RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

27 Januari 2010

Blog dan Musibahnya

Keghairahan menulis di blog dan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain kini sudah mula membudayai masyarakat negara kita, khususnya golongan dalam kategori ‘celik komputer’. Perkembangan ini jelas kelihatan dengan wujudnya laman-laman blog dan ruangan sembang yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Masing-masing ghairah menulis dan menyatakan pendirian peribadi dalam ‘akhbar persendirian’ mereka meskipun sesetengahnya langsung tiada asas kebenarannya. Malah ada sesetengah pihak yang menjadikan blognya sebagai tempat melepaskan geram, sentimen dan emosi penulisnya. Golongan ’penulis persendirian’ ini menulis dengan sebebas-bebasnya bersandarkan kepada tafsiran sendiri terhadap apa yang dikatakan ‘kebebasan bersuara’. Mereka seolah-olah bebas memperkatakan apa sahaja yang mereka rasa ingin luahkan tanpa menyedari bahawa sebenarnya mereka terikat dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sejak kebelakangan ini beberapa orang penulis blog telah dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan di bawah akta tersebut. Dalam kes terbaru umpamanya seorang pemuda berusia 29 tahun telah direman oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana blognya jelas menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail dan 31 laporan polis telah dibuat. Malah terdapat beberapa kes lagi yang seumpamanya yang boleh dianggap sebagai penulisnya cuba ’menggali kubur sendiri’. Analoginya mudah: Sebagaimana juga fungsi pisau, sekiranya digunakan dengan bijaksana mengikut penggunaannya yang betul, maka tiada apa kesalahan yang dilakukan oleh pemiliknya, namun sekiranya pisau itu digunakan untuk membunuh, maka terimalah hukumannya akibat daripada penyalahgunaan tersebut.
Oleh itu, kewujudan kemudahan TMK bukan bertujuan untuk disalahgunakan oleh sesiapa, tetapi kewujudannya adalah dengan matlamat penggunaan yang positif. Kemudahan tersebut bukan untuk dijadikan medium kepada ’fitnah moden’ dan hasutan, malah kewujudannya adalah untuk sumber ilmu pengetahuan, maklumat serta komunikasi yang melangkaui sempadan. Justeru itu adalah wajar bagi kita semua tidak terlalu ghairah untuk menulis tanpa memahami batas-batas yang harus dipatuhi, kerana di mana-mana negara sekali pun tiada istilah kebebasan mutlak yang membolehkan kita meluahkan apa sahaja terutamanya isu-isu yang sensitif. Kita kena ingat bahawa selain daripada Akta Komunikasi dan Multimedia di dunia, kita juga pasti tidak akan terlepas daripada ’Akta Allah SWT’ di akhirat kelak. Sekian.

Tiada ulasan: