![]() |
| Pelbagai juadah 'air tangan' ibu |
Bagi para ibu pula sehingga separuh
Ramadan ini semua menu yang mereka ketahui telah disajikan untuk keluarga
masing-masing, sama ada semasa berbuka mahupun semasa bersahur. Malah ada yang
sudah dua tiga kali mengulangi menu yang sama dan tiada lagi menu baharu yang
agak istimewa untuk disediakan. Begitu juga dengan juadah dan lauk-pauk yang
dijual di bazar Ramadan yang menunya ‘stereo
type’ di mana-mana di seluruh negara. Ini menyebabkan ada juga di antara
kita yang telah kembali kepada menu yang paling ringkas, umpamanya sekadar nasi
putih dan telur goreng/rebus atau ikan bakar dicicah kicap yang diperah asam
limau nipis dan cili padi. Atau mungkin sekadar makan nasi dengan ulam-ulaman dan
sambal belacan atau budu sahaja. Rasanya menu sedemikian lebih enak berbanding
menu-menu yang dianggap istimewa pada sepanjang bulan ini.
![]() |
| Kisaran batu |
Kalau diimbas kembali semasa zaman
kanak-kanak dahulu, orang-orang tua kita amat mengutamakan soal juadah untuk
berbuka dan bersahur, sebagai tanda menghormati dan meraikan kedatangan bulan
Ramadan. Mereka mula merancang apakah juadah untuk berbuka dan lauk-pauk yang
hendak dimakan pada hari itu. Mereka mula masuk ke dapur seawal jam 11.00 pagi untuk
memulakan tugas rutinnya, iaitu pada kebiasaannya bermula dengan merendam beras
pulut untuk membuat juadah berbuka. Selepas solat zohor mereka akan mengisar
beras pulut tersebut dengan menggunakan ‘kisaran batu’. Tepung beras yang
dikisar itu ditapis dan ditindih supaya kering airnya sebelum dijadikan
kuih-kuih tertentu.
| Mencabut bulu ayam kampung |
Dalam tempoh menunggu beras itu boleh
dikisar, mereka mula merancang untuk menyediakan lauk-pauk pula. Umpamanya untuk
menyediakan masakan lauk ayam, mereka terpaksa mengambil masa yang agak panjang
untuk memprosesnya. Pada masa dahulu tiada lagi ayam proses dijual sebagaimana hari ini, sebaliknya yang ada hanya
ayam kampung yang terpaksa diproses sendiri. Pada awal pagi lagi para suami sudah
menangkap ayam yang hendak disembelih semasa ayam tersebut diberi makan, kalau
tidak amat sukar untuk menangkapnya. Setelah disembelih, ayam itu dibuang segala isi perutnya dan dicelur
di dalam air panas beberapa minit untuk memudahkan bulunya dicabut.
| Melayur ayam kampung |
Selepas itu ayam tersebut dilayur ke api
bagi memastikan tiada lagi segala bulu yang halus sebelum dipotong mengikut
resepi yang hendak dimasak. Tidak banyak resepi yang diketahui oleh ibu-ibu
pada masa itu selain daripada gulai kari, goreng atau bakar, atau yang agak
moden pada ketika itu ialah ayam masak kicap. Pendeknya untuk menyediakan menu
yang berasaskan ayam kampung mengambil masa dua hingga tiga jam barulah selesai.
Ini bermakna lebih 50% dari waktu zohor hingga ke maghrib itu digunakan untuk
menyediakan lauk-pauk. Manakala waktu selebihnya digunakan untuk membuat
kuih-muih untuk berbuka yang biasanya sejam atau dua jam sebelum masuknya waktu
berbuka.
![]() |
| Pelbagai juadah yang dijual |
Meskipun di Kelantan kaya dengan
pelbagai jenis kueh-mueh tradisi, namun yang lazim disediakan untuk berbuka
pada masa itu ialah kueh-mueh yang berasaskan pulut iaitu puteri mandi atau dipanggil juga kepik hidung, ondeh-ondeh
atau dipanggil juga telur korang. Selain
itu terdapat juga poli beras dan butir nangka. Manakala kueh yang
berasaskan beras biasa ialah lompat tikam,
cendul, caca dan lain-lain. Kueh yang berasaskan ubi kayu pula seperti poli ubi kayu, tepung boka, kueh manis
dan lain-lain. Ada juga yang berasaskan pisang seperti sira pisang dan lepat pisang.
Pendeknya masyarakat dahulu tidak membeli juadah berbuka sebaliknya mereka
memasak sendiri juadah tersebut. Tetapi kini pelbagai jenis kueh-mueh boleh
dibeli di mana-mana, namun yang pasti rasanya tidak seenak air tangan ibu-ibu kita dahulu. Demikian hebat dan berkatnya nilai air tangan ibu. Sekian.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan