RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

13 Julai 2009

Pasir Mas: Pekan Kecil Daerah Kelahiranku

Pasir Mas, daerah kelahiran saya menempatkan sebuah pekan kecil yang sangat padat penduduknya. Mengikut perangkaan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, pada tahun 2007 jumlah penduduk daerah ini seramai 197,100 orang berbanding pada tahun 2006 seramai 193,400 orang. Luasnya ialah 577.52 km persegi, yang mana 139 km persegi terletak di dalam kawasan Majlis Daerah Pasir Mas. Meskipun merupakan sebuah pekan kecil, namun semua kemudahan terdapat di sini terutama sekali dalam aspek pengangkutan awam seperti teksi/kereta sewa, bas dan kereta api (malah terdapat teksi sapu yang dikenali oleh penduduk setempat dengan prebet sapu).
Sekali sekala balik ke kampung tentunya mengimbau nostalgia masa lalu, terutama semasa berada di bangku sekolah menengah dahulu. Sekolah saya, Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (kini Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1) dahulunya lebih dikenali dengan SIS (akronim kepada Sultan Ibrahim School) kini semakin hebat dan ceria bertaraf sekolah premier. Dalam tempoh 6 tahun di sekolah itu (termasuk Remove Class) saya sempat belajar di bawah 4 orang Pengetua iaitu En. Abd. Rahman Mohd. Ali, Mr. Cheah Cheong Teik, En. Hassan Mohd. Amin dan En. Yusoff Abdullah. Dahulunya sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah menengah aliran Inggeris di kawasan Kelantan Barat. Sekolah yang terletak di Jalan Meranti itu telah banyak menghasilkan tokoh-tokoh terkenal dalam pelbagai bidang di seluruh negara. Sekolah-sekolah lain di pekan ini pada ketika itu ialah Sekolah Menengah Rendah Perempuan (kini SMK Perempuan Pasir Mas), Sekolah Menengah Arab Pasir Mas (Kini Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Mas), Sultan Ibrahim Primary School (kini SK Sultan Ibrahim 1), Sekolah Kebangsaan Laki-Laki Pasir Mas (kini SK Dato' Hamid 1) dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Pasir Mas (kini SK Sultan Ibrahim 2).
Bentuk geografi pekan Pasir Mas tidak banyak berubah sejak saya bersekolah menengah (pada pertengahan tahun 1970-an) hingga kini, kecuali sedikit penambahan dan pertukaran lokasi bagi beberapa premis. Antaranya Pasar Besar yang dahulunya berada di Jalan Market kini berada di Jalan JKR berhadapan dengan stesen kereta api setelah dua kali terbakar. Stesen bas SKMK, stesen teksi, Pasar Pagi dan Bazar Mara pula dibina di tanah milik KTMB yang dahulunya dikenali dengan nama ‘dalam nyior’ kerana terdapat banyak pokok kelapa di kawasan itu. Di tapak itulah yang menjadi lokasi pertunjukan sarkas dari India atau China pada masa dahulu. Deretan warung makan berhampiran stesen kereta api dibina pada tahun 1980-an menggantikan deretan ‘kedai merpati’ (disebut ‘kedai pati’) yang tidak sistematik di sepanjang Jalan Masjid Lama yang dahulunya menjadi tempat menjamu selera muda mudi sebelum atau selepas menonton wayang di Panggung Rex atau Panggung Geroda. Stesen bas sebelumnya terletak berhampiran dengan musalla (dikenali sebagai jama'iah) di Jalan Masjid Lama, manakala stesen teksi/kereta sewa terletak di Jalan Pasar Lama.
Kebanyakan bas SKMK (Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad dahulunya syarikat NETS - North East Transport Service) pada ketika itu ialah bas panjang dan pendek model Seddon MK17 dan Mercedes-Benz 1113. Bas penumpang berwarna biru dengan tulisan jawi berwarna kuning dan logo kijang berwarna keemasan, manakala bas sekolah pula berwarna kuning muda dengan tulisan 'BAS SEKOLAH' berwarna hitam. Selain bas kebanyakan teksi/kereta sewa yang digunakan pada masa itu ialah Mercedes-Benz model 190D, 200D, Peugeot 404 dan terdapat juga model Morris Oxford dan Austin Cambridge A60. Kereta-kereta sewa ini beroperasi antara Pasir Mas ke Kota Bharu, Tanah Merah dan Rantau Panjang. Kini tiada lagi teksi-teksi model tersebut setelah diganti dengan teksi-teksi model baharu seperti Proton Iswara, Wira, Waja dan lain-lain.
Kawasan yang paling tidak banyak berubah di Pasir Mas ialah di Jalan Pasar Lama dan sekitarnya (Pohon Chelagi), yang mana deretan kedai lama masih lagi kelihatan sebagaimana zaman saya masih kanak-kanak. Deretan kedai kayu dan separa kayu di kawasan itu mengembalikan ingatan saya pada masa lalu, semasa melalui kawasan ini ke jeti bot penambang (berhampiran Pejabat Pos) untuk ke Seberang Pasir Mas. Di sinilah juga menjadi tempat tumpuan ramai untuk melihat tiang sukatan banjir pada musim tengkujuh. Cuma yang sedikit berbeza kini terdapat benteng konkrit yang dibina pada pertengahan tahun 1980-an bagi mengelakkan air banjir melimpah dari Sungai Kelantan. Kuan Sin Tailor (antara tukang jahit terkenal di pekan ini) di No. 129, Jalan Pasar Lama masih beroperasi seperti dahulu. Saya pernah menempah seluar sekolah dan baju pengakap di sini pada pertengahan tahun 1970-an. Kedai Jam See Bee, yang katakan kedai jam tertua di pekan ini kini sudah berpindah ke bangunan baru berhampiran Klinik Jo di kawasan yang sama.
Sudut penjual ubat di persimpangan Jalan Market dan Jalan Pasar Lama juga masih kekal. Sepanjang minggu terutama pada hari Sabtu penjual ubat silih berganti dengan pertunjukan ular, silap mata, angkat berat, gusti lengan dan pelbagai aksi yang kesemuanya boleh ditonton secara percuma sebelum ubat dijual. Di sinilah para penduduk setempat dapat menonton kepetahan para penjual ubat yang datang dari seluruh pelusuk negeri dengan pelbagai jenis ubat dari ubat sakit gigi sehinggalah (kononnya) ubat tenaga batin. Di sini juga menjadi pentas terbuka bagi Abd. Rahman Alabaladi mempersembahkan muzik ala padang pasir sebelum berniaga ubat keluaran syarikatnya.
Stesen KTMB Pasir Mas yang dibina dalam Fasa 3 pembinaan sistem jalan kereta api di Tanah Melayu antara tahun 1910 – 1931 telah mula berubah wajah mulai 2008 sebagaimana juga stesen KTMB Wakaf Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jerantut yang masing-masing sudah dinaiktaraf menjadi lebih ceria dan selesa kepada pengguna sesuai dengan imej korporat KTMB. Stesen kereta api Pasir Mas pada suatu ketika dahulu merupakan nadi bagi penduduk kawasan ini terutama semasa kegemilangan kereta api sebagai sistem pengangkutan utama di negara ini. Stesen ini merupakan persimpangan bagi laluan kereta api Tumpat – Sungai Golok (Thailand) selain laluan Tumpat ke Gua Musang, Kuala Lipis, Gemas, Kuala Lumpur dan Singapura. Malah nama Pasir Mas pada masa itu cukup sinonim dengan sistem pengangkutan kereta api sebagaimana juga nama stesen-stesen Pantai Timur yang lain seperti Kuala Krai, Gua Musang, Kuala Lipis, Jerantut, Mentakab dan Gemas di Negeri Sembilan.
Pada ketika itu stesen Pasir Mas bukan sahaja berfungsi kepada pengguna kereta api, malah menjadi pemangkin kepada ekonomi pekan kecil tersebut. Segala hasil ekonomi dari kampung yang terletak berhampiran jalan kereta api seperti Bukit Panau, Sungai Keladi, To’ Uban, Chicha Tinggi, Rantau Panjang, Gual Sitok, Gual Periok, Lubuk Batil, Repek, Bunut Susu, Slow Machang dan lain-lain dibawa melalui stesen Pasir Mas. Di stesen Pasir Mas pada masa itu terdapat wanita-wanita yang menjaja ketupat daun palas, nasi kapit (nasi himpit dengan sate), teh atau kopi susu panas (dalam tin susu), ubi keling rebus, telur puyuh rebus, tepung bukus (kueh bungkus), lepat ubi kayu dan sebagainya. Mereka tidak menjaja di lokasi lain di pekan ini kecuali di stesen ini dengan menghafal masa ketibaan dan berlepas setiap kereta api sama ada kereta api mel Tumpat - Kuala Lumpur/Singapura atau kereta api lokal Tumpat - Gua Musang/Kuala Lipis/Gemas/Sungai Golok (Thailand). Kini aktiviti perniagaan tradisional itu sudah tiada lagi ekoran tiadanya generasi penyambung yang boleh melakukannya dengan tabah. Bagi saya, keunikan itu kini sudah tiada lagi dan stesen Pasir Mas tidak dapat mengekalkan keunikannya itu sebagaimana stesen Kluang dapat mengekalkan keenakan kopi ‘Kluang Station’nya.
Pasar Pasir Mas sudah lebih dari tiga kali terbakar termasuk dua kali semasa beroperasi di bangunan baru di Jalan Market (berhadapan Syarikat Muda Osman). Bangunan itu telah diubahsuai dan dijenamakan semula dengan nama baru, Plaza Serakai Mas yang terletak di tengah-tengah pekan ini. Pasar itu kemudian dibina di atas sebidang tanah milik KTM di Jalan JKR bertentangan dengan stesen kereta api dan bersebelahan dengan kuartersnya. Keadaan ini telah menjadikan pekan ini terbahagi dua dengan dipisahkan oleh jalan kereta api. Keadaan ini juga telah menjadikan orang ramai menyeberangi jalan kereta api untuk ke pasar tersebut tanpa sebarang jaminan keselamatan.
Semasa di sekolah menengah kami selalu menjamu selera di pasar lama Jalan Market sebelum berjalan kaki ke sekolah sesi petang. Antara menu yang kami gemar pada ketika itu ialah mi kuah (mi sup) yang kebanyakan penjualnya pakcik-pakcik, bukan perempuan sebagaimana hari ini. Selain mi kuah terdapat nasi dengan pelbagai lauk pauk, air batu parut (ABC), laksa Kelantan, laksan dan bubur kacang (cicah roti) yang semuanya dijual dengan harga yang cukup murah. Selepas makan barulah kami menyusur Jalan Tengku Ahmad untuk ke sekolah. Adakalanya kami singgah di kedai buku Syarikat Muda Osman atau Pustaka Mas, atau ke kedai Wee Brothers yang menjual pelbagai jenis alat tulis termasuk permainan. Kesemua premis itu kini masih beroperasi seperti dahulu dan Syarikat Muda Osman kini telah membuka satu lagi cawangan yang lebih besar di Plaza Serakai Mas, bersebelahan premis CIMB Bank. Tapak warung goreng pisang bawah pokok jati di Jalan Tengku Ahmad kini tersergam Bangunan RHB Bank dan berhampirannya pula terdapat kedai-kedai masakan panas ala Thailand.
Demikian, imbauan masa lampau yang disesuaikan dengan masa kini yang tentunya sedikit sebanyak boleh menjentik memori mereka yang membesar di pekan kecil ini. Semoga catatan ini turut mengembalikan nostalgia anda di tempat kelahiran masing-masing. Sekian.

1 ulasan:

Mohammad Sofi berkata...

Baru-baru ini saya telah melawat sepupu saya yang tinggal di Kampung Chelagi (di pusat bandar Pasir Mas). Menurutnya: Rumah yang didiaminya sekarang ini adalah asalnya rumah Moyangnya seorang ulama terkenal. Guru agama dari Bachok yang telah datang ke Pasir Mas untuk mengajar Islam di sini. Nama guru agama ini ialah Haji Muhammad Saleh bin Abdul Samad (1870-1910).