RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya" Surah Al-Maidah Ayat 2.

08 November 2009

Minggu gembira, sedih, tension dan sibuk

Minggu pertama bulan November ini rutin kehidupan saya agak bercampur baur antara perasaan gembira, sedih, tension, sibuk dan sebagainya.
Ahad 1 November 2009 - kami telah menerima panggilan dari kampung memaklumkan anak pertama saya yang berumahtangga pada tahun lepas telah dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu sebagai persediaan kepada tarikh jangkaan bersalin (due date) pada 4 November 2009. Jadi terpaksalah saya benarkan ibunya pulang ke Kota Bharu untuk menjaganya di hospital, dan saya menguruskan dua lagi anak yang masih bersekolah dan segala urusan lain di rumah.
Isnin 2 November 2009 - Saya terpaksa menghadiri Mesyuarat M3P Kali Ke-5 IPGMKTAA setelah menerima notis mesyuarat tersebut sejak seminggu sebelumnya. Mesyuarat ini penting kerana melibatkan perancangan institut untuk tahun 2010. Pada waktu rehat tengah harinya saya mendapat panggilan daripada isteri di Kota Bharu memaklumkan bahawa anak kami akan dibedah pada jam 2.30 petang. Saya menerima berita itu dengan tenang dalam kesibukan mesyuarat tersebut. Jam 5.00 petang semasa mesyuarat belum lagi berakhir saya menerima panggilan lagi menyatakan pembedahan sudah selamat dijalankan dan kami mendapat cucu perempuan, Nur Aleesya Qaisara. Ini bermakna saya telah dianugerahi Allah SWT pangkat ‘datuk’ yang hakiki. Alhamdulilah pada usia ini saya dianugerahi pangkat tersebut dan syukur kerana semuanya selamat.
Jam 7.30 malam - Kegembiraan berita itu telah terganggu dengan kehadiran satu berita sedih, iaitu panggilan telefon daripada seorang kawan yang menyatakan bahawa bekas pensyarah jabatan kami yang telah bersara pada bulan Mac 2008, Tuan Hj. Azmi Ismail meninggal dunia akibat dihempap pokok semasa menebang di dusun miliknya di Taiping, Perak. Saya lantas menefon nombor telefon arwah untuk mengesahkannya dan anaknya telah mengesahkan bahawa berita itu benar. Saya termenung sejenak kerana tiga hari sebelumnya arwah ada menghubungi saya bertanyakan tentang kelas BM untuk Kursus Dalam Cuti (KDC). Saya memaklumkannya bahawa beliau telah disenaraikan untuk mengajar kelas KDC tersebut. Manakala kira-kira 2 hari sebelumnya (31 Oktober 2009 jam 7.29 pagi) arwah ada menjawab pertanyaan saya melalui laman Facebook. Sebenarnya kami banyak berinteraksi melalui e-mail semenjak arwah bersara setahun lepas dan saya banyak menimba ilmu pengetahuan daripadanya. Kita sama-sama doakan agar rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
Selasa hingga Khamis, 3 – 5 November 2009 - Saya dikehendaki menghadiri Konvensyen Pedagogi BM Serantau 1 di Klana Resort, Seremban anjuran IPGM Kampus Bahasa Melayu, KL. Apa yang agak men’tension’kan saya ialah saya diminta oleh penganjur untuk membentangkan satu kertas kerja di konvensyen tersebut. Ini merupakan satu cabaran besar bagi saya, dan mahu tidak mahu persiapan yang rapi perlu dibuat kerana ini merupakan konvesyen serantau yang melibatkan pembentang-pembentang kertas kerja dari Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei DS dan Australia, selain Malaysia sendiri. Alhamdulillah pada jam 9.30 pagi 5 November 2009 saya dapat melaksanakannya dengan baik dan ada di antara peserta yang berminat dengan tajuk yang saya bentangkan tersebut. Sesungguhnya pengalaman tersebut amat bermakna kepada saya sebagai seorang pendidik guru.
Hari Jumaat 6 November 2009 - Masuk ke pejabat semula, banyak perkara yang terpaksa dibereskan dalam tempoh ketiadaan tersebut. Sebelah petang, bercadang nak balik kampung, dapat berita pula kebanyakan jalan di Kelantan sudah dilanda banjir. Nasib baik laluan alternatif Kuala Lipis-Gua Musang-Jeli tidak dilimpahi air. Alhamdulillah, jam 9.00 malam tiba di Bilik 405, Tingkat 4, Hospital Pakar Perdana, KB.

1 ulasan:

Cikscarlet berkata...

sedihnyer en rasdi...saya pun ada bersembang dgn arwah melalui facebook ttg kelas kdc..tak sangka yg arwah mungkin akan mengajar saya akan dtg...tp tak sempat..Alfatihah