
Jabatan Pengajian Melayu IPGTAA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah mengadakan Program Bicara Bahasa 2010 pada hari Khamis, 25 Februari 2010. Tokoh Bahasa undangan pada kali ini ialah Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di Beijing Foreign Studies University, China. Program yang dirasmikan oleh YH Dato’ Mazlan Mohamad, Pengarah IPGTAA ini turut dihadiri Puan Hjh. Che Zainab Che Omar, wakil Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, En. Roselan Ahmad, Timbalan Pengarah IPGTAA, para pensyarah kanan, ketua-ketua jabatan, para

pensyarah dan guru-guru Bahasa Melayu Daerah Lipis. Manakala semua pelajar turut serta dalam majlis ini.
Syarahan Prof. Dr. Awang Sariyan yang bertajuk “
Pemartabatan Bahasa Kebangsaan Dalam Pembinaan Negara Bangsa” telah mengupas dengan panjang lebar soal-soal yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sejak zaman dahulu sehingga kedudukannya pada hari ini. Ini termasuklah soal-soal yang melibatkan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, akta-akta yang berkaitan, dasar-dasar bahasa dan isu-isu pendidikan yang turut melibatkan dasar bahasa. Mengenai isu-isu

bahasa ini, beliau antara lain berharap agar pemahaman perlu disebarluaskan kepada segenap lapisan warganegara, daripada peringkat kepemimpinan negara kepada penggubal undang-undang dan dasar (ahli-ahli Parlimen, eksekutif atau pelaksana (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri), penjawat awam (pentadbir, pendidik dan lain-lain), swasta, pelajar dan masyarakat umum.
Beliau juga telah menghuraikan bahawa “Aspek yang kurang diperhatikan dan kurang disedari kebanyakan orang tentang kejayaan sistem

pendidikan negara yang berbahasa penghantar bahasa Melayu ialah terbentuknya kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa dalam kalangan generasi muda di Malaysia, selain terbentuknya budaya berbahasa yang relatif seragam. Orang yang bergerak dalam bidang pendidikan dan memperhatikan kehidupan di alam persekolahan pasti dapat menyaksikan bagaimana bahasa Melayu berhasil menjadi wahana yang membentuk sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa anak didik di institusi pendidikan. Ternyata bahawa prasangka perkauman dapat diatasi sebahagiannya oleh faktor bahasa. Pasti menarik hasilnya jika kajian empiris tentang aspek itu dapat dilakukan.”
“Ibu segala masalah yang kita hadapi dalam

pelaksanaan dasar bahasa yang berkaitan erat dengan proses pembinaan negara itu ialah ketidaktekalan sikap, pendirian dan pelaksanaan, yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak atau kurang memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan. Pasti pula ketidakfahaman itu disebabkan oleh pemahaman yang silap tentang konsep dan falsafah pembangunan, yang umumnya lebih dipertalikan kebanyakan orang dengan pembangunan fizikal, sehingga faktor bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan. Dalam pada itu, kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi, ternyata begitu perihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati

bergalang tanah untuk mempertahankannya. Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan budayanya.”
Sebagai kesimpulannya saya petik teks tulisan beliau yang berbunyi “Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah lain di negara berdaulat ini hendaklah dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua warganegara. Yang paling utama ialah ketekalan sikap dan pendirian para pemimpin negara agar peranan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang pembinaan negara bangsa terus ditingkatkan dan diperkukuh.”
Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari.
Teks penuh boleh perolehi di
http://www.jpmipgmtaa.webs.com/Penulisan/Prof.%20Dr%20Awang%20Sariyan.pdf
1 ulasan:
Salam kunjungan. Kami menawarkan khidmat menaip assignment.
Catat Ulasan