Semasa masuk ke
Darjah 1, saya sudah boleh menulis abjad a hingga
z tetapi belum
boleh membaca suku kata dan perkataan. Walaupun tidak pernah belajar di peringkat tadika atau
prasekolah, saya sudah mampu mengenal abjad kerana abang saya yang sudah bersekolah menengah pada ketika itu mengajar saya pada setiap malam
sebelum kami tidur. Saya juga sudah
mula meminati tulisan yang menyebabkan semakin cepat saya dapat menguasai
penulisan. Semenjak belum bersekolah lagi saya juga cukup berminat melukis kenderaan dan jentera yang
saya kenali seperti kereta, bas, lori, jentolak dan sebagainya.
Kebolehan ini adalah berdasarkan pengalaman serta pemerhatian saya terhadap apa
yang berlaku di sekitar kampung kami pada ketika itu.
Pada zaman itu kami anak-anak kampung tidak pernah belajar di peringkat
prasekolah atau tadika sebelum memasuki sekolah rendah. Saya sangat gembira
apabila ayah memaklumkan bahawa saya sudah didaftarkan untuk masuk ke sekolah
semasa umur saya enam tahun. Ini bermakna saya akan masuk ke sekolah kira-kira
beberapa bulan lagi. Beberapa bulan kemudian, alangkah gembiranya saya apabila ayah menyatakan bahawa umur saya sudah cukup untuk ke
sekolah. Cuti hampir dua bulan pada bulan November dan Disember bagi mereka yang sudah bersekolah adalah terlalu lama bagi
saya untuk menunggu bagi memulakan persekolahan pada awal Januari tahun berikutnya. Lebih menggembirakan lagi terdapat beberapa orang rakan sebaya saya juga akan
sama-sama memasuki Darjah Satu pada tahun tersebut, iaitu Mohd. Ariff,
Mat Jusoh, Kamaruddin, Fauzi, Noralam dan Ramzan. Pakaian sekolah yang baru dibeli oleh ibu dicuba berkali-kali
oleh kerana keghairahan tersebut sama seperti setiap kali tibanya
Hari Raya. Alam persekolahan untuk saya akhirnya
tiba.
Pada
awal Januari 1965 saya mula masuk ke Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan Banggol
Chicha[1],
Pasir Mas, Kelantan. Jarak sekolah dengan kampung kami kira-kira 1 batu (1.6 km) sahaja. Pada minggu pertama bersekolah ayah saya menghantar dengan menggunakan basikal Raleigh tuanya buatan Nottingham, England yang sangat popular dengan ketahanannya, manakala selepas itu kami semua berjalan kaki bersama-sama semasa pergi dan balik dari sekolah.
Dengan serba kekurangan pada ketika itu, orang tua saya hanya mampu menyediakan
sepasang baju sekolah iaitu kemeja putih dan seluar pendek berwarna biru serta
sepasang kasut kain putih berjenama “Arrow” yang berharga kira-kira RM1.20 sepasang. Hampir semua murid sekolah kami
memakai kasut jenama tersebut, kecuali seorang dua anak guru sahaja
yang mampu memakai kasut jenama Bata (Badminton
Master) yang harganya RM2.99 pada ketika itu. Saya menyedari hakikat ini
dan bersyukur kerana mempunyai kasut baharu
sedangkan ramai lagi rakan-rakan lain yang bersekolah tanpa memakai kasut pada ketika itu.
Sekolah kami hanya mempunyai satu kelas bagi setiap darjah dari Darjah 1 hingga
Darjah 6 kerana bilangan muridnya tidak ramai. Pada hari pertama
persekolahan kami dimasukkan ke Darjah Satu, kami
telah dibekalkan
dengan beberapa jenis alat tulis iaitu beberapa buah buku tulis, pensel, pembaris kayu (1 kaki), pemadam dan alat penajam pensel (sharpener). Buku tulis terdiri daripada 3 jenis iaitu buku garis dua, buku garis tiga dan buku garis petak untuk mata pelajaran Kira-Kira. Saya tidak pasti berapa jumlah bayaran pendaftaran persekolahan yang
telah dikenakan kepada ibu bapa pada masa itu. Buku teks asas yang diberi pula ialah buku Bacaan Dewan,
Bacaan Jawi Dewan, buku teks Ilmu Kira-Kira dan buku teks Agama Islam (terbitan
Pustaka Aman Press, Kota Bharu) diberikan beberapa
hari selepas itu.
Sekolah kami hanya mempunyai satu kelas bagi setiap darjah dari Darjah 1 hingga
Darjah 6 kerana bilangan muridnya tidak ramai. Pada hari pertama
persekolahan kami dimasukkan ke Darjah Satu, kami
telah dibekalkan
dengan beberapa jenis alat tulis iaitu beberapa buah buku tulis, pensel, pembaris kayu (1 kaki), pemadam dan alat penajam pensel (sharpener). Buku tulis terdiri daripada 3 jenis iaitu buku garis dua, buku garis tiga dan buku garis petak untuk mata pelajaran Kira-Kira. Saya tidak pasti berapa jumlah bayaran pendaftaran persekolahan yang
telah dikenakan kepada ibu bapa pada masa itu. Buku teks asas yang diberi pula ialah buku Bacaan Dewan,
Bacaan Jawi Dewan, buku teks Ilmu Kira-Kira dan buku teks Agama Islam (terbitan
Pustaka Aman Press, Kota Bharu) diberikan beberapa
hari selepas itu. ![]() |
| Toyota 700 |
Sekolah
kami hanya mempunyai satu blok bangunan kayu setingkat dengan 6 bilik darjah,
satu ruang pejabat (berkongsi Bilik Guru, Pejabat Guru Besar dan Pejabat Am), dan satu stor buku dan peralatan
sukan di hujung bangunan. Sekolah ini pada asalnya hanya sebuah sekolah rakyat
yang mula dibuka pada tahun 1956 oleh penduduk
setempat.
Bilik darjahnya hanya dipisahkan dengan sekatan dinding separuh dan lorong
laluan terletak di dalam bilik darjah yang sama. Keadaan ini kadang-kadang mengganggu pembelajaran
apabila ada orang yang melalui lorong laluan tersebut. Setiap kelas mempunyai 2 baris meja panjang dan bangku panjang yang boleh dikongsi 3 orang setiap meja, kecuali murid-murid Darjah 6 disediakan meja dan kerusi untuk setiap orang murid secara berasingan.![]() |
| Bersama Guru Kelas semasa Darjah 1 dan Darjah 4 |
![]() |
| Ting. 5A2 SIS |
![]() |
| Ting. 6A3 Sultan Ismail College |
Kami mula diperkenalkan kepada mata
pelajaran Bahasa Inggeris ketika saya berada dalam Darjah Dua.
Guru Bahasa Inggeris kami ialah Cikgu Idris Muhamood[5] (kami
memanggilnya Sir) yang baharu sahaja
tamat latihan perguruan di Maktab Perguruan Kota Bharu[6] pada ketika itu.
Mata pelajaran ini benar-benar menjadi kejutan kepada kami yang rata-ratanya
'budak kampung' dan tidak diajar semasa kami dalam Darjah Satu. Namun mata
pelajaran ini menjadi menyeronokkan kerana 'Sir' mengajar dengan kaedah
pengajaran yang menarik, beliau pandai melukis dan beraksi dengan dibantu oleh buku
teks Bahasa Inggeris yang banyak mempunyai ilustrasi yang menarik minat
murid-murid. Pada mulanya Sir Idris memperkenalkan
perkataan-perkataan asas berdasarkan benda-benda yang maujud di sekeliling kami
seperti pensil, pembaris, buku, pemadam, meja, kerusi, gelas, anggota badan dan
sebagainya. Akhirnya kami dapat menguasai nama-nama tersebut dalam
bahasa Inggeris. Buku teks Bahasa Inggeris yang digunakan pada ketika itu ialah
Dewan English Reader (Introductory) dan selepas itu kami menggunakan buku teks
Dewan English Reader[7] (Book 1), manakala buku teks Bahasa Melayu pula menggunakan buku Bacaan
Dewan[8]
untuk Darjah 1. Watak-watak yang sering digunakan dalam buku teks tersebut
ialah Ali, Salmah, Tong Seng, Ramasami dan Kumari.
Semasa dalam Darjah Empat saya telah
dilantik sebagai Ketua Kelas oleh Guru Kelas kami iaitu guru Bahasa Inggeris
kami, Sir Idris. Sir Idris sebagai guru kelas telah memberi kami kelebihan kerana
beliau banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasinya dengan
murid-murid kelas kami. Beliau hanya menterjemahkan percakapannya ke dalam
bahasa Melayu apabila murid-muridnya benar-benar tidak memahami Bahasa
Inggeris. Dengan cara itu kami banyak mempelajari bahasa Inggeris daripadanya.
Saya pernah dihadiahkan dua tin susu tepung Dumex 500 gram daripadanya kerana
mendapat markah tertinggi dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di kelas
kami. Selain itu kelas kami juga merupakan kelas yang paling aktif di
sekolah kami kerana bimbingan Sir Idris
pada ketika itu. Semasa Darjah Empat juga kami mula diperkenalkan dengan mata pelajaran Ilmu Alam dan Tawarikh.
Semasa dalam Darjah Lima guru kelas kami
ialah Cikgu Che Wok bin Che Ngah yang sebelumnya bertugas di Sekolah
Kebangsaan Baroh Pial, Rantau Panjang, Kelantan. Beliau seorang guru yang amat
tegas dan garang dalam pengajarannya. Oleh itu kami sekelas akan memberikan
perhatian secara bersungguh-sungguh dan tidak akan belajar sambil lewa semasa
beliau mengajar. Subjek yang diajarnya ialah Bahasa Melayu dan Ilmu Alam. Semasa dalam Darjah 5, kami diwajibkan menduduki Peperiksaan Penilaian
Darjah Lima[9] (PPDL) untuk
menilai prestasi murid-murid sekolah rendah pada ketika itu. Kini peperiksaan
tersebut telah digantikan dengan Ujian Penilaian Sekolah Rendah mulai tahun
1988. Selain menjadi pusat peperiksaan kepada calon-calon sekolah kami, sekolah
ini juga turut menjadi pusat peperiksaan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan
Kedai Tanjung, yang jaraknya kira-kira 5 km dari sekolah kami. Mereka datang
dengan berjalan kaki beramai-ramai untuk menduduki peperiksaan tersebut. Pelajar terbaik
sekolah kami bagi peperiksaan tersebut ialah rakan sekelas saya, iaitu
Allahyarham Hasbullah Hussein dengan keputusan 3A dan 1B, manakala saya kedua terbaik dengan mendapat 2A dan 2B. Kami diberitahu
bahawa kelulusan tersebut sebenarnya sudah mencukupi syarat untuk memasuki
sekolah berasrama penuh, namun oleh kerana bilangan tempat di sekolah berasrama
penuh pada ketika itu amat terhad, kami hanya ditawarkan untuk belajar di
Sekolah Rancangan Khas iaitu Sultan
Ibrahim Secondary School, Pasir Mas atau lebih terkenal dengan nama SIS
pada ketika itu.
![]() |
| Kenderaan setelah belajar di sekolah menengah |
[1] SKBC telah dibuka pada tahun 1956 dan terletak di km 5 Jalan Rantau Panjang
Lama, Pasir Mas, Kelantan.
[2] Kini Timbalan Pendaftar Kanan (Akademik) di Universiti Pendidikan Sultan
Idris, Tanjung Malim, Perak.
[3] Mula dikeluarkan di
Jepun pada bulan Jun 1961 dengan nama Toyota Publica 700.
[4] Allahyarham
meninggal dunia semasa menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara
pada pertengahan tahun 1990-an.
[5]
Cikgu
Idris Muhamood bersara dengan jawatan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pasir
Mas/Tumpat.
[6] MPKB telah dirasmikan pada 24 Ogos 1954 oleh Sir Donald Mac Gillivary bagi
menggantikan penghantaran pelajar
perguruan ke Kirby dan Wovehampton, England.
[7] Buku ini
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
[8] Buku ini mula
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1963.
[9]
Diperkenalkan pada tahun 1964 dan dimansuhkan pada tahun 1986 dengan digantikan
dengan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 1988.








Tiada ulasan:
Catat Ulasan