RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

30 Julai 2018

Selepas 10 Julai 2018 dan seterusnya...

Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu
Hari ini sudah masuk hari ke-20 saya bergelar YB (Yang Bersara) setelah 36 tahun dalam perkhidmatan awam. Rasanya macam baru sahaja berkhidmat dan akhirnya bersara daripada perkhidmatan. Keseronokan bekerja dan tiadanya masalah besar semasa bekerja merupakan salah satu faktor yang menjadikan kita merasakan tempoh bekerja tidak lama. Namun kebiasaannya pada hujung-hujung perkhidmatan ‘demam persaraan’ akhirnya akan datang juga walau seseronok manapun kita bekerja. Ini kerana faktor umur yang semakin meningkat, tenaga yang semakin berkurangan dan sistem bekerja yang semakin tidak terkejar. Adalah amat mengejutkan apabila ada kalangan pekerja yang masih muda menyatakan ‘seronoknya kalau dapat bersara’ meskipun tempoh perkhidmatan mereka masih lama lagi. Ungkapan ini amat jarang disebut oleh generasi lama, kecuali setelah tiba hampir dengan tempoh yang membolehkan mereka untuk bercakap tentang persaraan.
Minggu Orientasi Maktab Perguruan Gaya, 1980
Dari aspek kehidupan, tempoh 60 tahun itu sebenarnya tidak lama. Tempoh 60 tahun jika dikira bulan ialah 720 bulan, jika dikira minggu 3,086 minggu, jika dikira hari ialah 21,600 hari dan jika dikira jam ialah 518,400 jam. Sekiranya purata kita tidur 7 jam sehari bermakna 7 jam X 21,600 hari, menjadi waktu kita tidur dalam tempoh 60 tahun tersebut ialah 151,200 jam yang bersamaan dengan 6,300 hari atau 17 tahun 6 bulan. Manakala selebihnya ialah waktu yang kita tidak tidur iaitu 15,300 hari atau 42 tahun 6 bulan. Bayangkan jumlah waktu tidur kita selama 17 tahun 6 bulan dalam tempoh tersebut yang bermakna jika semasa kita mula tidur serentak dengan kelahiran seorang bayi, maka bila kita terjaga kembali kanak-kanak tersebut sudah membesar menjadi seorang remaja yang berumur 17 tahun 6 bulan. Manakala dalam tempoh 42 tahun 6 bulan yang kita tidak tidur pula kita telah melaksanakan bermacam-macam kerja dan aktiviti dari semasa bayi, zaman kanak-kanak, zaman dewasa dan zaman tua. Hari demi hari kita melangkah meniti kehidupan dengan pelbagai cara, gaya dan ragam hidup.
SMK Agama Sabah Limauan, Kota Kinabalu
Sekiranya kita manfaatkan seluruh 42 tahun 6 bulan itu dengan kerja dan aktiviti yang bermanfaat, maka kita adalah dalam kalangan orang-orang yang beruntung. Tetapi jika apa yang kita lakukan di sebaliknya maka rugilah kita untuk selama-lamanya kerana masa tersebut tidak akan kembali lagi dan noktah terakhir kehidupan kita pasti akan datang jua walau apapun pilihan cara hidup kita. Mati itu benar dan masanya pasti akan tiba kepada sesiapa jua tanpa mengira kedudukan, pangkat atau darjat. Yang pasti sejak kita mengingati kehidupan kita ini, kematian demi kematian telah berlaku di sekeliling kita. Pada setiap hari kita dimaklumkan dengan berita dan peristiwa kematian silih berganti yang bermula dengan berita kematian orang-orang yang jauh dari kita sehinggalah kepada orang yang paling dekat dengan kita iaitu sama ada ibu bapa, adik beradik, ibu atau bapa saudara kita atau juga saudara sepupu kita.
Sekolah Menengah Teknik Pasir Mas, Kelantan
Maka kematian demi kematian yang berlaku di mana-mana itu sewajibnya menjadi suatu peringatan bagi kita bahawasanya malaikat maut Izrail selalu mengintai siapa pun yang masa kontraknya di dunia ini akan berakhir dan memastikan orang berkenaan akan meninggalkan dunia yang fana ini. Jika masa itu sudah tamat, iaitu masa kontrak di dunia, maka tidak ada seorang pun yang dapat lari daripada kematiannya walaupun sesaat. Sebagaimana firman Allah dalam al-Qur'an al-Karim, yang berbunyi:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ
Maksudnya : Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya. (Surah Al-A’raf : Ayat 34)

Dan juga ayat yang lain dalam Al-Qur'an tentang datangnya kematian ialah:

وَجَآءَتۡ سَكۡرَةُ ٱلۡمَوۡتِ بِٱلۡحَقِّۖ ذَٰلِكَ مَا كُنتَ مِنۡهُ تَحِيدُ
Maksudnya : Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya. (Surah Qaf : Ayat 19)
Ahli M3P, IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan
Kepada yang sudi membaca catatan blog ini, marilah kita sama-sama manfaatkan diri untuk melakukan segala kebaikan semasa kita masih lagi diizinkan Allah SWT untuk hidup di bumi-Nya ini. Sama ada kita mahu atau tidak, masa ke arah penghujung hayat tetap berjalan dan terus berjalan, yang menjadikan kita semakin hampir dengan kematian. Entah esok atau lusa kita akan dipanggil-Nya pergi. Maka berapa lama lagikah kita akan hidup di dunia ini? Sekian.

“Langkah ke destinasi yang sama itu belum tentu kita terpijak batu yang sama”.

Tiada ulasan: