17 Julai 2009, 4.40 petang, Tanjung Lipis – Saya telah menerima panggilan telefon daripada En. Mohd. Nor Mohamad, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan kira-kira jam 4.55 petang yang menyatakan keretanya telah terbabas ke dalam longkang di km 1 Jalan Kuala Lipis - Jerantut, Kampung Tanjung Lipis berhampiran dengan jambatan Sungai Jelai. Beliau ketika itu dalam perjalanan dari Jerantut ke Kuala Lipis setelah melaksanakan Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) Komsas untuk guru-guru dari PPD Maran di SMK Jengka 18. Saya tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.10 petang dan alhamdulillah mendapati beliau tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali sedikit terkejut dengan tragedi yang tidak disangka-sangka tersebut.

Mengikut En. Mohd. Nor, peristiwa itu berlaku dalam sekelip mata sahaja setelah tayar keretanya meletup dan tiba-tiba terus terbabas ke dalam longkang di tepi sebelah kiri jalan.

Menurutnya lagi, beliau bernasib baik kerana sempat mengelak daripada
terkena tiang elektrik yang terletak berhampiran dengan tempat di mana keretanya terbabas itu. Beliau juga bernasib baik kerana pada ketika kejadian berlaku beliau hanya memandu dalam kelajuan kira-kira 60 km sejam sahaja.
Walau bagaimanapun kerosakan keretanya agak serius juga

terutama sekali di bahagian hadapan dan sebuah pasu bunga besar yang terletak di tepi jalan itu milik Majlis Daerah Lipis turut berkecai akibat rempuhan tersebut.

En. Mohd. Nor telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis kira-kira jam 6.00 petang setelah pihak polis mengambil keterangan mengenai kemalangan tersebut di lokasi kejadian. Kereta beliau telah ditarik ke bengkel di Kawasan Perindustrian Lipis untuk proses tuntutan insuran dan baik pulih. Sekian.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan