RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

28 Jun 2016

Akhir Ramadan dan 'Balik Kampung'

Ramadan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Cuaca yang sederhana panas kali ini tidaklah mencabar kanak-kanak yang baharu belajar berpuasa untuk terus berpuasa sehingga penghujung Ramadan ini. Tidak lama lagi kampung halaman di seluruh negara yang biasanya sunyi sepi akan hidup dengan kepulangan anak-anak perantau untuk berhari raya bersama keluarga dan sanak saudara. Lalu lintas menghala ke kampung juga akan bertambah oleh ledakan kenderaan dari kota yang balik kampung masing-masing untuk berhari raya. Sebagaimana biasa harga barangan juga akan turut meningkat kerana permintaan yang bertambah secara mendadak, khususnya permintaan terhadap barang-barang keperluan harian seperti sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam walaupun dikatakan barangan kawalan. Pada akhir Ramadan ini pada kebiasaannya kaum ibu bertambah sibuk untuk membuat semua persediaan dari pakaian raya hinggalah kepada persiapan dalam rumah. Apa yang pasti kaum ibu sangat sibuk dengan penyediaan juadah untuk hari pertama raya tersebut. Suasana pasar di pekan-pekan kecil yang selama ini agak suram semakin hiruk pikuk dengan tawar menawar anak-anak desa yang balik dari kota. Manakala ibu bapa kita di kampung adalah insan yang paling seronok dengan kepulangan anak cucu dari kota, yang ada di antara mereka yang balik kampung hanya sekali setahun sahaja. Maka mereka akan menyediakan hidangan yang paling istimewa bagi meraikan kepulangan anak cucu tersebut.

Balik Kampung Siapa?
Balik kampung tatkala menjelang Hari Raya merupakan rutin tahunan bagi muslimin dan muslimat yang berada di mana-mana perantauan. Sejak sebelum Ramadan mereka sudah mula merancang untuk pulang ke kampung untuk berhari raya bersama kaum keluarga dan sahabat handai masing-masing. Di samping semangat ‘balik kampung’ mereka juga mempertingkatkan amalan pada akhir Ramadan ini untuk mendapat rahmat Lailatul Qadar. Bagi suami isteri yang berbeza tempat asal pula, masing-masing mula menghitung giliran sama ada untuk berhari raya di kampung suami atau di kampung isteri. Bagi mereka yang pasangannya berasal dari negeri yang sama masalah ini tidak timbul kerana pada pagi hari raya mereka boleh memilih untuk ke kampung siapa terlebih dahulu. Masalah giliran balik kampung ini kadang-kadang menjadi ‘krisis kecil’ yang berulang-ulang pada setiap tahun antara suami dan isteri. Sekiranya saban tahun masalah ini dijangkakan berlaku dalam suasana kita untuk bergembira menyambut kedatangan Syawal, maka MOU antara kedua pihak sepatutnya diadakan lebih awal lagi. Carilah jalan penyelesaian terbaik dalam bentuk yang ‘win win situation’ bagi kedua-dua belah pihak agar tidak menjadi berpanjangan sehingga boleh melunturkan kegembiraan masing-masing pada setiap Hari Raya.
Saya terkecuali daripada masalah giliran ini memandangkan pertamanya, kami berasal dari negeri yang sama dan daerah yang bersempadan. Keduanya, kedua-dua orang tua kami sudah tiada lagi dan ketiganya, semua adik beradik kedua-dua belah pihak sudah mempunyai rumah sendiri di lokasi pilihan masing-masing. Justeru itu tiada lagi ‘stesen’ untuk kami berkumpul seperti dahulu. Namun oleh kerana bertugas di perantauan agenda balik kampung tetap juga ada kerana kami mempunyai rumah kediaman sendiri di kampung. Oleh itu pada setiap tahun kami juga turut merasai ‘demam balik kampung’ yang dirasai setiap tahun oleh para perantau untuk pulang berhari raya. Kepada semua warga kota yang akan balik kampung sempena Hari Raya ini saya ucapkan selamat ‘balik kampung’ dengan selamat serta dengan suasana yang aman dan tenteram tanpa ‘krisis kecil’ sebagaimana dinyatakan tadi. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Sekian.

Tiada ulasan: