RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

30 Disember 2008

Tahun 2 di Maktab Perguruan Gaya (1981)

Kelas PMIA 2 MPG (1981)
Duduk dari kiri: Awang Koding Che Tom (Terengganu - kini Pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu), saya (Kelantan - kini Setiausaha Akademik di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Tg. Ampuan Afzan, Kuala Lipis), En. Baharuddin Ujang (Pensyarah BM), Pn. Radziah (Pensyarah BM), Pn. Sharifah Rubiah (Pensyarah BM), Pn. Zaharah Rofli (Pensyarah Geografi), Zaidi Osman (Melaka), Mohd. Hamis Mohd. Salleh (Johor - kini PK HEM di SMK Kuhara, Tawau), Ilyas Zakaria (Kelantan - kini di SMK Kedai Buloh, Kota Bharu).
Berdiri di tengah dari kiri: Fatimah Othman (Johor), Jasmin Daud (Kedah), Siti Rahmah Hj. Mahmud (Pulau Pinang), Norhayati Saruan (Johor - kini di SMK Methodist, Parit Buntar), Sadinah Tati @ Stella Sitaim (kini di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah), Raymund Simin - kini Rohaya Simin (Sabah), Teh Ah Nan (Perak), Rohana Zakaria (Kelantan), Maznah Harun (Kelantan - kini di SMK Jeram, Pasir Puteh, Kelantan), Norhasanah Wakis (Johor - kini di SMK Bukit Gambir, Muar), Habibah Abu Samah (Negeri Sembilan - kini di SMK Tun Ismail, Batu Pahat, Johor), Zuraidah Ali (Negeri Sembilan - kini di SMK Dato' Mansor, Bahau, NS).
Berdiri di belakang: Addanan Tan (Perak - kini di SK Tanjung Aru, Labuan), Nasir Jalil (Terengganu - kini PK KO di SK Bukit Losong, Kuala Terengganu), Ismail Daud (Pahang - kini Guru Besar di SK Penor, Kuantan), Azmi Bakar (Kedah - kini di SK Pinang Tunggal, Sungai Petani), Haimin Dusilin (Sabah - kini Guru Besar di SK Longut, Ranau), Shahardin Hashim (Perak - kini di SMK Maharaja Lela, Kg. Gajah, Perak), Mahdoon Salim (Johor - kini PK KO di SMK Seri Gading, Batu Pahat, Johor), Ismail Ghazali (Kedah - kini di SK Sungai Sampo, Jempol, NS), Tang Giok San (Kelantan), Abd. Jalil Shariff (Johor - letak jawatan), Abd. Wahid Ramali (Selangor - kini di SMK Seri Bedena, Sungai Besar, Selangor) dan Gasmin Nasip (Sabah - kini di PPD Pitas, Kudat, Sabah).
Tiada Dalam Gambar: Normadiah Naemat (Negeri Sembilan - kini di SK Taman Paroi Jaya, Seremban)

Semasa kami masuk ke Tahun Dua, kebanyakan pensyarah kelas kami  terdiri daripada pensyarah yang sama semasa Tahun Satu kecuali beberapa orang iaitu Encik Baharuddin Ujang, Puan Radziah dan Puan Sharifah Rubiah (Pengajian Melayu), Cik Rose Lee (PJK Asas), Ustaz Kamaruddin Awang Basir (Pendidikan Islam) dan Encik Edmund Gimbun (Kefasihan Bahasa Inggeris II). Semasa di Tahun Dua juga, kami banyak ditumpukan kepada mata pelajaran pengkhususan sebagai persediaan untuk Latihan Mengajar Fasa 2 dan persediaan untuk mengajar di sekolah apabila tamat kursus nanti. Bagi kursus kami, PMIA mata pelajarannya ialah Pengajian Melayu, Ilmu Alam, Latihan Mengajar, Ilmu Pendidikan, Kefasihan Bahasa Inggeris II, PJK Asas, Gerak Kerja Kokurikulum (Gerko) dan Pendidikan Agama Islam/Moral.
Semasa dalam Tahun Dua saya dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu MPG di bawah pensyarah pembimbing Puan Sharifah Rodziah[1]. Manakala untuk kokurikulum saya menyertai permainan sofbol dan unit beruniform Pengakap. Semasa memimpin Persatuan Bahasa Melayu beberapa program besar yang telah kami laksanakan pada tahun tersebut, antaranya Pertandingan Perbahasan Antara Unit, Pasar Ria Bulanan dan Malam Puisi Gaya I dan II. Malam Puisi Gaya I diadakan pada 27 Mac 1981 dan program ini melibatkan persembahan deklamasi puisi dan nyanyian lagu-lagu puisi oleh ahli persatuan dan pensyarah-pensyarah yang berminat. Saya sendiri telah mendeklamasikan sebuah sajak yang bertajuk “Buminya Di Lantai Itu” yang dicipta pada bulan Oktober 1980.
Dengan kejayaan melaksanakan program Malam Puisi Gaya I, Persatuan Bahasa Melayu dan Kelab Tarian MPG di bawah pimpinan Saudara Nasir Rahman[2] telah bergabung mengadakan Malam Puisi Gaya II pada 27 Jun 1981. Malam Puisi Gaya II diadakan secara lebih hebat lagi dengan melibatkan Grup Teater Asyik dan Grup Teater Ibu Kota dari Kota Kinabalu sebagai peserta jemputan.  Malam Puisi Gaya II juga turut ditunjangi oleh Saudara Hamdan Abu[3] (Lidha Hamdan Abu) dan Saudara Zucafly Awang[4]. Selaku Penghulu Agung bagi malam tersebut saya telah mendeklamasikan sebuah sajak  berjudul “Warkah II”. Malam Puisi Gaya II telah mendapat liputan di akhbar Sabah Times pada hari Rabu, 8 Julai 1981. Kejayaan melaksanakan program ini merupakan salah satu kejayaan besar saya semasa memimpin persatuan tersebut sepanjang tahun 1981.
Ada dua perkara yang sangat menarik pada setiap hujung tahun di MPG yang saya anggap maktab ini berbeza daripada maktab-maktab lain di Malaysia. Pertamanya oleh kerana 80% daripada guru pelatih maktab ini menggunakan penerbangan iaitu yang berasal dari Semenanjung Malaysia, Sandakan, Labuan, Tawau dan Lahad Datu, maka pada minggu terakhir setiap tahun pihak maktab akan mengeluarkan senarai tarikh penerbangan balik kampung. Ini merupakan saat yang sangat menyeronokkan bagi kami kerana kami hanya balik kampung sekali sahaja setahun iaitu hanya 2 kali dalam tempoh pengajian kami selama 2 tahun. Maka apabila kami dimaklumkan senarai penerbangan telah diumumkan, kami semua akan bergegas ke papan kenyataan di Pejabat Am untuk melihat tarikh penerbangan masing-masing. Tiket yang disediakan oleh KPM biasanya penerbangan kelas Ekonomi Malam (YN). Mereka yang penerbangannya lebih lewat biasanya akan bersama-sama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (dahulunya di Tanjung Aru) untuk menghantar kawan-kawan yang penerbangan lebih awal. Guru pelatih dihantar ke airport dengan menggunakan bas maktab dan mereka yang menghantar kawan-kawan akan balik berjalan kaki ke asrama. Meskipun berjalan kaki kira-kira hampir 4 km untuk balik ke asrama, namun kami tetap seronok.
Perkara yang kedua menarik ialah pada minggu terakhir sesi pengajian maktab akan mengadakan Jamuan Akhir Tahun (Annual Dinner) di Dewan Besar maktab bagi meraikan perpisahan guru-guru pelatih Tahun Dua (Akhir) yang akan keluar bertugas di sekolah-sekolah yang ditentukan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Jamuan Akhir Tahun ini biasanya dimulakan dengan jamuan makan malam, diikuti dengan persembahan oleh guru-guru pelatih Tahun Satu dan diakhiri dengan acara kemuncak yang ditunggu-tunggu iaitu pengumuman penempatan yang dibuat oleh Pengetua maktab. Senarai penempatan guru biasanya telah diserahkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sabah kepada pihak maktab sehari dua sebelum acara kemuncak tersebut. Kami guru-guru pelatih mendengar pengumuman tersebut dengan penuh debaran.
Waktu pengumuman penempatan dibuat oleh Pengetua merupakan saat yang paling mendebarkan bagi setiap guru pelatih senior. Setiap kali nama disebut berserta dengan sekolahnya, setiap kali juga tepukan gemuruh diberikan oleh para hadirin. Bagi mereka yang mendapat penempatan di kawasan bandar atau kawasan pinggir bandar, wajah mereka kelihatan riang dan gembira. Sebaliknya bagi mereka mendapat penempatan di kawasan pedalaman atau pulau, akan sedih malah ada yang menangis dan kaku di kerusi. Selepas selesai majlis biasanya berlakulah adegan pujuk memujuk di antara mereka yang mendapat penempatan yang baik dengan mereka yang mendapat penempatan sebaliknya. Alhamdulillah, saya telah ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limauan yang terletak kira-kira 20 km dari bandar Kota Kinabalu. Selamat bertugas kepada semua, sesungguhnya anda adalah orang-orang yang hebat dan MPG banyak menyimpan khazanah nostalgia kepada kita semua.



[1] Puan Sharifah Robiah ialah isteri kepada penulis politik terkenal, Yahya Ismail.
[2] Kini bertugas di SMK Gual Peruk Kelantan.
[3] Telah meletak jawatan dan aktif dalam produksi drama.
[4] Kini beliau bertugas di SMK Chendering, Kuala Terengganu.

Tiada ulasan: