
Rasanya sudah agak lama tidak mencatat sebarang maklumat di blog ini, yang mana catatan terakhir saya ialah pada 9 Mei 2009 iaitu mengenai Program Bicara Sastera Negeri Pahang 2009 yang diadakan di IPGMTAA pada 6 Mei 2009. Selepas itu saya hanya mampu memuatnaikkan (
upload) gambar Majlis Konvokesyen IPGMTAA Kali Ke-23 pada 25 Mei 2009 tanpa sebarang maklumat secara bertulis disebabkan sedikit kekangan. Ada dua faktor yang telah menyebabkan seolah-olah wujud ’tempoh bertenang’ pada blog saya sejak kebelakangan ini, iaitu pertamanya ialah masalah ketiadaan talian Streamyx di kawasan perumahan yang baru kami diduduki setelah berpindah pada pertengahan bulan Mei 2009 yang lalu. Akhirnya pihak TM Net meminta saya menamatkan langganan Streamyx kerana masalah tersebut. Oleh itu saya terpaksa mengambil
’sedikit kesempatan’ dengan menggunakan talian di pejabat sendiri untuk merakamkan segala yang berlaku dalam tempoh tersebut untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Kekangan tersebut telah menjadikan pengisian blog ini agak lompang buat seketika. Pada prinsipnya saya tidak akan mengisi blog milik saya dengan sebarang maklumat yang ’merapu’ dan belum tentu kebenarannya sekalipun tiada modal untuk saya menulis. Bagi saya blog merupakan satu medium untuk menyebarkan maklumat yang benar dan bertanggungjawab, bukan sekadar untuk menyebar maklumat yang merapu atau untuk mensensasikan sesuatu isu yang belum tentu kesahihannya.

Faktor keduanya ialah faktor kekangan masa. Pada bulan Mei 2009 yang lalu terdapat dua agenda besar yang menjadi tanggungjawab kami warga IPGMTAA, iaitu pertamanya Majlis Konvokesyen IPGMTAA Kali Ke-23 yang disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang dan keduanya pada akhir bulan berkenaan para pelajar menduduki peperiksaan akhir semester. Agenda-agenda wajib ini sudah cukup untuk menjadikan peratus kesungguhan kami terhadap tugasan lain menjadi lebih kecil berbanding kedua-duanya. Kami tidak mempunyai banyak waktu untuk tugas-tugas lain selain daripada agenda besar tersebut, khususnya majlis konvokesyen. Apa lagi untuk menulis laman blog yang ’tidak wajib’ seperti ini. Namun atas dasar minat, kesinambungan penulisannya tetap diteruskan.

Tamat sahaja peperiksaan akhir semester, IPGM mula cuti pertengahan semester sebagaimana juga cuti persekolahan. Cuma yang berbeza IPGM bercuti selama 3 minggu berbanding hanya 2 minggu untuk sekolah. Kami tidak bercuti kerana ditugaskan mengajar para peserta Kursus Dalam Cuti (KDC) yang bermula pada 1 hingga 12 Jun 2009. Kami hanya bercuti pada minggu ketiga sekiranya tidak terlibat dengan urusan rasmi lain yang kadang-kadang tiba pada saat-saat akhir. Namun cuti tersebut terpaksa kami habiskan di sekitar IPGM sahaja kerana anak-anak sudah mula bersekolah untuk semester ke-2 setelah bercuti kira-kira dua minggu semasa kami sibuk dengan KDC. Apa nak buat. Sekian.
1 ulasan:
Salam.TK. Saya selalu menunggu entri dari En.Rasdi....
Catat Ulasan