Setelah kita berpuasa sebulan Ramadan bermula dari 6
Jun 2016 dan berakhir pada 5 Julai 2016, maka pada hari Rabu 6 Julai 2016
seluruh umat Islam di negara ini telah menyambut Hari Raya Aidilfitri. Berpuasa
selama sebulan pada tahun ini tidaklah sangat mencabar terutama bagi
kanak-kanak yang baharu belajar berpuasa kerana faktor cuaca yang tidak terlalu
panas dan kering seperti yang dialami pada tahun-tahun sebelumnya, kecuali dua
tiga hari sebelum berakhirnya Ramadan baru-baru ini. Kerancakan suasana
berbelanja juga dirasakan agak menurun pada tahun ini berbanding tahun-tahun
lepas yang berkemungkinan disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin meningkat
terutama sekali bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap,
khususnya masyarakat di luar bandar. Kita amat simpati dengan keadaan ini dan
pihak berwajib sepatutnya melakukan sesuatu untuk ‘melegakan’ perasaan mereka, misalnya bagi para penjawat awam diberi sagu hati RM500 setiap seorang pada awal
Ramadan baru-baru ini. Mungkin mereka yang tidak berpendapatan tetap boleh 'diceriakan' dengan pemberian kupon untuk membeli barang-barang keperluan harian dengan kadar antara RM100 hingga RM150 untuk satu ketua keluarga. Memanglah amat sukar untuk melaksanakannya tetapi tidak mustahil
boleh dilakukan.
Apapun keadaannya rezeki Allah terhadap hamba-Nya tetap
tersedia dan masyarakat kita tetap berusaha gigih dengan pelbagai cara untuk
mengatasi bebanan kos sara hidup tersebut. Kehadiran Ramadan merupakan salah
satu peluang untuk mereka mencari rezeki yang lebih dengan menjual pelbagai jenis
makanan dan minuman di pelbagai lokasi seperti di bazar Ramadan, di simpang
jalan, di pondok menunggu bas, di tepi jalan-jalan utama, di kaki-kaki lima
kedai, di hadapan rumah malah ada juga yang berjaja secara bergerak. Pelbagai
jenis kueh-mueh dijual dari jenis tradisional tempatan hinggalah kepada
kueh-kueh moden dan dari jenis-jenis minuman biasa hinggalah ke minuman moden
yang digemari oleh kebanyakan golongan remaja. Kueh-mueh tradisional tempatan
yang dijual oleh penduduk kampung dikatakan lebih sedap berbanding kueh yang
sama yang dibuat secara komersial yang dijual di bazar Ramadan di bandar.
Kini Ramadan telah berlalu dan Syawal telah tiba,
sebagai umat Islam yang sentiasa patuh kepada perintah Allah SWT, maka pada bulan Syawal
yang mulia ini kita dituntut untuk melakukan beberapa amalan yang baik
antaranya, berpuasa enam hari di bulan Syawal sebagai menambah nilai
puasa wajib di bulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa
yang berpuasa pada bulan Ramadan, dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari
pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun” (Riwayat
Muslim). Imam al-Tabrani pula ada menyatakan di dalam susunan hadisnya yang
berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadan dan diikuti
kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala
dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”. Walau apapun bentuk ganjaran
itu, marilah kita sama-sama melipatgandakan amalan kita agar mendapat rahmat daripada
Allah SWT pada hari muka.
Satu lagi amalan yang terpuji di bulan Syawal yang
menjadi budaya besar-besaran bagi umat Islam di negara ini ialah amalan
ziarah atau kunjung mengunjung satu sama lain. Amalan ini memberi faedah yang
amat besar dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah serta seterusnya
dapat mengukuhkan lagi jati diri umat Islam itu sendiri. Amalan ziarah ini akan
menjadikan yang jauh menjadi lebih dekat, yang renggang menjadi rapat, yang
bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Amalan
ziarah hendaklah merangkumi semua, bukan hanya terhad kepada sesama taraf,
darjat atau keturunan sahaja. Natijahnya dengan amalan ziarah akan terbentuklah
satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan. Sebab itulah
Islam mengajak manusia saling kenal mengenali antara satu sama lain,
hormat-menghormati, saling kerjasama dan faham-memahami sesama
insan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10 yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara
maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah
agar kamu beroleh rahmat”. Sekian, Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan