasa seluruh warga pendidik sedang bergantung harap kepadanya dalam usaha untuk meneruskan agenda pendidikan negara.
Sebagai warga pendidik, saya telah berhadapan secara terus dengan Allahyarham sebanyak tiga kali iaitu pertamanya, pada 3 Januari 1994 semasa menghadiri sesi temuduga untuk jawatan pensyarah di Maktab Perguruan Kota Bharu di mana Allahyarham sebagai salah seorang daripada panel penemuduga pada ketika itu. Ketika itu Allahyarham merupakan Timbalan Pengetua maktab tersebut. Apa yang saya ingat bahawa daripada ketiga-tiga ahli panel temuduga tersebut, Allahyarham antara yang paling banyak bertanyakan soalan kepada saya.
Kali kedua ialah pada 16 Oktober 2003 semasa lawatan singkat Allahyarham ke Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis. Allahyarham pada ketika itu ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam lawatan tersebut beliau telah menerangkan konsep "The Tripod of Time" dalam wacana intelektual tentang bagaimana untuk meningkatkan kualiti kerja dan beliau juga telah mengingatkan agar kita "Professionaly busy, not personaly busy". Saya sememangnya amat mengagumi kepakarannya dalam memberikan syarahan profesional yang sentiasa sarat dengan ilmu dan maklumat yang dapat dimanfaatkan oleh para audien dalam setiap majlis yang dihadirinya.
Kali ketiga ialah genap 5 tahun kemudian iaitu pada 16 Oktober 2008 semasa Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Debat Ala Parlimen IPGM 2008 di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis iaitu kira-kira 43 hari sebelum Allahyarham meninggalkan kita semua. Allahyarham tiba tepat pada jam 4.15 petang pada hari tersebut dan disambut oleh semua staf akademik dan bukan akademik di ruang legar IPTAA. Oleh kerana majlis perasmian penutup debat pada sebelah malam, maka pada sebelah petangnya Allahyarham telah memberikan satu syarahan profesional untuk semua staf akademik IPTAA di Dewan Kuliah A. Meskipun dalam keadaan keletihan kerana perjalanan menggunakan kereta dari KL ke Kuala Lipis, Allahyarham tetap menunaikan tanggungjawabnya dalam dua majlis tersebut dengan penuh bersemangat.
Sesungguhnya pemergian Allahyarham yang merupakan seorang yang pakar dalam pendidikan adalah satu kehilangan besar kepada kita semua. Justeru, pengganti Allahyarham seharusnya sekurang-kurang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang hampir sama dengannya. Saya menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamed yang menyatakan, jika jawatan timbalan menteri berkenaan tidak dapat diberikan kepada seorang yang pakar dalam pendidikan, sekurang-kurangnya biarlah individu itu mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut seperti Razali. Sekian, Al-Fatihah.

Tiada ulasan: