Lokasi: Felda Chegar Perah (Laluan Kuala Lipis – Gua Musang) Tarikh: 26 Jun 2009 Masa: 5.30 petang.Peristiwa ‘nyaris kemalangan’ ini berlaku semasa saya dan En. Dzulkarnain Mat, Ketua Unit Khidmat Pengurusan IPGMTAA dalam perjalanan pulang dari Mesyuarat Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) Kali Ke-3 2009 bagi IPGMTAA yang diadakan di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, Terengganu dari 23 hingga 26 Jun 2009. Kami bertolak balik kira-kira jam 12.45 tengah hari dari tempat mesyuarat kemudian singgah di Gerai Keropok Mak Ngah yang terletak di tepi jalan utama Kampung Raja.
Sehari sebelumnya kami sudah menikmati sata dan air kelapa di Kuala Besut. Dari Kampung Raja kami melalui jambatan Seberang Besut, kemudian Pangkalan TUDM Gong Kedak untuk ke Jertih.Cuaca di sekitar Bukit Yong pada tengah hari itu hujan renyai-renyai tetapi beransur baik setibanya kami di persimpangan untuk ke Machang dan Pasir Puteh. Kami melalui jalan pintas ke Bukit Bakar selepas kampus UiTM Machang untuk mengelak daripada memasuki bandar Machang atau jalan bypass Machang-Kota Bharu yang agak jauh sedikit jaraknya. Sepanjang perjalanan Dzul tidak memandu laju kerana beliau kurang sihat. Dengan itu kami telah berhenti sebanyak 3 kali sebelum tiba di Gua Musang. Pertama kami berhenti di stesen minyak Caltex Laloh, keduanya di stesen minyak Shell Felda Chiku Satu dan ketiga di R&R Gua Musang. Semasa
melalui kawasan Manik Urai kami dapati perang poster untuk Pilihan Raya Kecil untuk kawasan tersebut sudah bermula dan saya sempat merakamkan beberapa keping gambar untuk simpanan peribadi. Di surau R&R Gua Musang Dzul sempat tidur agak lama dan saya dapati beliau segar kembali selepas itu.Kami bertolak dari R&R Gua Musang pada jam 4.45 petang dan kira-kira jam 5.30 petang kami tiba di kawasan Felda Chegar Perah. Setibanya kami di kawasan tempat kemalangan dua buah bas yang mengorbankan 13 nyawa kira-kira 5 tahun lalu, tiba-tiba sebuah van C20 yang datang dari arah Kuala Lipis telah memotong tiga buah kenderaan.
Oleh kerana tidak berjaya melepasi tiga buah kenderaan tersebut, van berkenaan telah meluru di laluan kanannya betul-betul berhadapan dengan kenderaan kami. Kami tidak dapat mengelak ke sebelah kanan kerana terdapat tiga buah kereta dari arah yang bertentangan, manakala sekiranya mengelak ke sebelah kiri tentunya kami bertembung dengan van tersebut. Tanpa panik Dzul telah membrek dan mengelak sedikit ke kanan menjadikan kenderaan kami berada di tengah-tengah kenderaan tersebut dalam jarak kurang dari satu kaki antara kedua-duanya pada kelajuan kira-kira 50km sejam. Van tersebut akhirnya terperosok masuk ke dalam longkang di sebelah kanan jalan dan Zul memberhentikan keretanya di tepi jalan kerana amat terkejut dengan peristiwa itu. Kami kemudian meneruskan perjalanan dengan penuh debaran dan tidak tahu apa nasib pemandu van tersebut.
“Alhamdulillah, kita selamat Zul.” Itulah antara ungkapan saya beberapa saat selepas kenderaan kami membolosi dua kenderaan di sebelah kiri dan kanan kami pada petang itu. Peristiwa yang muncul secara tiba-tiba itu cukup mencemaskan kami. Pengalaman yang selama ini hanya kami dengar daripada pengalaman orang lain kini benar-benar telah terjadi kepada kami. Demikian, meskipun kita sudah cukup berhati-hati di jalan raya namun kecuaian orang lain juga boleh menyebabkan kecelakaan jika dikehendaki-Nya berlaku. Alhamdulillah kami selamat juga atas kehendak-Nya.
0 ulasan:
Catat Ulasan