RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

04 Disember 2008

Anak Kedua Kemalangan: Langgar Kanak-Kanak

26 November 2008, jam 5.15 ptg: Semasa sedang menikmati hidangan mi di sebuah restoran di Tanah Merah, saya telah dikejutkan oleh panggilan telefon yang menyatakan anak kedua saya yang sedang bercuti dari UMS telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kereta Perodua Kancil yang dipandunya telah merempuh sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang budak lelaki berusia 13 tahun tidak jauh dari kampung kami. Saya lantas memaklumkan berita tersebut kepada isteri yang pada ketika itu berada bersama dan kami telah bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 30 km. Di sepanjang perjalanan saya telah menelefon tentang keadaannya dan keadaan budak lelaki tersebut pada ketika itu. Meskipun kami dimaklumkan bahawa anak kami selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan, namun kami amat khuatir kalau-kalau budak yang dilanggarnya itu cedera parah.
Kami tiba di tempat kejadian kira-kira jam 6.05 petang dengan penuh debaran, dan kami dapati ramai penduduk kampung berada di situ. Dari jauh saya nampak kereta Kancil milik isteri saya tersebut tersungkur di dalam longkang di hadapan sebuah kedai runcit. Banyak kereta yang lalu lalang berhenti di bahu jalan untuk melihat kemalangan itu dan sebuah kren berwarna kuning sudah bersedia untuk menunda kereta tersebut. Sebahagian daripada badan kereta itu berada di tepi tebing dan sebahagian lagi separuh terbenam di dalam longkang. Oleh kerana tidak melibatkan kecederaan, kami dimaklumkan bahawa anak kami telah dihantar pulang ke rumah dan budak lelaki tersebut telah dihantar ke Hospital Pasir Mas oleh penduduk kampung.
Kami juga dimaklumkan bahawa budak lelaki tersebut telah dibawa keluar dari bahagian bawah kereta tersebut setelah terseret kira-kira lima meter semasa membuat ‘u turn’ di hadapan kereta yang dipandu anak saya. Nasib baik longkang tersebut agak dalam yang sekali gus mengelakkan daripada budak tersebut tersepit di bawah kereta kerana jarak lantai kereta dan dasar longkang itu agak jauh. Sekiranya longkang itu cetek, tentunya budak itu tersepit di antara lantai kereta dan dasar longkang tersebut. Kereta kami rosak di bahagian hadapannya, yang mana lampu hadapan sebelah kiri, dua lampu isyarat, grill, dan bumpernya pecah sama sekali. Pintu hadapan sebelah penumpang kemek dan bumper belakangnya renggang dari tempat asalnya. Semuanya ditaksirkan oleh TM Hing Motors Sdn. Bhd. sebanyak RM1,350.00.
Beberapa minit selepas itu kami menerima panggilan telefon yang menyatakan budak lelaki tersebut hanya dirawat sebagai pesakit luar sahaja. Alhamdulillah. Beliau hanya tercedera di bahagian paha akibat daripada terseret di atas jalan raya dan melecur di bahagian lengan kanan kerana terkena ekzos kereta semasa berada di bawah kereta berkenaan. Pada keesokan harinya kami telah melawat budak itu yang juga mempunyai pertalian darah dengan keluarga saya. Beliau telah menceritakan bagaimana kejadian tersebut berlaku dan ini merupakan satu pengajaran baginya yang tidak mempunyai lesen memandu. Oleh kerana ada pertalian keluarga, maka kami ibu bapa telah bersepakat untuk membaiki kerosakan kenderaan masing-masing tanpa membuat sebarang laporan polis walaupun anak saya mempunyai lesen memandu.
Oleh itu, saya nasihatkan kepada semua ibu bapa agar tidak membiarkan anak-anak mereka yang berada di bawah umur supaya tidak dibenarkan sewenang-wenangnya menunggang motosikal. Jika berlaku sebarang tragedi seperti kemalangan dan sebagainya, ibu bapa akan turut terseret bersama dengan risiko tindakan undang-undang.

Tiada ulasan: