RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya" Surah Al-Maidah Ayat 2.

03 Januari 2010

Pemimpin dan Kualiti Kepimpinan

Menjadi pemimpin walau pada peringkat mana sekalipun, merupakan satu amanah yang wajib dipikul dengan penuh tanggungjawab dan penuh bijaksana. Kepada pemimpinlah tempat bersandarnya harapan orang yang dipimpin. Kepada pemimpinlah tempat mengadunya masalah orang yang dipimpin. Pemimpin merupakan contoh dan teladan yang perlu dicontohi orang yang dipimpin. Pendeknya segala-galanya terletak di tangan pemimpin. Ini adalah analogi masa lampau terhadap pemimpin yang kini semakin dipandang sepi. Oleh kerana pemimpin adalah segala-galanya, maka tidak ramai masyarakat masa lalu yang sanggup dilantik atau dipilih untuk menjadi pemimpin. Mereka enggan dipilih kerana bimbang kalau-kalau tidak dapat melaksanakan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab kepada orang yang dipimpinnya.
Pada zaman ini keadaan tersebut nampaknya sudah menjadi sebaliknya. Kebanyakan orang berebut-rebut untuk dilantik atau dipilih sebagai pemimpin walaupun dirinya tidak mempunyai ‘ciri-ciri pemimpin’ atau tiada langsung bakat kepemimpinan. Meskipun tidak semua orang sedemikian sikapnya, tetapi bilangan golongan seperti ini semakin ramai tanpa mengira peringkat kepimpinannya sama ada di peringkat kepimpinan politik, kesatuan, persatuan, sukan, koperasi, daerah, mukim, kampung dan sebagainya. Golongan seperti ini akan melakukan apa sahaja dengan menjadikan lobi melobi sebagai ‘senjata utama’ asalkan dapat memimpin. Soal hormat menghormati pihak lain, soal timbang rasa, soal tanggungjawab, soal nilai diri dan sebagainya hilang sama sekali asalkan matlamat mereka berjaya menjadi pemimpin.
Justeru maka lahirlah segelintir pemimpin (di sesetengah peringkat kepimpinan) yang ‘kurang malah langsung tidak berkualiti’. Meskipun tidak ramai, namun golongan seperti ini semakin bertambah bilangannya apabila soal lobi melobi menjadi agenda utama pada setiap kali sesuatu organisasi itu ingin memilih pemimpin. Kita sering menganggap seseorang yang petah bercakap atau bijak berpidato, serta pandai memanipulasikan sesuatu isu maka dialah dikatakan sebagai pemimpin yang baik. Sebenarnya petah berpidato dan pandai memanipulasikan isu semata-mata belum lagi layak untuk menjadi pemimpin yang baik. Banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira.
Tanpa merujuk kepada mana-mana teori kepimpinan atau peringkat kepimpinan, maka tidak hairanlah pada hari ini muncul pelbagai isu dalam soal sikap pemimpin yang (dirasakan) berpunca daripada soal kualiti pemimpin tadi. Dengan ini isu-isu luar jangka (yang kadang kala kebudak-budakan) semakin menjadi-jadi, umpamanya saling pijak memijak gambar pihak lawan, mempertikaikan hak orang lain, tuduh menuduh, menyalahkan orang lain, memberi alasan remeh dan tidak logik, tidak sedar bahawa dirinya pemimpin dan sebagainya yang mudah dinilai oleh khalayak yang dipimpin. Lebih malang lagi ada yang bercakap hanya atas kepentingan atau keuntungan politik tanpa memikirkan sensitiviti atau implikasi terhadap agama, bangsa, negara, keamanan dan sebagainya.
Malah dalam suasana orang yang dipimpin berhempas pulas dengan dua tiga kali bencana banjir, dalam masa yang sama ada pihak dengan megah menganjurkan ceramah atas kepentingan politik, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dalam suasana orang yang dipimpin berjimat cermat menghadapi kesan kemelesetan ekonomi global, ada pihak yang sewenang-wenangnya boros berbelanja kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya, malah ada yang didakwa kerana pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Oleh itu dalam keadaan sebenarnya, hanya orang-orang yang benar-benar mempunyai ciri-ciri kepemimpinan sahaja yang layak menawarkan diri untuk menjadi pemimpin. Janganlah pula semua orang ghairah untuk menjadi pemimpin yang akhirnya mengakibatkan kualiti kepemimpinan itu hilang, mangsanya ialah orang-orang yang dipimpin. Sekian

3 ulasan:

Zainal Abidin Yaacob berkata...

Memang betul apa yg sudara tulis tnt kepimpinan masa kini kualiti kepimpinan pengetua / pentadbir sekolah sangat diambil berat oleh sektor jaminan kualiti.

zubripuspenmuar berkata...

ianya merupakan anugerah sebagaimana mereka berbakat dalam nyanyian suara yg merdu..kreatif dalam bidang ciptaan, berbakat dalam bidang lukisan..fitrahnya anugerah Allah kepada manusia ciptaannya berbeza antara saru sama lain. Ramai yang ada bakat menyanyi tapi suara nyanyian mereka tetap tak sama. Begitu juga dengan pemimpin.ada yang bakatnya kepimpinannya hanya di unit kecil berbanding degan mereka yang dianugerah bakat kepimpinan diperingkat negara.Tetapi geneasi kini tidak "mengukur baju di badan sendiri"; setakat mana keupayaan dan kebolehan yang mereka ada.Apa yang mereka inginkan ialah kedudukan/pangkatyang meletakkan darjat mereka lebih tinggi serta dihormati.sebaliknya gagal membawa organisasi dan pekerja pimpinannya kearah kecemerlangan. Sukar bagi pemimpin sebegini nak mengaku kelemahannya serta menyerahkan kuasa kepimpinan itu kepada pemimpin baru.mungkin setakat tahap itu sahaja anugerah bakat pemimpin yang diberi oleh Allah. Hakikat ini perlu diterima dengan hati terbuka agar tidak timbul rasa dendam / tak puashati /dan seterus menjadi virus menggagalkan apa jua transformasi yang ingin dibawa oleh pemimpin baru.