RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

19 Jun 2009

Transformers: Sudah Terlebih Publisiti

Kedatangan edisi kedua filem Transformers dengan judul Transformers: Revenge of The Fallen di negara ini sememangnya dinantikan oleh seluruh peminatnya dengan penuh debaran. Filem aksi separa logik yang berbentuk sekuel ini telah mendapat publisiti yang amat meluas di media-media tempatan yang sekali gus telah menggandakan popularitinya. Malah terdapat akhbar yang memuatkan muka depan sisipannya dengan rencana mengenai filem ini. Kisah Transformers bukan sahaja tersiar dalam ruangan atau halaman hiburan bagi akhbar-akhbar tertentu malah turut disiarkan sebagai berita dalam negeri. Selain itu ia turut menarik minat kanak-kanak dengan menawarkan barangan yang berjenama Transformers seperti barang-barang mainan, kemeja T, makan ringan, makanan segera dan sebagainya.
Demikian hebatnya publisiti bagi sebuah filem yang dikatakan bercorak masa depan yang dihasilkan barat, walaupun kisahnya agak sukar untuk diterima akal secara logik. Kita sememangnya mengakui kehebatan filem ini yang merupakan hasil kerja pengarah ternama, Michael Bay dan dibintangi oleh pelakon handalan Shia LaBeouf dan Megan Fox, tetapi kita sebenarnya sudah agak terlebih memberi publisiti kerana mungkin kita ‘sudah terpesona’ dengan filemnya yang terdahulu.
Begitulah hebatnya penyebaran pengaruh pemikiran ciptaan orang lain yang langsung tidak sukar untuk kita terima secara keseluruhannya. Ironinya keadaan demikian menjadi sebaliknya terhadap filem kita kerana kita sendiri telah awal-awal lagi menarafkannya di bawah aras kelayakan citarasa rakyat negara ini. Memang umum amat bersetuju bahawa filem kita terlalu jauh untuk dibandingkan dengan kehebatan Transformers, tetapi kata orang ‘janganlah kita memuji orang lain sehingga mengeji anak sendiri’.
Bagi saya, populariti Transformers bukan sahaja kerana filemnya memang hebat (walaupun hanya akan ditayang mulai 24 Jun 2009) tetapi persepsi awal tentang kehebatan filem tersebut juga adalah akibat daripada pengaruh pemikiran kita yang sudah dijajah dengan persepsi bahawa sesuatu yang datang dari barat itu semuanya ‘lebih baik’ daripada milik kita. Sekian.

1 ulasan:

Suhaimi al-Bahanjiey berkata...

betul,betul dan betul.Yang untung orang kafir yang rugi orang Islam. sedekah duit tiket kepada orang miskin lagi berfaedah dunia akhirat.