RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

05 Jun 2016

Marhaban Ya Ramadan

Esok merupakan tarikh awal puasa 1 Ramadan 1437 (6 Jun 2016) bagi seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (Surah Al- Baqarah: Ayat 183). InsyaAllah, pada tahun ini kita masih diizinkan Allah swt untuk menunaikan kewajipan itu dalam keadaan baik daripada pelbagai sudut nikmat sama ada nikmat rezeki, nikmat kesihatan dan nikmat keamanan. Alhamdulillah, dalam tempoh itu kita masih diizinkan-Nya untuk memilih makanan apa yang harus kita makan untuk berbuka dan bersahur pada hari ini dan hari-hari berikutnya, kerana terlalu banyak pilihan yang ada di hadapan mata. InsyaAllah, kita juga masih diizinkan-Nya untuk memilih sama ada untuk berbuka di rumah, di surau, di masjid, di warung, di restoran atau di hotel kerana nikmat rezeki dan nikmat keamanan masih lagi dikurniakan-Nya kepada kita. Dan yang paling penting kita juga masih diizinkan-Nya untuk berpuasa kerana anugerah nikmat kesihatan yang tidak ternilai dengan wang ringgit sehingga ke hari ini.
Sebagai umat yang masih mampu menikmati segala anugerah Allah tersebut, maka marilah kita sama-sama bersyukur kepada-Nya. Terjemahkanlah kesyukuran kita itu dengan merebut peluang-peluang keemasan yang ditawarkan kepada kita pada sepanjang bulan yang mulia ini. Kepada yang sangat mampu bantulah mereka yang kurang mampu, manakala kepada yang mampu bantulah dalam bentuk apa juga yang termampu. Allah telah berfirman tentang perkara ini, “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai; Seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Baqarah: Ayat 261) Selamat menunaikan ibadah Ramadan dengan penuh barakah. Sekian

Tiada ulasan: